Thursday, October 10, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 11 OKTOBER 2013 / 6 ZULHIJJAH 1434H



HARI PENGORBANAN


Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dikasihi kerana Allah SWT,

Firman Allah Taala dalam surat al-isra’ yang berbunyi :

وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا ﴿١١١﴾ 

Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!"

Maha suci Engkau wahai Tuhan kami, engkau yang Maha Menerima taubat, rahmatMu mengatasi murkaMu. Engkau yang Maha pengasih, walaupun hambaMu membawa segunung dosa menghadapMu. Engkau yang Maha Berkuasa, tiada suatu pun di langit mahupun di bumi yang mampu melemahkanMu. Engkau yang Maha Kaya, khazanahMu tidak pernah berkurang walau seiisi alam meminta dan terus meminta padaMu. Maha suci Engkau ya Allah! Kami yang lemah ini pasti tidak mampu mengucapkan pujian yang selayaknya untukMu.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Bersungguh-sungguhlah kerana Allah SWT, bergembiralah untuk mentaati perintahNya. Alangkah indahnya kehidupan selepas letih dan susah kemudian datang kesenangan dan sukacita. Alangkah nikmatnya satu permusafiran yang jauh di tengah padang pasir yang gersang kemudian di hujungnya dapat bertemu tempat berteduh, buah-buahan dan air.

Demikianlah Allah SWT menyukakan terhadap hamba-hambanya yang beriman dengan hari raya. Mereka boleh beristirehat, bermain-main dan bersuka-sukaan, memakai pakaian baru dan berhias-hias, makan dan minum. Namun tidaklah Allah SWT mengosongkan sambutan ini dari hikmah yang tinggi dan pengajaran yang hebat. Maka Hari Raya Aidiladha yang insya-allah akan kita sambut beberapa hari lagi merupakan satu kurniaan yang selayaknya disyukuri dari yang Maha Pengasih terhadap hamba-hambanya. Namun di atas segala kurniaan dan nikmat yang tidak terhitung ini, hamba-hambanya yang mahu menggunakan akal dan jiwa akan sentiasa merenung dan mengambil iktibar dari kisah sejarah silam yang sentiasa diulang-ulang saban tahun iaitu pendirian Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS pada hari Tuhan Sekelian Makhluk meminta mereka melakukan pengorbanan yang sangat besar yang tiada seumpamanya selepas itu. Keduanya mendengar arahan tersebut lantas memperkenankan seruan itu. Maka dari peristiwa itu terjelmalah pengajaran yang hebat untuk generasi demi generasi.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Ini kisah seorang tua yang hebat diuji pada usia tuanya iaitu Nabi Ibrahim AS; bermujahadah pada jalan Tuhannya, menanggung siksaan dari kaumnya, menentang penyembahan berhala di kalangan mereka, menanggung siksaan bakaran api yang marak menyala bagi mempertahankan akidahnya sedangkan baginda tidak mengetahui bahawa Allah SWT akan menjadikan api itu sejuk dan selamat. Kemudian baginda berkahwin dengan seorang wanita terhormat mengharapkan lahirnya anak yang kelak akan menjadi penyejuk mata namun isteri tadi ditakdirkan tidak mampu melahirkan anak. Bersangatanlah perasaannya untuk mendapatkan anak maka baginda berkahwin pula pada usia tua dengan wanita lain. Allah SWT yang Maha Pengasih melimpahkan nikmat ke atasnya. Maka lahirlah dari isteri keduanya seorang anak lelaki, lahirnya dalam keadaan sihat, sejak kecilnya menjadi anak yang sopan santun lagi bijaksana. Tambahan pula itulah anak tunggal bagi keluarga tersebut. Lantaran itu, bapa yang tua itu menumpahkan segala rahmat dan kasih-sayangnya kepada anak yang sedang meningkat remaja tersebut. Si bapa merasa redha dan syukur terhadap Tuhannya sedangkan kanak-kanak tadi terus membesar menjadi seorang pemuda yang kuat lagi mampu berusaha dan mencari rezeki untuk keluarga. Dengan demikian sempurnalah nikmat terhadap bapanya yang tua tadi.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Di sinilah bermulanya ujian tuhan dan cubaan keimanan lantaran Nabi Ibrahim AS merupakan seorang individu yang sangat hebat. Cubaan dan ujian tidak datang melainkan dalam gambaran dan bentuk yang amat hebat sebagaimana tahap keimanan hambanya yang akan diuji. Allah SWT tidak memberi sakit dan mematikan Nabi Ismail AS dengan sebabnya, Allah SWT juga tidak mentakdirkan Nabi Ismail AS mati terbunuh, lemas ataupun mati syahid bahkan telah ditulis ke atasnya, baginda akan disembelih urat tengkuknya oleh bapanya sendiri, dengan tangan bapanya, dengan pisau milik mereka.

Oleh siapa? Oleh bapanya; seorang yang telah sangat tua yang diuji pada usia tersebut, sedangkan tangannya terketar-ketar jika memegang sesuatu, maka bagaimana pula untuk menyembelih anak tunggal yang dikasihinya. Dengan cara apa arahan tersebut? Ia bukan dengan jalan wahyu pada waktu jaga bahkan dengan jalan mimpi ketika tidur. Hakikatnya bahawa mimpi para nabi AS merupakan wahyu yang benar, tetapi itulah Nabi Ibrahim AS – kalaulah baginda bukan Ibrahim nescaya boleh saja ditakwil mimpi tersebut atau sekurang-kurangnya menunggu wahyu secara pasti yang datang ketika jaga. Namun itulah Ibrahim AS Khalilullah (kekasih Allah SWT), Ismail AS si anak yang mempunyai keyakinan yang teguh pada Allah SWT, manakala pemberi arahan itu ialah Allah SWT Tuhan sekelian alam, yang baginya milik untuk memberi, baginya juga hak untuk mengambil, yang wajib didengar dan ditaati.

Firman Allah SWT dalam surah as-Soffat ayat 102:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ﴿١٠٢﴾ 

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari kalangan orang-orang yang sabar".

Tatkala Allah SWT melihat dari keduanya benar-benar berserah diri dan bersedia dengan ujian tersebut, maka Allah SWT merahmati keduanya dengan rahmatnya dan memadamkan api ujian tersebut. Justeru berjayalah si bapa dan anaknya dan mulialah keduanya.

Firman Allah SWT dalam surah as-Soffat ayat 103 hingga 107:

فَلَمَّآ أَسْلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ ﴿١٠٣﴾ وَنَـٰدَيْنَـٰهُ أَن يَـٰٓإِبْرَ‌ٰهِيمُ ﴿١٠٤﴾ قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ ۚ إِنَّا كَذَ‌ٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ﴿١٠٥﴾ إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلَـٰٓؤُا۟ ٱلْمُبِينُ ﴿١٠٦﴾ وَفَدَيْنَـٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ ﴿١٠٧﴾

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;  Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.

Persoalannya di sini, apakah istifadah (اٍسْتِفَادَة) iaitu pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah agung ini. Pasti banyak perkara yang boleh diambil pengajaran kerana ia adalah kisah yang benar bukannya dongengan penglipur lara.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْم. أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيْم.




Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ للهِ القَائِل 
لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَـٰكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ ﴿١١١﴾

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. Bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia membenarkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Surah Yusuf Ayat 111)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang jumaat sekelian,

Antara pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah agung ini ialah:

1. Kita hendaklah meyakini dengan sebenar-benar yakin bahawa kehidupan ini pada hakikatnya merupakan milik mutlak Allah SWT, Dia melakukan semuanya sebagaimana yang Dia kehendaki.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٢٦﴾ 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

2. Melaksanakan segala arahan Allah SWT. Di sana ada hikmah dan kejayaan sebagaimana berjaya Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS di dunia dan akhirat.

3. Redha dengan qada’ dan qadar Allah SWT akan membawa natijah dan kesudahan yang baik.

Firman Allah SWT dalam surah al-baqarah ayat 216:

وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ ﴿٢١٦﴾

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

4. Setiap manusia pasti diuji di dalam kehidupannya untuk melihat sedalam mana imannya terhadap Allah SWT:

Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 1 hingga 3:

الم ﴿١﴾ أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لاَ يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣﴾

Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.



اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمُ  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment