Friday, October 4, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 4 OKTOBER 2013 / 28 ZULKAEDAH 1434H



KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH


Khutbah Pertama
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Kini kita berada pada 28 Zulkaedah, dan kita akan masuk pula pada Bulan Zulhijjah iaitu bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3:

وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ ﴿٣﴾

Maksudnya: “Demi waktu fajar Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah Dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil tersebut ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Yang bermaksud :“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari arafah. ” (Riwayat Muslim)

Dan sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ke 3 dari surah al-Buruj:

الشَّاهِدَ يَوْمَ عَرَفَةَ وَالْمَوْعُودَ يَوْمَ الْقِيَامَةَ
Bermaksud : “Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya daripada Imam Ahmad RA meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Dan Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam dianjurkan pelbagai amalan antaranya,

Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan,

Kedua: Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Sabda Rasulullah SAW:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Bermaksud : “Puasa pada hari arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)

Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari RA meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah RA selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz “Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu”.

Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

Kelima: Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Keenam: Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah.

Ketujuh: Disyari’atkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim ‘AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Amalan paling agung pada bulan yang mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Ali 'Imran, ayat 97:

فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

Orang-orang yang menunaikan fardu haji adalah merupakan tetamu Allah SWT . Mereka sanggup berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji yang mabrur. Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

Syeikh Mustafa az-Zarqa’ dalam buku Fatwa Hukum Haji dan Kelebihannya ketika ditanya makna haji yang mabrur, menyatakan di antara ciri-ciri haji yang diterima ialah:“ Hendaklah bagi mereka yang menunaikan haji tidak melampau-lampau di dalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah”.

Banyak juga persoalan yang di timbulkan bahawa mereka yang memperolehi haji mabrur itu dikatakan akan mengalami peristiwa yang pelik antaranya tersesat di dalam perjalanan, hilang harta-benda, mendapat mimpi dan sebagainya. Sebenarnya ini adalah pandangan dan tanda-tanda yang tidak betul kerana ibadat haji seseorang itu diterima ataupun ditolak oleh Allah SWT dapat dilihat setelah beliau kembali dari menunaikan ibadat haji. Menurut al-Khawwas dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin bahawa: Setelah mereka kembali dari mengerjakan ibadat haji, mereka berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW, mereka tidak akan mencebur diri di dalam dosa dan tidak memandang dirinya lebih tinggi daripada seorang hamba-hamba Allah SWT, tidak pula merebut-rebut untuk mendapat sesuatu daripada perkara dunia. Manakala tanda ibadat hajinya tidak diterima ialah bahawa mereka kembali semula kepada keadaanya sebelum mengerjakan haji.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengambil peluang keemasan pada bulan yang mulia ini dengan melakukan ibadat kepada Allah SWT. Ia satu keadaan di mana kita berpeluang untuk menebus dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Maka bulan yang mulia ini perlu dipelihara sebaik mungkin untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Mimbar juga menyeru kepada semua bakal-bakal haji agar menjaga segala peraturan dan panduan demi mendapat keredaan Allah SWT. Apa yang penting mereka ini bukan sekadar membawa perubahan pada diri, tetapi juga mampu membawa perubahan kepada keluarga dan masyarakat.

Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini, mimbar menyeru marilah kita sama-sama melakukan puasa sunat hari Arafah iaitu pada hari Isnin 14hb Oktober bersamaan 9 Zulhijjah yang mempunyai fadilat yang amat besar serta melaksanakan ibadat korban pada Iduladha dan hari-hari tasyriq. Marilah sama sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 37:

رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ
Maksudnya: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah; dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (Surah an-Nuur: 37)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ.  
أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَانَجَاةَ التَّائِبِيْنَ





Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكَ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَذُخْرِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِيْنَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.
قاَلَ الله تَعاَلَى : وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.

Ya Allah kami ini lemah tapi dalam kami dalam keadaan lemah ini kami masih menderhakai Mu ya Allah.

Ya Allah kami ini hanya bergantung hidup dengan ihsan nikmat dan kasih kasih sayang Mu, tapi dengan nikmat Mu yang melimpah ruah ini kami gunakan pula untuk memaksiati Mu ya Allah.

Ya Allah Engkau Maha Tahu betapa berdosanya hamba-hambaMu ini namun Engkau masih melimpahi nikmat-nikmatMu kepada kami. Engkau masih memberi peluang demi peluang untuk kami menyesal dan bertaubat.

Ya Allah pada hari perhimpunan kami yang penuh dengan kasih sayang dan pengampunanMu, kami menadah tangan merintih pengampunanMu.

Ya Allah lihatlah ke wajah-wajah kami ini ya Allah. Sambutlah permohonan kami ini ya Allah. Kami tidak mampu menanggung peritnya NerakaMu walaupun kami tahu amalan kami yang sedikit ini tidak melayakkan kami ke syurgaMu namun kami masih berharap dengan limpahan redha Mu ya Allah agar mengampuni segala dosa dosa kami dan memasukkan kami ke syurga Mu.

Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami atas kecuaian kami menjaga agama kami sehingga sehari demi sehari ia cuba dipermain-mainkan. Ya Allah kembalikanlah sikap tegas dan berani kepada kami.

Ya Allah kami memohon ampun kepadaMu atas kecuaian kami menjaga saudara-saudara Islam kami sehingga anak-anak mereka dimurtadkan semula. Apa yang kami ingin jawab di hadapanMu apabila anak-anak ini mengadu di hadapan Allah nanti. “Ya Allah apa yang telah mereka lakukan kepada kami”

Ya Allah kami memohon ampun kepadaMu atas kecuaian kami menjaga saudara-saudara Islam kami sehingga darah mereka mengalir setiap hari sedangkan kami bersenang lenang dan bersuka ria. Kami tidak sanggup lagi melihat dan mendengar tangisan dan raungan anak-anak mereka yang sebaya dengan anak-anak kami, isteri- isteri mereka memerlukan perlindungan sepertimana isteri-isteri kami. Ya Allah hentikanlah segala kezaliman ini dengan kekuatan Mu ya Allah.

Ya مُثَبِّتَ الْقُلُوْبِ tetapkan hati-hati saudara-saudara kami etnik Ronghinya dan Rakhine di Mynmar, saudara-saudara kami ahli sunnah wa al jamaah di Syria, saudara-saudara kami di Mesir dan Palestin serta di seluruh mukabumi ini agar tetap dalam iman tidak berganjak walaupun sedetik terhadap sebesar manapun ujian yang menimpa. Kalau mereka mati di sana dan kami mati di sini, himpunkanlah kami semuanya di dalam syurgaMu Ya Allah.

Ya Allah kami semua yang hadir ini memohon restuMu agar mengurniakan taufiq, inayah serta riayah kepada Raja kami DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibuddin Shah ibni al Marhum Sultan Yussuf Izuddin Shah Ghafarullah lah.

Ya Allah bantulah hamba-hambaMu ini membentengi agamaMu di negeri ni. Kurniakanlah kepada hamba-hambaMu ini penasihat-penasihat yang jujur lagi amanah yang meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan-kepentingan yang lain. Demi Allah, kami rakyat mengikat janji akan menjadi tulang belakang kepada hamba-hambaMu ini selama mana mereka mendepani kami dalam mempertahankan agama di bumi bertuah ini.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ اْلأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا وَعَنْ وَالِدِيْنَا وَعَنْ جَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ.
رَبَّنَا آَتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ! إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَآءِ ذِىْ الْقُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْىِ. يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. وَاذْكُرُوا اللهَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْا عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ. وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ. وَاللهَ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment