“RAPUHNYA KEBATILAN SELAIN ALLAH”
Khutbah Pertama
الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئاَتِ أَعْمَالِنَا ، مَنْ يَهْدِ اللهِ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِىَ لَهُ .
أَشْهَدُ أَن لا إِلَهَ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ، أَرْسَلَهُ بِالحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا بَينَ يَدَيِ السَّاعَةِ ، مَنْ يُطِعِ اللهَ وَرسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَقَدْ غَوَى .
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ .
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ اِتَّقُوْا اللهَ ، أُوْصِيْكُم وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. قَالَ الله تَعَالىَ فِي كِتَابِهِ الْعَظِيْم :
مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ ﴿٤١﴾
"Perumpamaan meraka yang mengambil selain Allah sebagai penolong mereka adalah seperti bandingan labah-labah yang membuat sarang (sebagai tempat berlindung) dan sesungguhnya rumah yang paling rapuh di antara rumah-rumah yang lain adalah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang yang mengetahui." (Surah al-Ankabut ayat 41)
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian,
Saya berpesan kepada tuan-tuan, dan diri saya, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT, dengan sebenar-benar takwa, dengan melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Ayat yang dibacakan di atas tadi, merupakan perumpamaan atau misalan labah-labah membuat sarangnya. Walaupun berkali-kali labah-labah membina sarangnya, sarang tersebut tetap akan musnah kerana rapuh dan lemah buatannya. Inilah perumpamaan yang digunakan oleh Allah untuk menggambarkan kepada kita, bahawa sesiapa yang mengambil penolong mereka selain Allah, adalah diumpamakan seperti labah-labah yang membuat sarang, sebagai tempat berteduh dan menangkap makanan. Sarang yang dibina oleh labah-labah, merupakan rumah yang paling lemah dan rapuh berbanding rumah-rumah makhluk yang lain.
Menurut Ibnu Kathir di dalam Tafsir Ibnu Kathir, mereka yang mensyirikkan Allah dengan mengambil penolong selain Allah Taala adalah mereka yang mengharapkan pertolongan dan mengharapkan rezeki daripada makhluk dan bergantung harap hanya kepada makhluk selain Allah. Mereka diumpamakan seperti sarang labah-labah yang lemah dan rapuh. Manakala menurut Ibnu Jarir al-Thabari di dalam Tafsir al-Thabari, mereka yang mengambil penolong selain Allah ialah manusia mensyirikkan Allah, yang menyeru dan memohon pertolongan kepada selain Allah. Menurut Ibnu Jarir lagi, mereka diumpamakan seperti sarang labah-labah yang rapuh dan lemah, serta tidak bermanfaat walau sedikitpun.
Muslimin Mukminin yang Dirahmati Allah,
Daripada penjelasan di atas, dapat difahami bahawa sebarang bentuk pertolongan kepada makhluk selain Allah adalah merupakan perkara yang lemah dan sia-sia, malah tidak mendatang sedikit manfaat walau sedikit pun. Ayat ini dengan tegas menjelaskan bahawa sarang labah-labah adalah rumah makhluk yang paling rapuh di alam raya ini.
Cuba kita bayangkan, bagaimana nasib sarang labah-labah tersebut apabila ditiup angin, sudah tentu sarang tersebut akan terkoyak dan tidak boleh digunakan lagi oleh labah-labah itu. Sanggupkah kita, menjadi seperti labah-labah dan sarangnya, apabila kita mengambil selain daripada Allah sebagai penolong kita, untuk membantu urusan harian kita, menyelesaikan masalah kita, menyempurnakan segala hajat kita di atas dunia milik Allah Rabbul ‘Alamin??
Sudah tentu kita tidak sanggup untuk menerima nasib malang, seperti labah-labah dan sarangnya, apabila angin bertiup kencang atau dirosakkan oleh makhluk lain, labah-labah tersebut akan kehilangan sarangnya, kehilangan tempat untuk berteduh dan mencari makan. Setelah sarang labah-labah dirosakkan, labah-labah tersebut akan membuat lagi sarangnya yang sifatnya rapuh dan lemah seperti sebelum-sebelumnya.
Begitulah nasib malang yang akan terjadi kepada labah-labah yang tidak mengambil pengajaran daripada kemusnahan dan kerosakan sarangnya kerana rapuh dan lemah buatannya. Labah-labah hanya bergantung kepada air liurnya semata-mata untuk membina sarangnya.
Perkara sebeginilah yang akan terjadi kepada kita, apabila kita hanya bergantung kepada diri sendiri, mengharapkan bantuan dan pertolongan makhluk. Janganlah kita berbuat yang sedemikian, kerana kelak akan merugikan diri kita sendiri seperti yang berlaku kepada labah-labah.
Muslimin Mukminin yang Dirahmati Allah,
Ketahuilah tuan-tuan sekalian, golongan manusia yang mengambil selain Allah sebagai penolongnya boleh dijelaskan seperti berikut :-
1. Golongan ahli tarekat yang jahil yang menyembah kubur guru-gurunya bagi memperolehi karamah dan kelebihan-kelebihan tertentu. Ada dari kalangan golongan ini yang mengadakan tarian dan nyanyian tertentu di atas kubur para wali pada hari dan waktu tertentu bagi memohon pertolongan kepada makhluk yang tiada daya untuk menepis azab dan seksa di kuburnya sendiri.
2. Golongan jahil yang mempercayai bahawa ada kuasa-kuasa lain yang boleh memberi manfaat dan mudharat. Mereka lebih percayakan dukun dan bomoh daripada ketentuan dan kekuasaan Allah Taala. Apabila mereka ditimpa dengan sesuatu musibah mereka terus merujuk dan memohon pertolongan kepada dukun dan bomoh yang mereka percaya boleh membantu menyelesaikan masalah mereka.
3. Golongan metarial yang bertuhankan fahaman kebendaan. Mereka beranggapaan bahawa dunia ini hanya terdiri daripada unsur-unsur material sahaja. Mereka berkeyakinan bahawa fahaman kebendaan sahaja yang boleh memberi kebahagiaan kepada mereka. Mereka mengenepikan perkara sam’iyat dan ghaibiyyat yang datang dari para Rasul dan Nabi.
4. Golongan manusia yang menyembah hawa nafsu mereka semata-mata. Bagi golongan manusia ini, kehendak hawa nafsu adalah satu keutamaan dan kemestian. Apabila bertembung kehendak hawa nafsu dengan kepentingan dan maslahah umum, mereka akan mengutamakan kehendak hawa nafsu mereka walaupun mendatangkan keburukan kepada masyarakat umum.
5. Golongan manusia yang menyembah kepada manusia yang lain yang banyak membantu menyelesaikan masalah hidup seharian. Bagi golongan ini, hanya manusia bangsawan, berpangkat dan dipandang tinggi dalam masyarakat sahaja yang boleh menyelesaikan masalah mereka.
6. Golongan manusia yang menyembah kepada sistem pemikiran dan sistem sosial tertentu yang digubal oleh ‘manusia yang suci’. Mereka beranggapan bahawa sistem yang digubal manusia adalah sistem yang memberi keadilan dan kebebasan kepada semua golongan masyarakat.
7. Golongan manusia yang menyembah kebebasan untuk melakukan apa sahaja. Bagi golongan ini kebebasan adalah mutlak dan merupakan hak peribadi yang tidak boleh dihalang dan diganggu. Segala ketentuan dan peraturan dalam agama adalah mengganggu hak individu untuk hidup bebas.
8. Golongan manusia yang menyembah kepada diri sendiri kerana kepintaran dan kebolehan tertentu. Mereka amat berbangga dengan diri sendiri, dan mengganggap bahawa mereka adalah manusia yang suci dari sebarang dosa dan kesalahan dan beranggapan bahawa manusia yang lain tidak mempunyai kelebihan dan kepintaran seperti mereka.
9. Golongan manusia yang mengikut jejak langkah orang Nasrani dan Orang Yahudi dalam segenap aspek kehidupan mereka. Mereka menjadikan pemikiran dan perilaku orang Nasrani dan orang Yahudi sebagai ikutan mereka.
Muslimin Mukminin Yang diRahmati Allah,
Golongan-golongan manusia yang dinyatakan di atas adalah manusia-manusia yang jahil tidak menerima ketetapan dan petunjuk daripada Allah Taala. Mereka beranggapan bahawa mereka berupaya menjadikan peristiwa alam ini sejajar dengan kemahuan mereka, tetapi sebenarnya mereka lebih lemah untuk melakukan apa-apa pun di alam maya ini, kerana alam maya ini tidak terkeluar daripada kehendak Allah Taala. Tidak ada sesuatu pun di alam maya ini yang berlaku di luar urusan Allah Taala.
Syeikh Mutawalli Sya’rawi, salah seorang ulamak terkenal dari negara Mesir telah menyatakan bahawa kejahilan orang jahil adalah datangnya daripada dua sebab utama iaitu :-
1. Mereka menghabiskan masa di dunia ini dalam masa yang tertentu, kemudian dunia ini akan menginggalkan mereka. Sedangkan Maha Pencipta iaitu Allah Taala tidak akan membiarkan makhluk-Nya begitu sahaja tanpa pertanggungjawaban.
2. Mereka melakukan sesuatu perbuatan dosa secara bersembunyi, dan mereka berusaha keras supaya apa yang mereka lakukan, tidak terdedah kepada pengetahuan orang lain. Kemudian mereka menyangka apa yang mereka lakukan itu, sudah berjaya kerana tiada seorang pun yang mengetahuinya. Akan tetapi mereka terlupa bahawa Allah sentiasa melihat mereka pada setiap detik. Tidak ada yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah, sehinggakan apa yang terlintas dalam hati sekali pun.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Marilah kita menjadikan Allah sebagai penolong kita, untuk membantu menyelesaikan dan menyempurnakan masalah dan hajat kita di atas dunia milik-Nya. Janganlah kita bergantung kepada manusia dan makhluk yang lain, kerana manusia dan makhluk yang lain juga lemah seperti kita, tidak berdaya melakukan apa-apa pun perkara untuk kita, tidak berupaya untuk memberi manfaat dan mudharat kepada kita, dan akan memberi penyesalan kepada kita di akhirat kelak, kerana kita akan dikumpulkan bersama-sama makhluk yang menjadi penolong kepada kita ketika kita di dunia dahulu.
بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ
وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، أَقُولُ قَوْلِي
هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ ،
والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيم
Khutbah Kedua
اَلْحَمْدُ ِللهِ لِلَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيَظْهِرَهُ عَلى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ ِإِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .
فَيَا عِبَادَ اللهِ ، اِتَّقُوْا اللهَ ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قَالَ اللهُ تَعَالى :-
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا ﴿٣٦﴾
Maksudnya : "Dan tidaklah harus, bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, ia mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata."
Tuan-tuan Budiman Yang Dikasihi Allah sekalian,
Sedarilah tuan-tuan sekalian, bahawa Allah Taala mahukan kita menyambut kehidupan ini dengan sahutan keimanan, iaitu dengan cara yang dapat mengingatkan kita bahawa kemajuan dan pencapaian yang berlaku di alam semesta ini adalah terhasil melalui kekuasaan Allah dan kebesaran-Nya. Maka dengan cara ini sahaja akan bertambahlah keyakinan iman kita.
Allah telah menerangkan kepada kita, bahawa segala peristiwa di alam maya ini telah pun ada dalam pengetahuan Allah sebelum makhluk diciptakan, namun di sana ada orang yang mendakwa bahawa manusia yang pintar berupaya untuk menentukan sendiri haluan takdirnya. Setiap kali ilmu pengetahuan berkembang maju untuk memberikan sesuatu peraturan alam yang baru kepada kita, maka kita menyangka bahawa kitalah yang mengasaskan peraturan-peraturan itu.
Sebelum nyawa kita dicabut oleh Allah, marilah kita bersama-sama memohon agar Allah petunjuk dan hidayah-Nya kepada kita. Menurut Syeikh Mutawalli Sya’rawi, di dalam bukunya Berakhirnya Usia Dunia telah menyatakan bahawa : “Allah menjadikan kematian tanpa mempunyai sebab. Kematian itu boleh sahaja mengejutkan kita pada bila-bila masa. Seseorang yang menikmati kesihatan yang sejahtera tidak bererti dia akan hidup lama. Manusia yang masih kecil peringkat usianya tidak bererti umur yang panjang menanti di hadapannya. Kematian itu datang menjemput kanak-kanak dan orang dewasa serta orang yang sihat dan orang yang sakit. Adakalanya seorang yang sangat sihat meninggal dunia dan kanak-kanak kecil meninggal dunia, sedangkan orang yang sakit sampai usia tua masih juga belum meninggal dunia”.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الْإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah sepenuhnya nikmat kesihatan dan kelapangan, taufiq dan hidayahmu, kepada Raja kami Duli Yang Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْأِحْسَانِ ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com
No comments:
Post a Comment