Thursday, December 27, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 20 RABI'UL AKHIR 1440 / 28 DISEMBER 2018


PERDAMAIAN ADALAH YANG TERBAIK

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ ﴿٤٠﴾ (Surah As-Syura ayat : 40)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; marilah bersama-sama kita bersyukur kerana diberikan nikmat Iman dan Islam, serta memperbaiki dan istiqamah mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Perdamaian Adalah Yang Terbaik".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam adalah agama perdamaian dan melarang persengketaan. Semua orang amat menyukai kedamaian lalu berharap agar ia tidak hilang dan luput ke akhir hayat. Rumah tangga yang kita bina adalah diharapkan mencapai 'mawaddah, rahmah dan sakinah', tetapi seperti pepatah melayu, "ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari". Pepatah ini menggambarkan akan ada rumah tangga yang di antara pasangannya mempunyai masalah. Islam menganjurkan pasangan ini mengikuti sesi kaunseling dengan mengisi borang aduan dan runding cara di mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah bagi pasangan tersebut diberi nasihat dan tunjuk ajar untuk menyelesaikan masalah mereka.

Di dalam Surah An-Nisa' ayat 128:

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَالصُّلْحُ خَيْرٌ ۗ وَأُحْضِرَتِ الْأَنفُسُ الشُّحَّ ۚ وَإِن تُحْسِنُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا ﴿١٢٨﴾

Maksudnya: "Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan".

Ayat di atas adalah firman Allah s.w.t tentang wujudnya Sulh atau perdamaian di dalam Islam. Sulh di dalam bahasa arab bererti "putus pertengkaran" yang membawa maksud kompromi, manakala pengertian syarak bermaksud suatu perjanjian yang dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian di antara pihak-pihak yang beragama Islam. Di dalam amalan perundangan sivil ianya meditation atau meditasi. Dengan kata lain, para ulamak fiqh mentakrifkan As-Sulh sebagai satu ikatan perjanjian atau kontrak persetujuan bersama untuk mencapai kompromi perdamaian antara dua pihak atau lebih, yang berselisih faham atau bertikai. Amalan sulh juga telah diamalkan di dalam bidang mu'amalat Islam.

Sidang jamaah sekalian,

Di dalam Mahkamah Syariah, sulh adalah satu proses perbincangan di antara pihak-pihak mengenai apa-apa tujuan dan akan dikendalikan oleh seorang pegawai sulh bagi mendapatkan perjanjian persetujuan untuk diendorskan oleh hakim Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak lain sama ada dari kalangan keluarga atau peguam. Mulai tahun 2003, semua Mahkamah Syariah di Perak mempunyai unit sulh serta diketuai oleh pegawai sulh yang berkelulusan dan bidangnya.

Tujuan utama unit ini ditubuhkan adalah untuk mempercepatkan pengurusan kes-kes yang boleh diselesaikan secara sulh di Mahkamah Syariah. Antara permohonan atau tuntutan yang boleh diselesaikan melalui kaedah sulh adalah seperti mut'aah, nafkah, 'eddah, nafkah tertunggak, harta sepencarian, ganti rugi, pertunangan, hak penjagaan anak, tuntutan nafkah anak, permohonan pelaksanaan perintah mahkamah, perintah kembali taat, wali enggan dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Hujurat ayat 9:

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ .... ﴿٩﴾

Maksudnya: "Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya".

Muslimin yang kasihi,

Antara kelebihan Majlis Sulh ialah:

1. Dapat menjimatkan kos dan masa pihak-pihak.
Pihak-pihak yang hadir ke Mahkamah Syariah dan gagal mencapai persetujuan akan menjalani proses perbicaraan yang agak panjang. Walau bagaimana pun dengan majlis sulh pihak-pihak telah dapat menjimatkan kos kehadiran dan masa mereka kerana hasil persetujuan bersama yang ditandatangani oleh mereka diangkat kepada hakim untuk diendorskan sebagai satu perintah mahkamah dan tidak memerlukan pihak-pihak hadir lagi untuk perbicaraan.

2. Perundangan bersifat terpimpin bukan dominasi sebelah pihak (seimbang).
Bagi pihak-pihak yang memilih sulh, perbincangan akan dipimpin oleh seorang pegawai sulh yang pakar dan berkelulusan dalam bidang meditasi serta memiliki kemahiran mendengar yang tinggi. Kedua-dua pihak diberi peluang bercakap untuk mengemukakan tuntutan dan tawaran bagi memastikan keputusan yang bakal dicapai kelak boleh menyebabkan kedua-dua pihak berpuas hati serta mewujudkan suasana "menang-menang". Pihak-pihak lain contohnya peguam atau ahli keluarga sama sekali tidak dibenarkan menyertai majlis sulh supaya tiada pihak yang akan dipengaruhi oleh mereka dalam membuat keputusan nanti. Setelah perjanjian persetujuan dicapai, ia akan diangkat kepada hakim yang berbidang kuasa supaya perintah ini dipatuhi dan mengikat kedua-dua pihak. Seandainya gagal memenuhi perintah tersebut pihak-pihak boleh dikenakan penghinaan mahkamah.

3. Perundangan melihat kepentingan masa akan datang pihak-pihak bukannya mengungkit dan menyalahkan pihak lain.
Dalam proses sulh pihak-pihak akan diberi tunjuk ajar oleh pegawai sulh bagi mencapai suatu kesepakatan yang menguntungkan kedua-dua pihak masa akan datang. Sebarang kesilapan, kelalaian dan ketidakpedulian pada masa lalu terhadap tuntutan pihak tidak sama sekali dibenarkan, diungkapkan dan disegarkan kembali bagi memastikan majlis sulh berjalan dengan harmonis dan tidak mengundang pertikaian dan perbalahan yang berpanjangan. Ia juga dapat memastikan perkara-perkara yang berlalu tidak lagi menjadi suatu yang terbungkam di hati masing-masing.

4. Penyelesaian secara sukarela (keredhaan) bukannya melepaskan geram.
Dalam proses sulh, pegawai sulh tidak akan memaksa mana-mana pihak sama ada plaintif atau defendan menerima apa-apa tuntutan atau memberikan apa-apa tawaran supaya berlaku penyelesaian kes dalam kadar segera. Plaintif dan defendan diberi peluang serta ruang yang luas untuk berfikir dan membuat pilihan masing-masing, tanpa ada paksaan daripada pegawai sulh. Pegawai sulh hanya memberi pandangan dan idea serta saranan yang bermanfaat bagi kedua-dua mencapai kata sepakat yang pada perkiraannya boleh membantu plaintif dan defendan membuat keputusan yang tepat demi kepentingan bersama.

Sidang Jumaat sekalian,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, bagi memastikan majlis sulh berjalan lancar, maka suatu kaedah telah dibentang dan dilulus pemakaiannya mulai tahun 2018. Maka semua pihak yang hadir ke mana-mana mahkamah boleh mendapatkan khidmat bantuan pegawai sulh agar matlamat dan kelebihan majlis ini tercapai. Moga-moga khutbah pada hari ini dapat memberi pencerahan kepada semua jamaah dan mimbar berharap maklumat ini dapat disebar luaskan demi kebaikan bersama.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib juga menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian supaya kita bersama-sama  mendidik diri kita untuk memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Abdullah bin Umar radhiAllahu 'anhuma:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَالُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: "Solat berjamaah adalah lebih afdal berbanding solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, anugerahkanlah bagi isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati dan jadikanlah kami pemimpin ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa.

Ya Allah, perbaikilah hubungan di antara kami dan mesrakanlah di antara hati-hati kami dan tunjukkanlah kami jalan selamat serta lepaskanlah kami dari kegelapan kepada cahaya dan hindarkanlah kami daripada segala kekejian sama ada lahir daripadanya atau tersembunyi.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu, Timbalan Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment