bersama kepimpinan ulamak




Thursday, November 10, 2011

Khutbah Jumaat - 15 Zulhijjah 1432 / 11 November 2011

Kaum Nabi Lut muncul kembali


اَلْحَمْدُ   لِلَّهِ الْقَائِلِ، ۖ
كَذَّبَتْ قَوْمُ لُوطٍ بِالنُّذُرِ ﴿٣٣﴾ إِنَّا أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ حَاصِبًا إِلَّا آلَ لُوطٍ ۖ نَّجَّيْنَاهُم بِسَحَرٍ ﴿٣٤﴾ نِّعْمَةً مِّنْ عِندِنَا ۚ كَذَ‌ٰلِكَ نَجْزِي مَن شَكَرَ ﴿٣٥﴾ وَلَقَدْ أَنذَرَهُم بَطْشَتَنَا فَتَمَارَوْا بِالنُّذُرِ ﴿٣٦﴾

"Kaum Nabi Lut telah mendustakan peringatan dan amaran (yang disampaikan oleh RasulNya). Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam, sebagai limpah kurnia dari kami. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang bersyukur. dan Demi sesungguhnya! Nabi Lut telah memberi amaran kepada mereka mengenai azab seksa kami; Dalam pada itu, mereka tetap mendustakan amaran-amaran itu." (Surah al-Qamar 33-36)

 
أَشْهَدُ أَنْ لآإِلهَ إِلاَّ اللَّهُ  وَأَشْهَدُ  أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ  وَعَلَى آلِهِ  وَأَصْحَابِهِ  وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !    اتَّقُواْ  اللَّهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ  وَأَنْتُمْ   مُّسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah sekelian!

Siapa pun kita, sebesar mana pun kedudukan kita, sekaya manapun kita, insaflah bahawa akhirnya kita akan kembali menemui Allah SWT apabila tiba saat dan ketikanya. Semuanya akan kita tinggalkan kecuali bekalan sejauh mana kita berjaya laksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah merangkap khalifahNya di atas muka bumi ini. Maka bertaqwalah kita kepada Allah SWT kerana taqwalah sebaik-baik bekalan kita apabila menemui Allah SWT kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Samada disedari ataupun tidak, pada bulan kemerdekaan baru-baru ini masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama telah dipaparkan dengan kisah seorang paderi Kristian rakyat Malaysia yang telah mengumumkan secara terbuka pertunangannya bersama kekasih lelaki sejenisnya dari Amerika Syarikat, bernama Phineas Newborn.

Bahkan beliau juga merancang untuk mengadakan majlis perkahwinannya secara besar-besaran di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada satu masa nanti. Beliau juga pernah menimbulkan kontroversi apabila beliau telah mengasaskan sebuah gereja gay di Kuala Lumpur pada tahun 2007 yang turut dikecam oleh beberapa pihak yang prihatin.

Kini isu ini timbul kembali. Media cetak dan elektronik di Negara ini kini hangat memperkatakan penganjuran sebuah konsert besar-besaran akan diadakan di Genting Highland pada 22hb November 2011 nanti yang akan menonjolkan Elton John, seorang penyanyi gay yang menjadi ikon di kalangan masyarakat antarabangsa terutamanya di kalangan generasi muda.

Beberapa pertubuhan Islam yang prihatin telah menyuarakan kebimbangannya mengenai penularan budaya jelek ini ke dalam masyarakat di negara ini, lantas mengadakan bantahan dan desakan supaya dibatalkan konsert besar-besaran ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Malangnya, ada pihak-pihak yang mempertahankan hak penganjuran konsert ini dengan berpaksikan hujah bahawa rakyat Malaysia adalah masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Masing-masing mempunyai hak untuk berhibur dan tiada sebarang larangan bagi agama masing-masing.
Rakyat Negara ini berselisih pandangan mengenai isu ini. Ini merangkumi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan beberapa pertubuhan politik bukan Islam yang telah menyatakan tentangan mereka bersependirian terhadap konsert Elton John ini.

Ironinya, ada pula suara-suara sumbang di kalangan umat Islam yang menyokong penganjuran konsert seumpama ini. Manakala ada pula sebahagian orang Islam yang berpandangan bahawa konsert ini harus dianjurkan dengan syarat ianya hanya untuk masyarakat non-Muslim sahaja.

Isu yang ingin diutarakan di sini adalah bukan untuk mengenepikan hak-hak individu kepada masyarakat non-Muslim tetapi lebih kepada membenteras kepada promosi budaya songsang yang jelas terlarang. Isu ini juga akan memberikan mesej yang mudah disalah-ertikan kepada masyarakat Islam yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia yang sedia meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, menurut perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah satu daripada ratusan sebab, kenapa umat Islam khususnya orang Melayu perlu bersepakat ketika mendepani isu dan agenda bersama. Cukuplah dengan kepincangan generasi muda kita di sana sini dan janganlah hendaknya kita membiarkan keadaannya menjadi semakin parah. Adakah kita ingin membiarkan budaya hedonisme yang menonjolkan penyanyi gay ini terus mendapat tempat dan menjadi kebiasaan di bumi Malaysia tercinta ini.

Samada kita sedari atau tidak, gejala terlaknat ini sebenarnya sedang berkembang secara terancang di bumi ini. Keadaannya semakin membimbangkan apabila tumbuhnya kelab-kelab gay dan juga lesbian yang melata seumpama cendawan selepas musim hujan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jika kita perhatikan kisah yang tersebut telahpun dinyatakan di dalam Al-Quran di mana Allah telah menyatakan tentang kehancuran yang berikan terhadap Kaum Nabi Lut yang mengamalkan seks sejenis ini seperti mana ayat yang baru dibacakan di awal khutbah ini.

Dengan amalan seks sejenis yang dilakukan oleh kaum Lut itu menyebabkan Allah SWT menghancurkan mereka dengan menterbalikkan negara mereka lalu dihujankannya sehinggakan negara itu bertukar menjadi laut.

Jelas betapa hancurnya kaum Nabi Lut disebabkan pengamalan seks terkutuk yang diamalkan oleh mereka. Kehancuran yang sama juga tidak mustahil boleh menimpa bumi Malaysia sekiranya pengamalan seks terkutuk ini tidak dibenteras oleh semua termasuk ibu-bapa, guru-guru, para ilmuan, penguat kuasa undang-undang & agama serta pihak kerajaan yang memerintah.

• Bagi mereka yang terlibat, bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan yang diredhai Allah swt.
• Kepada para ibu-bapa, jagalah pembesaran & pergaulan anak-anak anda.
• Buat para pendidik, perhatikan perkembangan semasa anak-anak didik anda.
• Kepada para VIP, janganlah sekali-kali anda melindungi amalan terkutuk golongan ini.
• Bagi pengamal media, janganlah hendaknya anda terbabit menyebar-luaskan agenda jahiliyah yang semakin subur ini.
• Kepada para ulama dan ilmuan, marilah bersama berganding bahu membimbing dan perbetulkan masyarakat yang dicintai.
• Kepada NGO dan badan-badan Islam, kita tidak punyai banyak masa untuk menangguhkan pertemuan, perbincangan dan kerjasama bagi membangunkan kembali umat yang disayangi ini.
• Kepada pihak kerajaan, dengarlah keluhan ini dan urusan selanjutkan kami serahkan kepada anda yang telah dipertanggung-jawabkan.

Ya Allah selamatkan kami dari malapetaka kejahilan umat ini.


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ. 






Anda juga boleh memuat turun teks asal khutbah ini di www.4shared.com. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B