Wednesday, June 6, 2012

Khutbah Jumaat - 15 Rejab 1433 H / 4 Jun 2012M

KHUTBAH KHAS SEMPENA SOLAT GERHANA BULAN
PADA 15 REJAB 1433 H / 4 JUN 2012M 



اَلْحَمْدُ لِلَّهِ مُصَرِّفِ الأَكْوَانِ، ومُعَاقِبِ الْلَيْلِ وَالنَّهَارِ ومُقَلِّبِ الأَزْمَانِ، لَتُشْرِقَ بِهَا قُلُوبُ أُولِي اَلْعِرْفَانِ، وتَزِيْدُ مِنْ يَقِينٍ أَهْلَ الإِيْمَانِ، وتَقُومُ بِهَا اَلْحُجَّةُ عَلَى أَهْلِ الفُسُوقِ وَالكُفْرَانِ،
وأَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ الكَرِيمُ المَنَّانُ، وأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، حَبِيبُ الرَحْمَنِ، وسَيِّدُ الأَكْوَانِ، وصَاحِبُ المُعْجِزَاتِ والبُرْهَانِ، المَبْعُوثُ إِلَى الخَلْقِ أَجْمَعِين مِنَ الإِنْسِ وَالْجَانِّ، والمَنْعُوتَ بِالفَضْلِ العَمِيمِ، والخَلْقِ العَظِيمِ، فِي التَّورَاةِ والإِنْجِيلِ وَالزَّبُورِ وَالفُرْقَانِ، صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ الغُرِّ الكِرَامِ الحِسَانِ، وَعَلَى التَّابِعِين لَهُمْ بِإِحْسَانٍ، وَسَلَّمَ تَسْلِيماً كثيراً مَا تَعَاقَبَ الحَدْثَان.
أَمَّا بَعْدُ..
فَأُوْصِيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِتَقْوَى اللهِ فِي السِرِّ والعَلَنِ والغَيْبِ والشَّهَادَةِ فَمَا اسْتَمْطَرَتِ الرَحْمَاتُ وَلَا اِسْتَجْلَبَتِ النَفَحَاتُ وَلَا اِسْتَدْفَعَتِ المَصَائِبُ والبَلِيَاتُ بِمِثْلِ تَقْوَى اللهِ رَبِّ البَرِّيَّاتِ ، فَاتَّقُوا اللهَ أَيُّهَا المُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.
.
Sidang Jemaah yang dimuliakan sekalian,

Merujuk hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Masud r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : 

"إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ، يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِمَا عِبَادَهُ"

Bermakna : ” Sesungguhnya matahari dan bulan itu adalah ayat-ayat ALLAH SWT, ALLAH SWT mahu menakutkan hambanya dengan keduanya ( matahari dan bulan ).”

Begitu juga terdapat hadis di dalam Syarah Imam Nawawi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Musa r.a berkata :

خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِيْ زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُوْنَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلَ قِيَامٍ وَرُكُوْعٍ وَسُجُوْدٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِيْ صَلاَةٍ قَطُّ، ثُمَّ قَالَ: اِنَّ هَذِهِ الْاَيَاتِ الَّتِى يُرْسِلُ اللهُ لَا تَكُوْنُ لِمَوْتِ اَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ، فَاِذَا رَاَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوْا اِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ.

Bermakna : ”Ketika zaman Rasulullah SAW hidup gerhana matahari telah berlaku, maka baginda bangun tergesa-gesa kerana bimbang hari Kiamat sudah tiba, lalu Baginda bersegera ke masjid. Maka baginda pun bersolat dengan berdiri, rukuk dan sujud yang lama, dan aku tidak pernah melihat selama ini baginda solat begitu. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya inilah ayat-ayat yang dikirimkan oleh Allah, yang terjadinya bukan kerana kematian seseorang atau kehidupannya tetapi Allah mengirimkannya untuk menakuti para hambanya. Oleh sebab itu, apabila kalian melihatnya maka segeralah ingat kepadanya, berdoa memohon ampun kepadanya.”

Sidang Jemaah yang dimuliakan sekalian,

Hadis di atas mengambarkan kepada kita bahawa fenomena gerhana ini sebenarnya adalah peringatan bahkan amaran dari ALLAH SWT. Suasana cerah tapi tiba-tiba gelap membuatkan manusia menjadi takut dan risau pada apa yang sedang berlaku. Bulan yang sepatutnya cerah dan mengambang, tiba-tiba terhalang cahayanya. Maka kerana itulah ALLAH SWT mengunakan fenomena gerhana ini untuk menakut-nakutkan manusia.

Imam Ibn Hajar di dalam Fathul Bari menyebutkan bagaimana kebimbangan Rasul SAW hingga menyebabkan baginda bersegera ke masjid, bersolat dengan bacaan yang panjang, berdoa dan beristighfar. Seolah-olah gerhana adalah satu musibah yang akan menimpa manusia, dan bukan sebagai sekadar satu fenomena semulajadi yang terjadi akibat keadaan bulan yang berada di antara bumi dan matahari dalam kejadian matahari, dan dalam keadaan bumi berada di antara bulan dan matahari dalam kejadian gerhana bulan.

Malah Rasul SAW mengatakan bahawa kejadian itu menyebabkan ketakutan pada dirinya dan memaklumkan atau mengkhabarkan kepada sahabatnya bahawasanya Allah SWT sedang menakutkan mereka dengan kejadian atau fenomena seumpama itu, dan lantas baginda menunaikan solat dan menyeru sahabat-sahabatnya untuk menzahirkan ketakutan dengan Qiyam, ruku’ dan sujud yang panjang.

Sidang Jemaah yang dimuliakan sekalian,

Imam Nawawi menyatakan hadis Abi Musa ini kemungkinan berlaku sebelum Rasul SAW diberitahu tentang tanda-tanda kiamat seperti terbitnya matahari di barat, Ya’juj dan Ma’juj dan sebagainya. Namun sekiranya ia berlaku selepas pemberitahuan alamat-alamat kiamat, Imam Nawawi menyatakan mungkin kebimbangan Rasul SAW gerhana ini berlaku sebagai tanda amaran bagi azab ALLAH SWT sehingga tidak henti-henti berdoa hinggalah suasana menjadi cerah kembali.

Ini mengingatkan kita ketika detik-detik qiamat. Seperti mana difirmankan ALLAH SWT di dalam surah al-Qiamah ayat 6-9 : 

يَسْأَلُ أَيَّانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ ﴿٦﴾ فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ ﴿٧﴾ وَخَسَفَ الْقَمَرُ ﴿٨﴾ وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ ﴿٩﴾

“Dia bertanya (secara mengejek): "Bilakah datangnya hari kiamat itu?" maka (Jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), dan bulan hilang cahayaNya, dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama.”

Imam al-Qurtubi menyatakan ketika hari hampir-hampir kiamat matahari dan bulan akan kehilangan sinar dan cahayanya. Ibn Abbas dan Ibn Masud pula menggambarkan ketika itu dihimpunkan matahari dan bulan terbit di sebelah barat dalam bentuk bebola hitam kerana masing sudah semakin kehilangan cahayanya. Hakikat keadaan pada waktu itu sudah pasti akan jadi haru biru, kucar kacir dan manusia kebingunan tidak dapat kita bayangkan.

Imam al-Razi di dalam tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan ada ulama menyatakan sebelum berlakunya kiamat, gerhana akan berlaku. Imam Alusi dalam tafsir Ruhul Maani menyatakan adakah tidak mustahil peristiwa kiamat ini akan berlaku ketika awal bulan hijri di mana ketika berlakunya gerhana matahari, ataupun berlaku pada pertengahan bulan di mana ketika berlakunya gerhana bulan.

Lebih menarik Dr. Muhammad Basil al-Ta’i dalam bukunya Khalqu al-Kauni: Baina al-Ilm wa al-Iman, menyatakan ayat ini menunjukkan bagaimana Allah SWT menyatakan bagaimana detik-detik kemusnahan bumi dan alam ini. Perhimpunan ini bukan sekadar gerhana, namun perhimpunan dalam erti kata bulan dan matahari akan disatukan! Ianya berlaku ketika matahari sudah mencapai penghujung hayatnya, ia akan mengembang hingga membakar planet-planet termasuk bumi dan bulan. Dalam erti kata lain kemusnahan sistem solar akan berlaku apabila matahari mengembang dan membesar hingga semua objek-objek di langit berhampiran dengan matahari akan hancur di’makan’ matahari.

Dari segi bahasa perkataan ijtima’ adalah dari ijtama’a yang bermaksud berhimpun tapi tidak bercantum, manakala perkataan jumi’a di sini berasal dari kata jama’a yang membawa maksud berhimpun yang mengakibatkan pelanggaran dan percantuman.

Imam al-Razi menyebutkan, jika di dalam surah Yasin : 40 , Allah berfirman :

لَا الشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَا أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ ۚ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ ﴿٤٠﴾

“(dengan ketentuan Yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.”

Namun ketika berlakunya kiamat, matahari dan bulan saling mendapatkan antara satu dengan lain, hingga bersatulah keduanya. Segala sistem yang Allah tetapkan akan diberi titik akhir hingga matahari dan bulan kembali bercantum.

Sidang Jemaah yang dimuliakan sekalian,

Renungilah.. bahawa gerhana itu sebenarnya adalah percikan kedahsyatan hari Kiamat. Sehingga Nabi Muhammad SAW yang sangat mengetahui tanda-tanda Kiamat pun turut resah dan gelisah. Baginda bimbang jika sudah tibanya waktu Kiamat yang dahsyat itu, walaupun belum ada tanda-tanda besar akan berlakunya Kiamat.

Maka, kerana itu marilah kita sama-sama menginsafi kekerdilan diri di hadapan Allah SWT ketika kita berhadapan dengan kehebatanNya mengatur dan mencipta alam ini. Sesungguhnya gerhana ini adalah tanda-tanda keAgungan Allah SWT yang menunjukkan kelemahan diri kita yang hanyalah sekadar hamba, hamba kepada Yang Maha Agung.

أقُولُ قَوْلي هَذَا   وَأسْتغْفِرُ اللهَ العَظِيمَ   لي وَلَكُمْ،   فَاسْتغْفِرُوهُ   يَغْفِرْ لَكُمْ    إِنهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ،  وَادْعُوهُ يَسْتجِبْ لَكُمْ   إِنهُ هُوَ البَرُّ الكَرِيْمُ.





Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman www.4shared.com

No comments:

Post a Comment