MEMELIHARA JATI DIRI MUSLIM
Khutbah Pertama
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Saya menyeru diri saya dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama bersyukur dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang dilarangan, mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman, bertaqwa serta selamat di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi pekerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tuturkata. Kerana kemuliaan dan kehormatan seseorang itu adalah dinilai melalui ketinggian keperibadian akhlak. Sejarah telah membuktikan bahawa umat yang maju adalah umat yang memiliki keperibadian akhlak yang tinggi sebaliknya umat yang tidak berakhlak akan menyebabkan ia menjadi lemah dan membawa kehancuran. Kerana itulah, misi utama diutuskan junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sebagaimana sabdanya :
إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ
Maksudnya : “Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” ( H.R. Thabrani )
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Kita sering mendengar tentang masalah yang menimpa umat Islam. Sesungguhnya seluruh dunia sekarang ini sedang menghadapi krisis keruntuhan akhlak yang cukup dahsyat. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan diatasi sudah pasti akan membawa umat Islam ke lembah kehinaan dan kemurkaan Allah s.w.t.
Terdapat segelintir daripada kita yang telah hilang keperibadian sebagai seorang mukmin sejati, mereka seolah-olah kembali hidup seperti di zaman jahiliah. Dan yang lebih parah lagi, ada juga yang memisahkan dan mengasingkan urusan agama dengan urusan hidup seharian. Bahkan beranggapan bahawa agama tidak memberi apa-apa sumbangan dalam pembangunan bangsa dan negara.
Sebahagian daripada kita percaya bahawa hanya ilmu-ilmu dunia seperti ilmu sains dan seumpamanya sahaja yang mampu membawa manusia kepada kemajuan dan ketamadunan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Terdapat segelintir masyarakat hari ini beranggapan bahawa akhlak merupakan hal individu yang tidak ada hubung kait dengan kuasa pemerintah serta mereka tidak mahu pihak berkuasa campurtangan dalam menentukan urusan peribadi mereka. Bahkan mereka tanpa segan silu mendesak agar setiap individu diberi kebebasan mutlak tanpa perlu kepada apa-apa sekatan atau undang-undang atas alasan sebarang sekatan adalah bertentangan dengan hak asasi manusia dan menggugat hak kebebasan individu.
Maka, fahaman seumpama ini sangat-sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w., kerana Islam merupakan suatu agama yang sempurna lagi lengkap mengatur seluruh kehidupan manusia meliputi pelbagai bidang seperti ibadah, mu’amalat, munakahat, jenayah dan sebagainya.
Dalam Islam, kemajuan material sahaja bukanlah kamajuan yang utama yang ingin dicapai, kerana Islam juga menitikberatkan soal pembangunan insan iaitu melahirkan insan yang berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, bermanfaat untuk diri sendiri, masyarakat dan negara.
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,
Justeru, saya ingin mengajak tuan-tuan yang berada di hadapan saya, agar sama-sama menghayati dan memahami tanggungjawab memelihara jati diri sebagai seorang muslim dengan melaksanakan perkara-perkara seperti berikut :-
Pertama : Memiliki keimanan yang mantap
Hidup kita hendaklah sentiasa dipandu dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sekiranya berlaku pengabaian terhadap pengukuhan keimanan kepada Allah, maka sudah tentu perjalanan hidup seseorang akan mudah diseleweng dan terpesong menurut kemahuan hawa nafsu semata-mata. Maka kerana itulah keimanan yang mantap adalah penting sebagai penghalang daripada terjerumus ke lembah maksiat, di samping ia mengatur perjalanan hidup yang selamat dan diredhai Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 2 :
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ﴿٢﴾
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah (bertawakal )”.
Kedua : Berusaha menjadi insan berjiwa merdeka
Hendaklah sentiasa berusaha membebaskan diri dari sebarang belenggu, terutama belenggu penjajahan pemikiran-pemikiran yang sesat dan menyesatkan. Seterusnya kita hendaklah menolak fahaman serta amalan-amalan negatif yang boleh merosakkan dan menghancurkan umat Islam.
Oleh itu, perkara yang paling utama ialah membebaskan pemikiran kita dari sebarang bentuk ketergantungan kepada sesuatu yang lain selain dari Allah s.w.t. yang boleh membawa kita kepada syirik terhadap Allah.
Ketiga : Melaksanakan Amar Ma’aruf dan Nahi Mungkar
Sudah tentu kita tidak dapat lari dari tanggungjawab melaksanakan semua perintah Allah dan perkara-perkara ma’aruf serta meninggalkan semua yang mungkar, kerana ianya merupakan kewajipan kepada kita semua. Maka ia merupakan satu keutamaan dalam Islam bagi membawa umat manusia ke arah keselamatan dan kesejahteraan. Firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 110 :
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ
Yang bermaksud : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.
Dalam ayat ini, sekiranya setiap muslim melaksanakan tanggungjawab amar ma’aruf dan nahi mungkar, maka sudah pasti kita akan menjadi “khaira ummah” iaitu ummah yang unggul dalam erti kata menjadi ummah contoh yang diikuti sepanjang zaman.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.
Khutbah Kedua
اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَـٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ ﴿١٥﴾
Yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”. (Surah al-Hujurat ayat : 15)
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dapat disimpulkan daripada khutbah pertama tadi, bahawa kemuliaan dan kehormatan seseorang itu adalah dinilai melalui ketinggian keperibadian akhlak. Akhlak merupakan pakaian kepada manusia. Bagi manusia, pakaian adalah untuk menutup segala keaiban dan kecacatan mereka. Hanya manusia yang berpakaian sahaja yang akan dipandang dengan pandangan kemuliaan, adapun manusia yang tidak berpakaian akan nampak segala kecatatan dan kekurangan pada dirinya. Begitulah juga dengan akhlak, merupakan pakaian kepada diri kita. Apabila kita memakai pakaian, semua orang akan nampak kita mempunyai identiti dan keperibadian yang mulia. Oleh itu, hiasilah diri kita dengan sebaik-baik pakaian iaitu pakaian akhlak.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ .
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلْطَانَ أَزْلَنَ مُحِبُّ الدِّيْنُ شَاهٌ اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سُلْطَانَ يُوْسُفَ
عِزُّ الدِّيْنُ شَاهٌ غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman www.4shared.com
No comments:
Post a Comment