Thursday, July 6, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 13 SYAWAL 1438 / 7 JULAI 2017


SYAWAL CITRA FITRAH INSANI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي مَنَّ عَلَيْنَا بِالصِّيَامِ وَالقِيَامِ، وَبِإِدْرَاكِ أَشْهُرِ الْحَجِّ إِلَى بَيْتِ اللهِ الْحَرَامِ، وَنَسْأَلَهُ سُبْحَانَهُ الْقَبُوْلُ وَالْفَوْزُ بِالْجِنَانِ، وَالسَّلَامَةِ مِنَ النِّرَانِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ خَيْرَ مَنْ صَلَّى وَصَامَ وَأَنَابَ إِلَى اللهِ وَتَابَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan telah pun meninggalkan kita. Sesungguhnya Ramadhan akan menjadi saksi yang membela kalangan mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakan ketaatan kepada Allah s.w.t atau sebaliknya menjadi saksi yang akan menghina mereka yang memandang remeh terhadapnya.

Sewaktu zaman generasi sahabat radhiAllahu 'anhum, saat mana Ramadhan akan meninggalkan mereka hati mereka merasa sangat sedih kerana bimbang yang amalan mereka di bulan Ramadhan dahulu tidak diterima oleh Allah s.w.t. Oleh yang demikian, mereka segera menumpukan perhatian dalam menyempurnakan dan menekuni amalan sebagaimana yang dilakukan dalam bulan Ramadhan agar amalan mereka diterima.

Jelasnya, mereka bukanlah golongan yang merasa puas dengan amalan yang telah dilakukan dan mereka tidaklah termasuk dalam golongan yang tertipu akan pelbagai amalan yang telah dilakukan. Akan tetapi mereka adalah kaum yang sentiasa merasa bimbang dan takut bahawa amalan yang telah mereka lakukan ditolak oleh Allah s.w.t kerana adanya kekurangan. Demikianlah sifat seorang mukmin yang mukhlis dalam beribadah kepada Tuahnnya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mukminun Ayat 60:

وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوا وَّقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَىٰ رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ ﴿٦٠﴾

Bermaksud: "Dan orang yang memberi apa yang mereka berikan sedangkan hati mereka gerun gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka".

Sidang jamaah yang dimuliakan,

Namun persoalannya, apakah sebenarnya yang kita raikan dengan ketibaan Syawal ini? Ya, sesungguhnya yang kita raikan dengan ketibaan 1 Syawal itu adalah disebabkan kembalinya fitrah kehidupan kita atas dasar syariat Islam. Jelasnya, 'Eidul Fitri itu adalah anugerah terbesar pemberian Allah s.w.t iaitu agama Islam. Agama yang telah memuliakan kita, memberi harga diri kepada kita dan yang telah memelihara martabat kemanusiaan kita. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taubah Ayat 33:

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ﴿٣٣﴾

Bermaksud: "Dialah yang telah mengutus rasul-Nya (Muhammad s.a.w) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam) untuk dimenangkan dan ditinggikan atas segala agama yang lain, walaupun orang musyrik tidak menyukainya".

Kehidupan kita menjadi sempurna disebabkan Islam satu-satunya agama yang benar dan diredhai Allah s.w.t sebagai jalan hidup. Maka pada saat kita menyambut dan meraikan kehadiran Syawal ini, kesedaran inilah yang kita raikan dan wajar bagi kita untuk memperbanyakkan pujian kepada Allah s.w.t di atas nikmat ini.

Menerusi didikan madrasah Ramadhan, kita telah membuktikan kecintaan kita kepada Islam daripada menjadi hamba kepada dunia, nafsu dan harta benda. Walaupun ada kalanya kita diserang dengan pelbagai persepsi ganas oleh musuh-musuh Islam. Namun, ini tidak mampu melemahkan kita bahkan menjadikan kita lebih gigih dan cekal untuk terus bertahan walaupun diasak dari segenap sudut.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Apa yang kita capai saat ini, sebenarnya dijana menerusi ibadah puasa yang telah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh selama sebulan. Namun begitu, kita tidak seharusnya lupa untuk menilai sejauh manakah kita telah mengisi Ramadhan yang telah berlalu pergi. Adakah ibadah kita cukup meraih keampunan Allah atau berhasil mencapai gred nilai taqwa tertinggi sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah s.w.t?

Hanya diri kita sahaja mampu untuk menjawabnya. Kita lebih mengetahui usaha dan nilai puasa yang kita lakukan. Beruntung dan bergembiralah mereka yang telah bersusah payah beramal untuk meraih keampunan dan keredhaan Allah serta dukacita dan rugilah mereka yang lalai dan leka sepanjang Ramadhan. Jika Ramadhan yang berlalu pergi itu tidak mampu memperbaiki dan meningkatkan kualiti diri kita, maka pada bulan dan ketika di manakah lagi yang boleh menjadi pendorong yang dapat mengubah diri kita ini?

Setiap orang Islam hendaklah beramal dengan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t dan diterima amalan oleh-Nya, ini bermakna segala amalan yang dilakukannya adalah betul menurut apa yang diredhai Allah s.w.t. Antara tanda-tanda sesuatu amalan itu diterima adalah:

Pertama: Menjadi lebih taat dan patuh kepada Allah s.w.t secara berkekalan, malah mampu mengubah diri menjadi manusia yang lebih baik dan berkualiti.

Kedua: Wujudnya dorongan untuk melakukan ketaatan yang tidak pernah terhenti. Ini merupakan rahmat Allah dan kelebihan yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan dengan ikhlas serta menjadi dalil keredhaan Allah s.w.t.

Ketiga: Melakukan amal soleh dengan penuh keimanan dan tidak mensyirikkan Allah s.w.t.

Keempat: Sentiasa bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Di mana faedahnya kembali kepada dirinya sendiri.

Kelima: Terpancar kemuliaan akhlak, mempunyai hubungan baik sesama manusia dan merasai dirinya dalam perhatian Allah s.w.t.

Jelasnya, segala amalan ketaatan yang dilakukan merupakan satu alat dalam proses penyucian jiwa di mana semakin banyak dilakukan, maka semakin bertambah ilmu, amal dan hidayah daripada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sememangnya kita mengharapkan Ramadhan yang lalu telah pun melahirkan benih taqwa agar kita sentiasa berada di atas petunjuk kebenaran dan meraih kejayaan di sisi Allah s.w.t. Oleh itu, mimbar ingin mengingatkan bahawa kehadiran Syawal bukan bertujuan untuk kita bermegah dengan pencapaian keduniaan dan kebendaan. Apa yang paling penting ialah kita beroleh taqwa yang menjadi jaminan keselamatan untuk kita sama ada di dunia mahupun akhirat.

Di kesempatan ini, mimbar menyeru sidang jamaah sekalian untuk bersama-sama melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal sebagaimana yang digalakkan oleh baginda Rasulullah s.w.t sebagai tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t dan mengikuti sunnahnya. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abi Aiyub Al-Anshari r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal akan memperoleh pahala seperti puasa setahun".

Saudara kaum muslimin,

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

1. Ramadhan akan menjadi saksi yang membela golongan yang bersungguh-sungguh berpuasa dengan penuh keimanan mengerjakan ketaan kepada Allah s.w.t.

2. Ketibaan Syawal adalah lambang kembalinya fitrah kehidupan manusia di atas dasar syariat Islam.

3. Allah menerima amalan hamba-Nya yang dilakukan penuh keimanan, ketaatan, keikhlasan, berkekalan dan menambahkan mereka dengan ilmu, amal dan hidayah daripada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Fushsilat Ayat 30:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata; Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke semasa (dengan memberi ilham); Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan hanganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment