Thursday, December 27, 2012

Khutbah Jumaat - Zakat Membangun Ummah




“BERZAKAT MEMBANGUN UMMAH”
(28 DISEMBER 2012 / 14 SAFAR 1434H)

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Bertakwalah kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar ketakwaan dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ingatlah!, bahawa segala amal perbuatan kita akan disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang berbunyi:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ وَالْحَجِّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

"Islam didirikan di atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah Al-Haram bagi sesiapa yang berkemampuan." (Muttafaqun ’Alaih).

Allah SWT amat mencintai orang-orang yang ikhlas membelanjakan hartanya di jalan Allah. Allah SWT memuji perbuatan mereka sebagaimana Firman-Nya:

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَاتَّقَىٰ ﴿٥﴾ وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَىٰ ﴿٦﴾ فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَىٰ ﴿٧﴾

Maksudnya ; “Ada pun orang yang (suka) memberi (sedekah atau zakat) dan bertakwa serta percaya kepada perkara yang baik (dan pahala di syurga) maka Kami akan mudahkan baginya jalan yang mudah (yang akan membawa kejayaan dunia dan akhirat)” (surah al-Lail ayat 5-7).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Zakat bukan hanya sekadar ibadah semata-mata. Ia adalah amalan yang dapat mengikat hubungan antara seorang hamba dengan pencipta-Nya dan membentuk hubungan antara seorang individu dengan anggota masyarakat yang lain serta dapat membangun sesuatu ummah. Zakat adalah rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Rahmat ini bukan hanya dapat dirasai oleh penerima zakat, bahkan turut dikongsi bersama oleh pembayar zakat dan umat Islam seluruhnya. Zakat juga merupakan menifestasi kemajuan islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa, negara Islam pernah merasai nikmat kamakmuran dan kesejahteraan hasil daripada sistem zakat seperti yang telah berlaku di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan zaman kegemilangan Islam. Sesungguhnya, zakat mempunyai beberapa matlamat yang ditentukan oIeh Allah SWT:

1. Matlamat Agama

Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah: 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: "Ambillah daripada harta mereka zakat, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)."

Al-Quran menerangkan bahawa zakat mempunyai dua tujuan utama iaitu: (At-Tathhir) pembersihan dan (At- Tazkiah) penyucian. Sesungguhnya, hati manusia sangat mencintai harta dan kekayaan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Fajr ayat 20:

وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا ﴿٢٠﴾

Maksudnya: "Dan kamu pula amat mencintai harta benda dengan kecintaan yang bersangatan".

Justeru, amalan zakat dapat menyucikan hati dan jiwa manusia daripada menghambakan diri kepada harta. Inilah bukti keimanan dan kecintaan seorang hamba kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi cintanya kepada harta. Selain itu, zakat juga bertujuan untuk menyucikan akhlak manusia. Sesungguhnya, sifat bakhil dan kedekut adalah penyakit paling buruk yang melanda orang-orang yang berharta.

Sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang berbunyi:

اتَّقُوا الظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَاتَّقُوا الشُّحَّ فَإِنَّ الشُّحَّ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ حَمَلَهُمْ عَلَى أَنْ سَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ

"Jauhilah kezaliman kerana kezaliman akan membawa kepada kegelapan di hari kiamat. Jauhilah sifat bakhil kerana sesungguhnya sifat bakhil memusnahkan orang-orang sebelum kamu. Sifat bakhil menyebabkan mereka menumpahkan darah dan melanggar batasan." (Riwayat Muslim)

OIeh itu, ubat paling mujarab untuk merawat penyakit bakhil dan kedekut ini adalah dengan menginfaqkan harta di jalan Allah SWT. Dengan berzakat, kita dapat menghapuskan sifat bakhil dan kedekut apabila dengan ikhlas dan rela hati memberikan harta yang kita miliki kepada orang fakir dan miskin untuk meraih redha Allah SWT. 

Selain itu juga, zakat dapat membersihkan dan memelihara harta. Sesungguhnya, kita tidak mampu memelihara harta kita dari kejahatan orang lain melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Justeru, Islam mengajar kita agar memelihara harta dengan berzakat.

2 . Matlamat Sosial

Prof. Dr . Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan, setiap manusia sangat berhajat kepada keperluan asasi hidup seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Ianya diperlukan agar manusia mampu hidup menjadi khalifah dan hamba Allah dengan sempurna .

OIeh kerana tidak semua manusia mampu memenuhi keperluan ini, maka Allah SWT mensyariatkan zakat agar umat Islam dapat saling bantu-membantu dalam memenuhi keperluan hidup mereka. Dengan berzakat, orang kaya dapat memberikan sebahagian daripada hartanya kepada fakir miskin. Dengan zakat juga, orang miskin dapat merasai nikmat kebahagiaan hidup serta merasai wujudnya tangan-tangan si kaya yang pemurah, yang dapat membantunya untuk merasai kesejahteraan hidup. Rasulullah s.a.w. Bersabda yang berbunyi:

لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَقَاطَعُوا وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا


"Janganlah kamu berhasad dengki antara satu dengan yang lain. Janganlah kamu saling menipu, janganlah kamu saling membenci atau bermusuhan, janganlah kamu jauh menjauhi (memutuskan silaturrahim), dan janganlah kamu menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain, jadilah kamu sekalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. . ." (Riwayat Muslim)

3. Matlamat Ekonomi

Pakar-pakar Ekonomi mengatakan, ekonomi negara akan berkembang apabila kuasa beli penduduknya meningkat. Apabila kuasa beli meningkat, maka permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan akan bertambah di dalam pasaran. Maka semakin meningkat keperluan ekonomi dan cabaran yang akan dihadapi oleh kita semua.

Oleh itu, Majlis Agama Islam Perak telah berjaya mengagihkan hasil daripada zakat yang telah ditunaikan oIeh pembayar zakat pada tahun 2011 yang lalu, sebanyak 86.11 juta ringgit kutipan zakat kepada golongan asnaf yang sangat memerlukan. Di antara bantuan zakat yang telah disalurkan oIeh pihak Majlis Agama Islam sepanjang tahun 2011 ialah seperti bantuan bina dan baik pulih rumah fakir miskin sebanyak 6.9 juta ringgit, pembayaran untuk bantuan modal sebanyak 0.6 juta ringgit, pembayaran bantuan perubatan sebanyak 1.1 juta ringgit, dan bantuan bulanan kepada asnaf fakir miskin yang berjumlah 13.9 juta ringgit bagi tempoh sepanjang 2011.

Keadaan ini sudah pasti dapat meningkatkan kuasa beli umat Islam. Nikmat ini sudah tentu akan kembali semula kepada pembayar zakat dari kalangan peniaga, usahawan, pembekal barangan, perkhidmatan, kontraktor dan sebagainya kerana wang zakat digunakan untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah SWT dengan menunaikan zakat harta kita yang wajib dizakatkan seperti zakat pendapatan, zakat emas dan perak, zakat wang simpanan, saham, KWSP, zakat tanaman dan binatang ternakan. Majlis Agama Islam Perak telah menyediakan pelbagai perkhidmatan pembayaran zakat untuk kemudahan umat Islam seperti pembayaran zakat kaunter di seluruh daerah Di Negeri Perak, pembayaran zakat melalui potongan gaji, perbankan internet, ejen bank dan pos, amil yang dilantik dan sebagainya.

Ingatlah, ke suatu ketika dahulu kita lahir ke dunia ini sebatang-kara tanpa harta, pakaian, pangkat dan kedudukan. Lalu, dengan rahmat dan kasih sayang- Nya, Allah SWT kurniakan kepada kita segala nikmat dan kebahagiaan. Rumah banglo, kereta mewah, saham, wang simpanan, pangkat dan pekerjaan yang menjadi kebanggaan kita pada hari ini.

Apakah dengan segala nikmat tersebut, kita merasa berat untuk membalas kurniaan Alllah itu dengan hanya mengeluarkan zakat sebanyak 2 .5% sahaja?

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.



Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang jumaat yang dirahmati oleh Allah,

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Muddaththir ayat 42 – 44:

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ﴿٤٢﴾ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ ﴿٤٣﴾ وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ ﴿٤٤﴾

Maksudnya: "(Ahli-ahli syurga bertanya kepada ahli neraka): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) saqar?” Ahli neraka menjawab: "(Dahulu) kami tidak termasuk dari kalangan orang yang sembahyang, dan kami juga tidak pernah memberi makan (bersedekah) kepada orang miskin."

Kesimpulan dari khutbah pertama tadi ialah :

1. Membayar zakat adalah salah satu bukti seseorang hamba patuh dan tunduk kepada perintah Allah dengan mengeluarkan harta yang disayanginya.

2. Zakat adalah tali penghubung di antara orang yang berada dengan orang yang kurang berkemampuan.

3. Orang yang berzakat dikurniakan pahala yang berlipat ganda, dan Rahmatnya melimpah kepada seluruh masyarakat.

4. Menyayangi harta sehingga tidak berzakat, adalah sayang yang tidak kena pada tempatnya. Bukankah menyayangi dan mengasihi golongan yang miskin lebih mulia dari menyayangi harta?

5. Membayar zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebelum berakhir tahun 2012, berhak mendapat rebat (pengecualian) cukai mengikut jumlah zakat yang dibayarnya.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم . اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ،
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ،
إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف
عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment