Friday, April 13, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 26 REJAB 1439 / 13 APRIL 2018


ISRAK DAN MIKRAJ

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Israk dan Mikraj".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Israk dan Mikraj seperti yang kita ketahui berlaku dalam bulan Rejab adalah merupakan perjalanan Nabi s.a.w dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa seterusnya diangkat pula ke Sidratul Muntaha. Peristiwa Israk dan Mikraj ini merupakan penghibur hati kepada baginda Rasulullah s.a.w setelah kehilangan tunjang belakang dan kekuatan baginda dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid. Peristiwa Israk dan Mikraj juga merupakan salah satu mukjizat Nabi s.a.w dan bukti kesetiaan para sahabat yang mampu berdiri teguh di belakang Nabi s.a.w dan menguatkan keimanan dalam diri mereka.

Apabila peristiwa perjalanan Israk dan Mikraj tersebut dikhabarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w kepada penduduk Makkah, ramai yang menolaknya. Namun Saiyidina Abu Bakr r.a menerima perkhabaran tersebut dan dengan tegas menyatakan: "Aku percaya bahawa yang Rasulullah s.a.w ceritakan itu adalah benar dan bahawa dia adalah pesuruh Allah, aku percaya kepadanya tentang hal-hal yang lebih pelik dari itu. Aku percaya kepadanya tentang berita-berita dari langit yang dibawanya siang mahu pun malam, maka bagaimana aku tidak mempercayainya tentang israknya ke Baitul Muqaddis yang merupakan suatu kemuliaan yang dianugerahkan Allah kepadanya". Firman Allah s.w.t dalam Al-Israk Ayat 1:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾

Maksudnya: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad s.a.w) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Sidang Jumaat sekalian,

Antara peristiwa-peristiwa yang baginda saksikan sepanjang perjalanan Israk yang merupakan tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t ialah:

1. Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril: Itulah kaum yang menginfaqkan hartanya pada jalan Allah yang digandakan pahala kebajikannya sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak dari itu.

2. Sekumpulan orang-orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali, Jibril memberitahu: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud dan mendirikan solat.

3. Sekumpulan orang yang menutup kemaluan dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka jahannam. Kata Jibril itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

4. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging yang busuk sedangkan daging yang dimasak elok ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

5. Lelaki yang lemas dalam sungai darah dan apabila meminta tolong dia dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan riba.

6. Lelaki yang memikul seberkas kayu sedang dia tidak terdaya memikulnya, tetapi masih mahu menambahkan lagi kayu yang lain. Kata Jibril: Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

7. Seorang perempuan yang terlalu tua memanggil Rasulullah s.a.w untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Peristiwa Mikraj pula menyaksikan Nabi Muhammad s.a.w berjumpa dengan nabi-nabi yang terdahulu di setiap lapisan langit sebagaimana disebutkan dalam hadits shahih riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Sidang Jumaat sekalian,

Kemuncak kepada peristiwa Israk dan Mikraj ialah apabila Allah memfardhukan solat fardhu sebanyak 50 waktu sehari semalam dan akhirnya dikurangkan menjadi 5 waktu seperti yang kita laksanakan sekarang tanpa mengurangkan pahala 50 waktu tersebut. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim untuk menuruti segala perintah-Nya sepertimana perintah menunaikan solat 5 waktu sehari semalam walaupun kita merasakan ianya juga berat, maka Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 45:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ﴿٤٥﴾

Maksudnya: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj menceritakan kepada kita tentang pelbagai bentuk pendidikan dan pengajaran yang berharga, antaranya adalah:

1. Sebagai muslim kita wajib meyakini dan mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj itu benar-benar berlaku dan wajib beriman dengannya kerana ia telah disebut di dalam Al-Quran dan hadits-hadits yang shahih.

2. Peristiwa Israk dan Mikraj menggambarkan perjalanan seorang hamba menuju kepada Allah yang akan menghadapi berbagai cabaran dan ujian yang memerlukan kekuatan iman dalam diri kita.

3. Permulaan perjalanan seorang muslim menuju keredhaan Allah s.w.t, bermula dengan membersihkan hatinya dan membetulkan niatnya.

4. Solat 5 waktu hendaklah dilakukan walau dalam keadaan apa sekalipun selagi manusia mempunyai akal yang sihat.

5. Umat Islam hendaklah memberi sokongan penuh kepada perjuangan mempertahankan Baitul Muqaddis daripada serangan dan pencerobohan yahudi laknatullah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment