Thursday, July 14, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 15 ZULHIJJAH 1443 / 15 JULAI 2022

MARUAH UMAT ISLAM

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِكُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar dan memahami firman Allah Ta'ala yang menjadi petunjuk kepada kita:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ٤٥ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ٤٦ ] سورة الأنفال : ٤٥-٤٦  [


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan musuh, maka teguhkanlah hatimu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh keuntungan. Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantah; yang akan menyebabkan kamu menjadi gentar serta hilang kekuatanmu dan bersabarlah; sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar.

Pesanan Allah ini ditaati oleh generasi awal umat Islam, para sahabat dan golongan salafus soleh radiAllahu 'anhum pada zaman umat Islam mencapai kemenangan dalam keadaan mereka bermula dengan miskin, dalam jumlah yang sedikit, dikepung oleh kuasa-kuasa besar dunia timur dan barat, bukan sahaja orang-orang Arab jahiliyyah yang keras dan jahat, dengan kekuatan iman berpegang kepada Islam, mentaati Allah dan Rasul. Mereka menjadi umat yang bersatu teguh dan kuat dapat mengalahkan musuh yang besar sehingga menumbangkan dua kuasa besar dunia, Parsi dan Rom. Umat Islam menjadi kuasa besar tunggal menguasai kawasan yang penting dalam dunia menjadi umat yang sangat kuat.

Mengapa hari ini umat Islam dengan jumlah yang sangat besar iaitu 1.3 billion (lebih 1,000 juta) umat Islam dalam dunia, tetapi mereka menjadi umat yang sangat lemah, diratah dan dimamah oleh musuh-musuh Islam serta diperlakukan apa sahaja oleh musuh-musuh dalam keadaan yang hina, walaupun mereka berada dalam cahaya yang tidak boleh dipadamkan yang dipelihara oleh Allah Ta'ala, sebabnya mereka tidur dalam cahaya yang terang dan lupakan ajaran Islam. Berlaku apa yang telah diberi amaran oleh Nabi SAW khususnya dalam khutbah Hujjatul Wada' (Haji Selamat Tinggal). pesanan yang pendek dan wasiat yang ringkas, sabdanya:

لَا تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ.  ]رواه البخاري[


(Maksudnya): Jangan sekali-kali kamu menyeleweng (daripada Islam) selepas aku (wafat) sehingga kamu memancung leher (membunuh) sesama kamu.

Kita menyaksikan umat Islam berperang di tanahair mereka sendiri, dilaga-lagakan oleh musuh Islam dengan senjata yang dibeli dengan duit orang Islam, senjata itu membunuh orang Islam sendiri. Berlaku amaran Nabi SAW akibat mereka tidak berpegang dengan ajaran Islam, sama ada taksub (fanatik) semangat perkauman masing-masing yang telah menjatuhkan kerajaan Islam di abad yang lalu. Sifat 'ashobiyyah yang telah diberi amaran oleh Nabi SAW:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ.  ]رواه أبو داود [


(Maksudnya): Bukan daripada kalangan kita orang yang mengajak kepada 'ashobiyyah, bukan daripada kalangan kita orang yang berperang di atas dasar 'ashobiyyah dan bukan daripada kalangan kita orang yang mati (kerana berjuang) di atas dasar 'ashobiyyah.

Lalu para sahabat bertanya:

مَا الْعَصَبِيَّةُ ، يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟


(Maksudnya): Apakah 'ashobiyyah itu, wahai Rasulullah?

Jawab Rasulullah SAW: 

أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ.


(Maksudnya): Engkau menolong kaum bangsamu walaupun dia zalim.

Semangat bangsa sehingga meninggalkan ajaran Islam; orang Arab dengan semangat arabnya, Turki dengan semangat turkinya, Parsi dengan semangat parsinya, India dengan semangat indianya dan Melayu dengan semangat melayunya. Bahkan bukan sahaja semangat bangsa, tetapi juga semangat keluarga sehingga berperang antara kaum dan raja-raja Islam sesama mereka. Akibatnya jatuh kerajaan Islam 100 tahun yang lalu.

Negara Islam dijajah dan dibahagikan dalam kalangan bangsa-bangsa penjajah. Walaupun mereka telah mencapai kemerdekaan, tetapi kemerdekaan itu mengikut bahagian-bahagian yang diletakkan oleh penjajah. Dipilih pemimpin-pemimpin oleh mereka sendiri untuk meninggalkan ajaran Islam. Dalam masa yang sama berlaku amaran Nabi SAW:

فَوَاللَّهِ لَا الْفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنْ أَخَشَى عَلَيْكُمْ أَنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمْ الدُّنْيَا كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا وَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ. ]رواه البخاري [


(Maksudnya): Demi Allah, aku tidak bimbang sekiranya kamu berhadapan dengan kefakiran, tetapi yang sangat aku bimbang sekiranya kamu berhadapan dengan kekayaan, apabila dunia telah diluaskan bagi kamu sekalian sepertimana pernah diluaskan kepada umat-umat sebelum kamu. Kemudian kamu akan berebut-rebut seperti mereka dahulu berebut-rebutan, maka akibatnya dunia itu akan membinasakan kamu seperti ia telah membinasakan mereka dahulu.

Kita menyaksikan bagaimana 100 juta umat Arab tidak mampu melawan lapan juta orang Yahudi. Kalau dicampur 1,000 juta lebih umat Islam tidak mampu mengalahkan Yahudi seluruh dunia yang tidak sampai 20 juta. Sebabnya mereka lemah dan hina, bahkan tidak ada maruah dan harga diri, sanggup melakukan normalisasi dengan meng'iktiraf negara haram Israel yang merampas tanah di Palestin, ditegakkan negaranya, merampas negeri Islam dijadikan negara Yahudi Israel, Negara Haram.

Mengikut hukumnya, orang Islam wajib membebaskan tanahair mereka yang dirampas itu. Hari ini hanya tinggal orang-orang Palestin yang berjuang tanpa menyerah kalah, tetapi ada kalangan negara Arab yang mahu berdamai dengan Israel dan mahu meng'iktiraf negara haram Israel itu sebagai sebuah negara yang sah. Tindakan itu sangat hina kerana ia menjatuhkan maruah.

Berlaku amaran Allah SWT:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ أَيَبْتَغُونَ عِندَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا ١٣٩ ] سورة النساء : ١٣٨-١٣٩  [


(Maksudnya): Sampaikanlah berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang pedih; (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat yang meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya adalah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment