Friday, April 6, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 19 REJAB 1439 / 6 APRIL 2018


KEMANISAN IMAN YANG DIHAJATI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
أَفَمَن شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَـٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢٢﴾ (سورة الزمر اية ٢٢)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Kemanisan Iman Yang Dihajati".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya mental, fizikal dan spiritual adalah tiga aspek penting yang wujud dalam diri manusia. Ketiga-tiga aspek aspek ini wujud sama ada yang bertamadun atau tidak. Sama ada manusia yang beragama atau tidak beragama. Ketiga-tiga aspek ini diisi oleh Islam berdasarkan panduan wahyu dengan nama Iman, Islam dan Ihsan. Iman adalah kepercayaan atau aqidah. Manakala Ihsan adalah kerohanian atau akhlak. Iman, Islam dan Ihsan itu adalah paksi kepada agama Islam sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Ketiga-tiga paksi agama Islam ini mestilah diambil berat oleh setiap muslim secara seiringan tanpa boleh dipisahkan.

Sesungguhnya, kemanisan iman bermaksud perasaan gembira dalam melakukan ibadah dan sanggup menanggung kesukaran demi mendapatkan keredhaan Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Taatilah segala suruhan dan larangan serta mengutamakan Allah s.w.t dan Rasul-Nya lebih daripada segala-galanya. Rasulullah s.a.w telah menjelaskan bahawa kemanisan iman itu tercapai dengan pengakuan, penerimaan dan penghayatan Allah s.w.t sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad s.a.w itu sebagai rasul-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Al-'Abbas bin Abdul Muttalib r.a:

ذَاقَ طَعْمَ الْإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا

Bermaksud: "Kemanisan iman itu dirasa oleh orang yang redha bahawa Allah s.w.t sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai rasul-Nya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Kemanisan iman amat penting bagi setiap muslim. Ini kerana apabila iman telah bertapak di jiwa seseorang muslim maka dia tidak lagi malas, bosan, penat dan cuai sebaliknya sentiasa semangat, rajin dan cergas dalam melaksanakan segala tuntutan Islam. Muslim yang mencapai kemanisan iman pastinya sentiasa positif di dalam kehidupannya. Apabila dia mendapat nikmat dia bersyukur. Apabila dia mendapat musibah dia bersabar. Jiwanya sentiasa redha, syukur dan bahagia. Hatinya sentiasa merasa bahagia apabila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Dirinya sentiasa merasakan keberadaan dan pengawasan Allah s.w.t dengan kehidupan yang bertunjangkan kepada penghayatan Ihsan.

Dalam usaha mencapai kemanisan iman, Rasulullah s.a.w telah memberi panduan dengan kaedah yang amat jelas. Hadits daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Bermaksud: "Tiga perkara ini jika terdapat dalam diri seseorang nescaya dia akan merasai kemanisan iman iaitu; dia menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai olehnya daripada yang lain daripada keduanya; dia mencintai saudaranya tiada lain cintanya itu melainkan kerana Allah semata-mata; dia benci kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Melalui panduan hadits di atas, kemanisan iman diusahakan melalui perkara berikut:

Pertama: Mencintai Allah s.w.t lebih daripada segalanya.
Cinta kepada Allah s.w.t menghasilkan kemanisan iman pada tahap yang tertinggi. Melaluinya jiwa akan sentiasa tenang dan hati sentiasa dipandu oleh petunjuk-Nya. Seorang mukmin akan sentiasa positif di dalam apa jua keadaannya. Senang atau susah, kaya atau miskin, sihat atau sakit dan sebagainya. Segala perintah dan larangan Allah s.w.t dituruti dengan hati yang patuh dan redha. Natijahnya, mukmin yang merasakan kemanisan iman benar-benar akan menghayati setiap tindakannya serta melaksanakannya dengan sebaik mungkin demi mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Kedua: Mencintai Rasulullah s.a.w selepas cintanya kepada Allah s.w.t.
Sesungguhnya baginda merupakan utusan Allah s.w.t yang menyampaikan kepada kita segala perkara yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Melalui baginda, kita mendapatkan Islam, mengenal Allah s.w.t dan mengetahui akan segala perintah dan larangan-Nya. Kedudukan baginda tiada taranya. Baginda adalah insan teragung dan rasul terulung.

Sesungguhnya untuk mendapat cinta Allah s.w.t maka seseorang itu perlu mencintai Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ali-'Imran Ayat 31:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾

Bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad); Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Ketiga: Mencintai saudaranya kerana Allah s.w.t semata-mata.
Allah s.w.t menciptakan manusia dalam pelbagai warna, bangsa dan adat untuk saling mengenali. Justeru kemanisan iman itu ialah dengan mencintai saudaranya hanya kerana Allah s.w.t. Ini kerana hubungan persaudaraan yang wujud bukanlah kerana kemuliaan, harta atau pangkat tetapi hubungan yang wujud antara keduanya hanya kerana Allah s.w.t semata-mata. Persaudaraan ini menjamin keamanan, kebahagiaan dan kejayaan bagi sesebuah masyarakat bukan sahaja di dunia tetapi berterusan sehingga ke akhirat. Ini kerana seorang yang berilmu akan membantu dengan ilmunya, yang kaya akan membantu dengan hartanya, yang kuat akan membantu dengan kekuatannya. Ingatlah, mukmin sesama mukmin bagaikan sebuah bangunan yang saling memperkuat dan membantu dalam mencapai kesejahteraan hidup mereka dunia dan akhirat.

Maka demi masa depan ummah, marilah kita bantu membantu sesama mukmin, hulurkanlah salam persaudaraan dan tautkanlah cinta sejati antara kita hanya kerana Allah s.w.t. Ketepikanlah keegoan diri dan lenyapkanlah segala sengketa peribadi, peliharalah sebaik-baiknya hubungan antara kita walaupun berbeza pandangan dan ideologi. Berwaspadalah kita kerana pihak musuh sentiasa inginkan mukmin sesama mukmin berbalah sesama sendiri.

Keempat: Membenci dan tidak akan kembali kepada kekufuran.
Sesungguhnya membenci kekufuran sebagaimana bencinya seseorang itu dicampakkan ke dalam api neraka merupakan tanda tercapainya kemanisan iman. Mukmin yang mencapai kemanisan iman akan menyembah dan mengabdikan dirinya kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benarnya. Dia tidak akan menyembah Allah s.w.t dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap iaitu jika dia beroleh kebaikan dia berada di dalam ketaatan dan apabila dia ditimpa kesusahan berbaliklah dia kepada kekufuran. Sesungguhnya amat rugilah orang-orang yang bersikap sedemikian. Rugi dunia dan akhiratnya.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Kemanisan iman itu berkait dengan fenomena bertambah dan berkurangnya keimanan seseorang. Justeru, bagi memastikan kemanisan iman diperolehi dan berterusan maka tahap keimanan seseorang perlu diawasi agar sentiasa bertambah dan tidak berkurang. Antara kaedah untuk meningkatkan keimanan ialah:

Pertama: Kefahaman dan penghayatan terhadap mengenal Allah dan mengesakan Allah s.w.t. Mukmin yang menyedari dan mengenali Tuhannya akan patuh mengabdikan diri kepada Penciptanya.

Kedua: Memahami dan menghayati ayat-ayat Al-Quran sebagai panduan dalam mencapai kebahagiaan serta memperbanyakkan zikir dan mengingati Allah s.w.t di dalam setiap keadaan, masa dan tempat.

Ketiga: Mengamalkan sunnah-sunnah Nabi Muhammad s.a.w serta mencontohi akhlak baginda.

Keempat: Sentiasa bersama dengan ilmuan, ahli ibadah, teman soleh solehah yang sentiasa mengingatkan kita terhadap Allah s.w.t serta berdoa memohon petunjuk daripada Allah s.w.t agar sentiasa menetapkan hati di dalam ketaatan dan kepatuhan kepada Allah s.w.t.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment