Friday, May 25, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 9 RAMADHAN 1439 / 25 MEI 2018


JIHAD DALAM BERPUASA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
سَابِقُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ ﴿٢١﴾ (Surah Al-Hadid ayat 21)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Jihad Dalam Berpuasa".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, Rasulullah s.a.w mengajar kita untuk membina jati diri, membina satu perjuangan atau suatu jihad yang kecil untuk dilatih sebelum melakukan satu perjuangan atau jihad yang besar iaitu jihad mengawal nafsu. Jihad nafsu bermaksud mengawal diri untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah s.w.t. Melawan hawa nafsu sememangnya sangat sukar bagi kita kerana tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkan. Firman Allah s.w.t di dalam Surah An-Nazi'aat Ayat 40:

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ ﴿٤٠﴾

Maksudnya: "Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalannya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu".

Intipati ayat ini menunjukkan keperluan manusia mencegah diri dari mengikuti telunjuk hawa nafsu. Usaha yang dilakukan untuk membanteras hawa nafsu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan suatu bentuk jihad yang khusus iaitu bersungguh-sungguh pada tahap yang tertinggi. Melalui jihad sebeginilah akan dapat membawa manusia keluar dari keadaan kesesatan dan kemaksiatan kepada ketaatan dan kepatuhan. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Hajj ayat 78:

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ ۚ ... ﴿٧٨﴾

Maksudnya: "Dan berjihad kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya".

Menurut Imam Al-Qurtubi, ayat ini mengisyaratkan kepada menjunjung dan mengerjakan segala suruhan Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan dan tegahan-Nya. Selanjutnya beliau menjelaskan: "Berjihadlah terhadap diri sendiri supaya mentaati Allah s.w.t dan menjauhi ajakan hawa nafsu, berjihadlah melawan syaitan supaya godaan dan gangguan dihapuskan, berjihadlah menentang orang zalim supaya kezaliman dapat dibasmi dan berjihadlah menentang orang kafir supaya kekufuran dapat dihindari". Jihad melawan hawa nafsu boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat:

Pertama: Mengenal hawa nafsu, kekuatannya dan kelemahannya.

Kedua: Mempelajari ilmu berkenaan wahyu supaya dapat membezakan antara yang hak atau yang batil.

Ketiga: Bersungguh-sungguh dan bersabar mengawal diri daripada mengikut telunjuk hawa nafsu.

Keempat: Memperbanyakkan mengingati Allah dan beristighfar memohon keampunan agar dapat meneguhkan hati berterusan taat kepada Allah s.w.t.

Oleh itu, mimbar yang mulia ini menyatakan, mereka yang dijajah oleh hawa nafsu sebenarnya tidak mampu membuat pilihan dalam hidup. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsu semua itu dituruti. Berapa ramai manusia yang rosak kerana hidup bertuhankan nafsu, lihatlah, berapa ramai manusia yang hilang kewarasan kerana berajakan nafsu dan berapa banyak tamadun manusia yang musnah apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan iman tetapi berkiblatkan hawa nafsu.

Saiyidina 'Ali karramAllahu wajhah berkata: "Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikut hawa nafsu dapat menghalang kebenaran".

Lantaran itu, berdasarkan hadits dan jaminan oleh Rasulullah s.a.w, bahawa pada bulan Ramadhan yang mulia inilah segala hawa nafsu dapat ditewaskan dan musuh manusia telah dirantai oleh Allah s.w.t dan kita sebagai umat Islam diberi peluang seluas-luasnya untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a:

إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ، وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: "Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu rahmat dan terkuncilah segala pintu neraka dan terbelenggulah syaitan daripada merasuk mangsanya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Yakinlah bahawa bulan Ramadhan sebenarnya mendidik kita untuk memerangi nafsu. Ini adalah pengajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata tidak kepada sesetengah kehendak diri dan nafsu. Mereka yang berjaya mengawal diri dan nafsu, adalah mereka yang benar-benar beriman sehingga membentuk dirinya menjadi seorang insan soleh lagi bertaqwa. Percayalah bahawa jihad melawan hawa nafsu adalah peperangan yang besar. Bayangkan kita berjuang dengan diri sendiri, walaupun sejahat mana sekalipun nafsu yang ada dalam diri kita, kita tidak boleh membunuhnya, kita hanya boleh menundukkan nafsu itu dengan mengawal kehendak dan tuntutannya. Firman Allah s.w.t dalam Surah As-Syams ayat 7 hingga 9:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا ﴿٧﴾ فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ﴿٨﴾ قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾

Maksudnya: "Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih".

Sebagai seorang Islam, kita hendaklah mengambil segala peluang dan ruang di bulan Ramadhan untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Yakinlah bahawa setiap amalan kebaikan yang dilaksanakan di bulan yang mulia ini akan dilipat gandakan pahalanya. Lantaran itu, salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib Ramadhan. Puasa adalah ibadat yang sukar dan menjadi perjuangan secara senyap melawan hawa nafsu. Perjuangan ini juga adalah rahsia antara seseorang hamba dengan Tuhannya kerana gerak geri amalan puasa tidak dapat dinilai oleh orang lain. Ketika berpuasa, kita bukan sahaja menahan diri daripada keinginan makan dan minum tetapi seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa. Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadat. Amalan wajib dan sunat yang padat dalam bulan Ramadhan ini memberi tumpuan kepada perjuangan melawan nafsu.

Justeru, terdapat dua penanda aras atau pengukuran yang menilai prestasi puasa iaitu apakah puasa Ramadhan kita semata-mata menahan lapar? Atau kita berpuasa dan pada masa yang sama mengambil berat aspek mengawal nafsu, pembersihan jiwa dan akhlak kita. Rasulullah s.a.w bersabda daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu". (Hadits riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini selari dengan bulan yang mulia lagi barokah ini, mimbar menyeru kepada para jamaah sekalian marilah sama-sama kita bermujahadah dengan diri sendiri, mengawal segala perbuatan agar ianya bertepatan dengan kehendak syariat dan tuntutan agama dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut:

Pertama: Menjadikan bulan Ramadhan sebagai pentas melawan nafsu dalam membina keperibadian muslim yang bertaqwa.

Kedua: Sebagai umat Islam, kita hendaklah memahami hakikat jihad serta melaksanakan jihad-jihad yang lain.

Ketiga: Sebagai umat Islam, di bulan Ramadhan ini kita hendaklah menutup segala pintu-pintu nafsu kejahatan dengan melaksanakan amalan puasa wajib dab digilap pula dengan amalan-amalan sunat siang dan malam pada sepanjang Ramadhan.

Keempat: Walaupun bulan impian ini kelihatannya memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam, namun ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali dan merupakan satu jihad daripada seorang hamba kepada Tuhannya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin menarik perhatian sidang jamaah sekalian mengenai kegiatan mengutip derma yang berleluasa terutamanya di bulan Ramadhan ini. Umat Islam hendaklah berhati-hati kerana terdapat sindiket yang mengambil kesempatan atas sifat kemurahan umat Islam untuk tujuan membina sekolah, rumah-rumah anak yatim dan sebagainya. Sewajarnya umat Islam berhati-hati dan pastikan kutipan derma itu mendapat kelulusan dari Majlis Agama Islam Perak.

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment