Friday, March 23, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 5 REJAB 1439 / 23 MAC 2018


BERPEGANG DENGAN PUSAKA NABI S.A.W

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، الْأَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِيْنَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah mendengar wasiat Rasulullah s.a.w:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. [رواه مالك]

(Maksudnya): Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.

Bagaimana beramal dengan Kitab Allah s.w.t? Allah s.w.t telah menetapkan bahawa nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus sholatu wassalam tidak meninggalkan harta yang banyak, walaupun ada rasul yang memerintah dunia. Mereka meninggalkan ilmu dan orang-orang yang mewarisi ilmu itu. Sabdanya:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ. [رواه ابو داود]

(Maksudnya): Sesungguhnya para ulamak adalah orang-orang yang menerima pusaka nabi-nabi. Sesungguhnya nabi-nabi tidak meninggalkan duit emas dan perak, mereka meninggalkan ilmu. Maka sesiapa yang mendapat bahagiannya (ilmu) itu, dia mendapat bahagian yang besar keuntungannya (di dunia sehingga hari akhirat).

Bagi umat Muhammad s.a.w, pusakanya adalah Al-Quranul Karim, iaitu firman Allah s.w.t. Ilmu dan rahmatnya yang tidak terhingga serta petunjuk yang benar kepada manusia. Tidak ada yang lebih daripadanya.

ذَ‌ٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾ [سورة البقرة : ٢]

(Maksudnya): Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Allah s.w.t berjanji memelihara Al-Quran:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾ [سورة الحجر : ٩]

(Maksudnya): Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Al-Quran tidak boleh diselewengkan sekali-kali oleh pengkhianat yang mahu menyesatkan umat Islam. Al-Quran tetap dipelihara oleh Allah s.w.t sehingga ajal dunia hendak ditamatkan. Ia dipelihara oleh Allah s.w.t bukan sahaja di dalam tulisan yang teguh dan kuat, tetapi ia dipelihara di dalam dada para ulamak yang menghafal serta ingat akan tafsir dan penjelasannya.

Nabi s.a.w di sepanjang hayatnya menunjukkan bagaimana cara beramal dengan Al-Quran itu yang dinamakan sunnah ataupun hadits. Walaupun di sana ada usaha-usaha yang dilakukan oleh kalangan yang jahat dengan mereka hadits-hadits palsu, namun hadits-hadits yang shahih tetap dapat ditapis oleh para ulamak.

Begitulah Allah s.w.t memelihara Al-Quran dan memelihara hadits Nabi s.a.w. Walaupun Nabi s.a.w sudah wafat, tetapi cahaya agama Islam yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim itu tetap dipelihara oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t telah membuktikan bagaimana umat Islam yang beramal dengan Al-Quran dan petunjuk Rasulullah s.a.w telah berjaya menakluk dunia dan mengalahkan kuasa-kuasa besar dunia serta memerintah kerajaan yang adil terhadap seluruh manusia dengan melaksanakan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾ [سورة الأنبياء : ١٠٧]

(Maksudnya): Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Kita menyaksikan kelemahan dan kejatuhan yang dialami oleh umat Islam dan kerajaan-kerajaan apabila mereka meninggalkan Al-Quran dan petunjuk Nabi s.a.w. Mereka terpengaruh dengan pandangan ahli-ahli falsafah barat yang mereka sendiri peraturan yang tidak diizin oleh Allah s.w.t.

Setelah kita menyaksikan bencana yang menimpa dunia pada hari ini, kegagalan negara-negara komunis dan sosialis dan kegagalan negara liberal kapitalisme yang menganut ajaran barat, manusia dalam keadaan kacau bilau, bukan sahaja kacau bilau keamanan dan keselamatan yang diancam, tetapi kacau bilau dalam kehidupannya, cuaca dunia dan berbagai-bagai penyakit yang membahayakan manusia. Itu adalah amaran Allah s.w.t.

Maka sudah tiba masanya bagi umat Islam yang menyaksikan penyakit-penyakit itu dan penyakit yang menimpa umat Islam sendiri kerana terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang lain daripada Islam supaya mereka kembali ke pangkal jalan, kembali bertaubat dan kembali melaksanakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan larangan-Nya sebelum nyawa sampai ke halkum, sebelum matahari naik daripada arah barat dan sebelum pintu taubat ditutup oleh Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ﴿٣٣﴾ [سورة التوبة : ٣٣]

(Maksudnya): Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun daripada pautan ini.

No comments:

Post a Comment