Friday, September 7, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 26 ZULHIJJAH 1439 / 7 SEPTEMBER 2018


PENGAJARAN PERISTIWA HIJRAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤﴾ (Surah Al-Anfal ayat 74)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; bersama-samalah kita memperbaiki serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Hikmah Peristiwa Hijrah".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tahun 1439 hijrah bakal melabuhkan tirainya. Pasti pelbagai perkara pahit dan manis telah banyak kita lalui. Justeru, marilah kita bermuhasabah sama ada kualiti amal ibadat serta keimanan kita kepada Allah s.w.t semakin bertambah ataupun sebaliknya. Berubahnya bulan dan tahun bererti bertambahnya umur kita. Apabila bertambahnya umur kita maka semakin dekatlah kita dengan ajal kematian yang memisahkan antara kehidupan dunia yang fana' dengan kehidupan akhirat yang kekal selamanya. Ingatlah kepada satu pesanan Saiyidina 'Ali r.a: "Apabila kamu merasa letih kerana melakukan kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang, sedangkan kebaikan yang telah dilakukan itu akan terus kekal. Sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang, sedangkan dosa yang telah dilakukan itu terus kekal".

Para tetamu Allah yang dirahmati,

Menjelang tahun 1440 hijrah beberapa hari lagi, ia membuka peluang kepada seluruh umat Islam menghayati strategi terbaik Nabi Muhammad s.a.w dalam mendirikan Daulah Islamiyyah yang berjaya di bumi Madinah Al-Munawwarah. Peristiwa hijrah bukanlah satu kebetulan, malah menyingkap perjuangan penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah. Bahkan hijrah menjadi garis pemisah antara kebenaran dengan kebatilan. Hijrah melahirkan umat yang pada awalnya dipandang lemah tetapi berjaya mendirikan negara yang gagah. Peristiwa hijrah juga dapat menyempurnakan pelaksanaan syariat Islam bermula daripada individu, keluarga, masyarakat seterusnya negara.

Membicarakan tentang hijrah Nabi s.a.w, maka ia bukan suatu usaha mudah. Hijrah memerlukan suatu perancangan yang rapi dalam menghadapi cabaran di masa hadapan. Allah memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal ayat 60:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠﴾

Maksudnya: "Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak ketahui, namun Allah Maha Mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah nescaya akan dibalas cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi".

Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam agar membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan dan kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan juga teknologi persenjataan. Lebih-lebih lagi di saat umat Islam menghadapi ancaman yang datangnya bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah telah menjalar kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya, pendidikan, pemikiran dan ekonomi.

Para tetamu Allah yang dikasihi,

Sejak bermulanya penghijrahan dari Makkah ke Madinah, Rasulullah s.a.w memang sudah yakin bahawa Allah akan melindunginya. Namun, baginda tidak pernah merasa terkecuali dari kewajipan berikhtiar merencanakan perancangan hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perkara penting yang telah diperlihatkan oleh baginda s.a.w dalam menjayakan rancangan hijrah ini termasuklah:

Pertama: Perancangan yang rapi dan teliti. Baginda tidak tidur di biliknya pada malam itu. Sebaliknya Nabi s.a.w memerintahkan Saiyidina 'Ali bin Abi Talib r.a berada di tempat tidurannya dengan tujuan untuk mengelirukan musuh. Baginda tidak terus pergi ke Madinah, sebaliknya baginda menghala ke selatan dan berhenti di gua Tsur selama 3 hari. Selepas tempoh tersebut barulah baginda meneruskan perjalanannya ke Madinah iaitu ketika gerakan pihak Quraisy sudah mulai mundur.

Kedua: Sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh. Abdullah bin Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat di Makkah pada waktu siang dan pada malamnya melapurkan kepada baginda di gua Tsur. Segala maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat-maklumat penting sanggup dijual beli dengan harga yang sangat mahal. Dunia hari ini berlumba-lumba mencipta atau membeli sistem perisikan bertujuan untuk mendapatkan maklumat.

Ketiga: Kerahsiaan adalah suatu perancangan. Lihat sahaja bagaimana tiada seorang pun yang tahu termasuk teman karibnya seperti Abu Bakar r.a hinggalah ke saat perlaksanaan. Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu, memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi. Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak musuh akan mengakibatkan musnahnya seluruh perencanaan.

Keempat: Menggunakan sepenuhnya kepakaran. Seperkara yang menarik dalam misi hijrah itu ialah mengambil khidmat seorang petunjuk jalan daripada seorang lelaki musyrik dikenali sebagai Abdullah bin Uraikit. Hal ini dilakukan oleh baginda setelah berpuas hati bahawa juru arah bukan Islam itu tidak akan mengkhianatinya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku itu, nyatalah bahawa hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa yang berlaku secara kebetulan. Perjalanan hijrah dengan segala liku dan rintangan jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang berencana. Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan dengan hanya berdoa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perencanaan yang rapi. Sedarlah wahai kaum muslimin sekalian, pada zaman penuh persaingan ini, kita tidak boleh bersikap malas lagi. Gunakanlah kebijaksanaan dalam mengatur gerak kerja. Sesungguhnya kecemerlangan dan keunggulan hanya dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran bernas.

Sidang jamaah yang dikasihi sekalian,

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, di antara pengajaran yang diambil ialah:

Pertama: Peristiwa hijrah bukanlah suatu kebetulan, malah ia menyingkap pelbagai rahsia perjuangan yang penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah.

Kedua: Kecemerlangan dan keunggulan hanya dapat dicapai melalui penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran bernas.

Ketiga: Jauhi diri daripada bersifat malas. Gunakanlah segala kepakaran dan bersainglah secara sihat demi memastikan kejayaan Islam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga tidak pernah jemu untuk menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment