"MEMANFAATKAN CUTI PERSEKOLAHAN"
الْحَمْدُلِلهِ الْقَائِلْ،
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا
وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا
يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (SURAH AT-TAHRIM, ayat 6)
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ,
وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللهِ !
اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Wahai Hamba-hamba Allah sekelian,
Marilah pada kesempatan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita laksanakan segala suruhan dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Cuti akhir tahun persekolahan anak-anak kita kini muncul sekali lagi. Antara tujuan cuti persekolahan adalah untuk memberi sedikit kerehatan kepada murid-murid sekolah yang sudah sekian lama belajar, sebelum mereka menyambung semula pelajaran mereka pada tahun akan datang.
Cuti akhir tahun adalah satu cuti yang agak panjang iaitu lebih daripada sebulan, namun jika ianya tidak diuruskan dengan baik, ia akan menjadi sia-sia dan berlalu begitu sahaja. Justeru, musim cuti persekolahan perlu dirancang dan diurus dengan baik supaya ianya dapat memberi manfaat kepada anak-anak, ibu bapa dan masyarakat.
Muslimin mukminin yang berbahagia,
Setiap ibu bapa hedaklah bijak menguruskan cuti persekolahan anak- anak mereka. Orang yang beriman tidak akan membiarkan diri mereka dan keluarga mereka berada dalam keadaan lagho atau pun sia-sia. Mereka akan meninggalkan perbuatan sia-sia sepertimana Firman Allah SWT. dalam surah Al-Furqaan ayat 72:
وَٱلَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا۟ بِٱللَّغْوِ مَرُّوا۟ كِرَامًۭا ﴿٧٢﴾
Yang bermaksud: "Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu , apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya" .
Sekiranya anak-anak kita tidak dididik untuk bijak mengurus masa dengan betul, dikhuatiri suatu hari nanti bila mereka dewasa, mereka tidak tahu mengurus masa depan dengan baik. Maka akhirnya mereka akan terjebak dengan budaya negatif dan berani melakukan perkara-perkara yang menyimpang dari agama dan budaya, lantas lahirlah penyakit gejala sosial yang merebak dan menular di kalangan remaja dan masyarakat. Fenomena hari ini kian berlaku, justeru, khutbah kita pada hari ini menyeru umat Islam seluruhnya supaya ingat dan sedar untuk menjauhkan diri daripada tergolong di kalangan orang-orang yang lalai. Ibu bapa yang peka dan prihatin hedaklah sentiasa memastikan anak-anak mereka terdidik dan memenuhi musim cuti mereka ini dengan aktiviti-aktiviti yang membina jati diri mereka . Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq sering berdoa supaya terhindar daripada kelalaian dengan doanya yang bermaksud :
"Ya Allah, janganlah Engkau membiarkan kami dalam sengsara, janganlah Engkau menyiksa kami secara mengejut, janganlah Engkau jadikan kami daripada golongan yang lalai" .
Sidang Jumaat Rahimakumullah,
Kita mengajak ibu bapa menanamkan kesedaran dan kefahaman kepada anak-anak tentang nilai-nilai murni seperti menyedarkan mereka tentang pengurusan masa dan dapat mengisi masa mereka ketika cuti dengan sesuatu yang menguntungkan dan berkesan pada diri seorang pelajar .
Kata pepatah Arab:
" Masa itu ibarat sebilah pedang, jika kamu tidak memotongnya (menghargainya) nescaya ia akan memotong kamu".
Kata hukama' masa itu kehidupan. Masa juga adalah umur kita. Sekali ia telah berlalu, ia tidak akan kembali sampai bila-bila. Anggaplah masa yang diberikan kepada kita adalah satu amanah. Allah akan bertanya tentang amanah yang diberikan kepada kita di hari kiamat nanti . Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:
لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ
وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ
وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ
"Kedua-dua kaki seseorang hamba itu tidak akan bergerak (di padang mahsyar), sehingga disoal tentang umurnya, bagaimana ianya dihabiskan, tentang ilmunya, apa yang dilakukan dengannya, tentang hartanya dari mana ianya diperolehi dan untuk apa ianya dibelanjakan, tentang tubuh badannya, di mana ia pergunakan" . (Hadis Riwayat At-Tirmizi) .
Kata imam Asy-syahid Hasan Al-Banna:
" Kewajipan (yang perlu kita sempurnakan) adalah lebih banyak dari masa yang kita ada, maka sepatutnya tidak ada satu saat yang kita biarkan ianya berlalu tanpa kita menggunakannya dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah " .
Justeru, ibu bapa hendaklah :
1 . Menyedarkan mereka bahawa musim cuti bukan dihabiskan untuk berehat semata-mata, bermain, tidur dan menonton televisyen sepuas-puasnya, sebaliknya musim cuti adalah masa untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dengan:
* Mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan pada tahun-tahun berikutnya;
* Ibu bapa dicadangkan mencari guru-guru yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak dengan kelas-kelas tuisyen dan aktiviti latih tubi;
* Melibatkan anak-anak dengan kelas-kelas kesedaran Islam, Fardhu Ain, Tahsin Qiraat, Smart Solat dan kelas-kelas hafazan jangka pendek.
2 . Ibu bapa perlu membimbing anak-anak untuk memilih budaya hidup yang sihat. Masa lapang yang agak panjang pada musim cuti sekolah hendaklah diaturkan dengan program dan aktiviti yang mampu memantapkan fizikal anak-anak seperti penyertaan dalam ekspidisi mendaki bukit, berbasikal, penyertaan dalam sukan anjuran masjid, waja diri, berkebun dan lain-lain .
3 . Libatkan anak-anak dalam program dan aktiviti yang boleh mendorong mereka berjaya seperti Kem Motivasi , Nadwah Islam, rehlah, Kem Insan cemerlang dan lain-lain.
4 . Memberikan pendedahan kepada anak-anak remaja anasir-anasir yang boleh meruntuhkan Islam seperti keruntuhan akhlak, akidah dan syariat yang akhirnya membawa kerosakan kepada kehidupan.
Sebagai ibu bapa kita haruslah peka dengan perkembangan gejala sosial dan hendaklah mencari jalan penyelesaian terutama bagaimana harus menyelamatkan generasi anak-anak kita agar tidak menjadi mangsa kerosakan itu .
Saudaraku Sidang Jumaat yang dikasihi,
Inilah masanya yang paling sesuai untuk ibu bapa memberikan penekanan mengenai ilmu agama atau pun ilmu Fardu Ain. Jika pada masa persekolahan kita sibuk menekankan kecemerlangan akademik, maka inilah masanya kita memanfaatkan ruang ini untuk membekalkan anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai panduan hidup mereka dalam mengharungi arus dunia yang bersimpang-siur ini.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah rendah, di mana kebanyakan anak-anak belum lagi mencapai umur baligh, maka sepatutnya ibu bapa mengambil peluang ini untuk memastikan anak-anak mereka dapat menguasai dengan baik ilmu Fardu Ain sebelum anak mereka mencapai umur baligh. Ini kerana, apabila anak-anak telah mencapai umur baligh, segala perbuatan mereka telah dikira dosa dan pahala. Mereka akan berdosa jika tidak dapat soat dengan betul, mereka akan berdosa jika tidak dapat melakukan puasa dengan sah. Maka kewajipan ibu bapa bukan sahaja perlu untuk memberikan ilmu Fardhu Ain kepada anak-anak, bahkah membimbing serta menguatkuasakan perintah Allah yang wajib kepada anak-anak khususnya kewajipan solat.
Rasulullah s.a.w. berpesan kepada setiap ibu bapa :
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ
وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
"Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang ketika anak kamu berumur tujuh tahun, pukullah mereka (jika enggan mengerjakan solat) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka " . (Hadis Riwayat Abu Daud).
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Anak-anak adalah amanah Allah. Maka menjadi kewajipan ibu bapa untuk memastikan anak-anak sentiasa taat kepada Allah. Ibu bapa dan juga murid perlu merebut peluang musim cuti persekolahan ini untuk membangunkan syakhsiah yang sihat. Pada masa inilah saat yang paling sesuai bagi ibu bapa membina kekuatan syakhsiah anak-anak setelah hampir sepanjang tahun penumpuan dan penekanan diberikan kepada kecemerlangan akademik. Mereka perlu diajar bagaimana menjadi ahli masyarakat yang baik. Ibu bapa perlu menggunakan peluang ini untuk membina dan memantapkan syakhsiah dan jati diri anak-anak seperti menghantar mereka menyertai Khemah Ibadah untuk membentuk akhlak dan memperkasakan jati diri anak-anak.
Ambillah peluang di musim cuti persekolahan ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim, khususnya bagi keluarga terdekat dengan menziarahi saudara-mara sama ada yang di kampung atau di bandar apabila hubungan kekeluargaan dan saudara-mara menjadi akrab dan mantap, hidup akan menjadi ceria dan mendapat rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.
Selain itu, gunakanlah juga peluang cuti persekolahan ini untuk berjalan-jalan menikmati keindahan alam semulajadi negara kita yang kaya dan indah ini. Aktiviti ini sebenarnya meningkatkan kefahaman akidah dan tauhid kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan supaya kita akan merasa betapa bersyukurnya mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah. Firman Allah dalam surah al-‘Ankabut ayat 20 :
قُلْ سِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ بَدَأَ ٱلْخَلْقَ ۚ
ثُمَّ ٱللَّهُ يُنشِئُ ٱلنَّشْأَةَ ٱلْءَاخِرَةَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ﴿٢٠﴾
Maksudnya: "Katakanlah: "berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu" .
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Sesungguhnya banyak perkara yang boleh dimanfaatkan pada musim cuti persekolahan ini. Rancanglah dengan baik, jika kita gagal untuk merancang, bererti kita sebenarnya merancang untuk gagal.
فَسُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ ﴿١٧﴾
وَلَهُ ٱلْحَمْدُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَعَشِيًّۭا وَحِينَ تُظْهِرُونَ ﴿١٨﴾
Maksudnya: "Maka bertasbihlah (bersolat) kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam (solat maghrib dan ‘isyak) dan semasa kamu berada pada waktu subuh (solat subuh). Bagi-Nyalah segala puji di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepada-Nya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu Zohor" (Ar-Rum:17-18)
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ
وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ,
وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ,
أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ
وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman www.4shared.com. Klik di sini.
No comments:
Post a Comment