Friday, February 2, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 16 JAMADIL AWWAL 1439 / 2 FEBRUARI 2018


KEZALIMAN MENGUNDANG BENCANA

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Kezaliman Mengundang Bencana".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Realiti manusia pada hari ini akan berlaku zalim kepada diri sendiri, dengan tidak memperdulikan petunjuk atau hidayah daripada Allah s.w.t. Ibarat layang-layang yang putus talinya, ditiup ke hulu ke hilir tanpa arah tujuan. Situasi ini amat membimbangkan kita, bagaimana mungkin seorang manusia yang tidak mempunyai asas aqidah yang kukuh mampu untuk melestarikan hubungan diri dengan Pencipta, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam. Lupakah kita akan amanah kita sebagai khalifah Allah s.w.t di atas muka bumi ini? Amanah kita ini sebagai pembangun dan pemakmur alam ini? Amanah kita sebagai pentadbir mensejahterakan alam ini.

Cabarannya, bumi ini yang kita diami ini kini telah mengalami berbagai-bagai kerosakan fizikal dan kerosakan akhlak penghuninya sendiri yang semakin hari semakin jauh meninggalkan agama Islam, meninggalkan agama Allah, meninggalkan Al-Quran Kalam Tuhan yang Haq, meninggalkan Islam sebagai satu cara hidup. Sehinggakan ada dalam kalangan kita yang merasakan apa perlunya iman dalam diri kita? Apa perlunya menjadi orang yang patuh kepada agama Islam? Apa gunanya bangun duduk lima kali sehari semalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t? Islam dianggap kolot kerana membelakangkan kemodenan dan tidak meraikan perkembangan teknologi yang kian berkembang.

Lantaran itulah mereka semakin gemar melakukan perkara-perkara kerosakan, tidak malu melakukan perkara-perkara maksiat dan dosa, tidak segan menzalimi sesama manusia, makhluk dan alam sekitar sewenang-wenangnya. Mereka lupa bahawa sesungguhnya akan tibanya waktu kita kembali ke pangkuan Allah s.w.t. Di kala itu, tiada apa yang berguna melainkan menanti balasan azab yang dijanjikan. Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali mendustai janji-Nya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Atas alasan teknologi dan kemodenan, tokoh-tokoh saintis menggunakan sumber alam untuk menghasilkan rekaan dan ciptaan baru. Hal ini telah menjadi kenyataan dan sebahagian daripada kemajuan tersebut telah pun kita nikmati. Akan tetapi sayangnya, muncul pula kerosakan di sebaliknya yang menatijahkan kesengsaraan. Ia menyebabkan bumi mengalami kerosakan, membuatkan para ahli pemikir menjadi cemas dan risau. Umpamanya fenomena penipisan ozon yang semakin kritikal. Saat ini membuktikan bahawa peritnya merasai bagaimana peritnya bahang sinaran matahari. Suhu bumi meningkat dengan mendadak daripada paras yang sepatutnya. Ia berlaku tidak lain adalah berpunca dari tangan-tangan manusia itu sendiri. Ini terbukti berdalilkan firman Allah s.w.t dalam Surah Ar-Rum Ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Sidang muslimin sekalian,

Realitinya, bumi yang kita pijak pada hari ini sudah berada di ambang kemusnahan. Ia adalah berpunca dari perbuatan manusia itu sendiri yang tidak bertanggungjawab, mencipta teknologi atas dasar kezaliman dan penindasan, tidak mengendahkan maslahah umum, tidak menghiraukan nilai-nilai keamanan sejagat yang seharusnya dimiliki oleh setiap insan. Malahan, di sana sini kita menyaksikan berlakunya pertumpahan darah, siri kekejaman dan keganasan, kezaliman bermaharaja lela yang akhirnya mengakibatkan kemusnahan dan kesengsaraan dan penderitaan kepada seluruh manusia. Peperangan dan serangan dari angkatan bersenjata yang menggunakan kapal perang, jet-jet pejuang, kapal selam canggih, bom-bom berangkai, senjata kimia dan alat-alat senjata yang lain menghiasi siri-siri kezaliman manusia ini, sehingga memusnahkan makhluk yang tidak berdosa, serta harta benda dan alam sekitar yang amat berharga. Semuanya itu berpunca daripada hasil dan usaha tangan-tangan manusia itu sendiri.

Begitu juga dengan perbuatan merosakkan alam dan persekitaran yang tidak dapat dikawal. Umpamanya, pembuangan sampah yang tidak terkawal, asap kilang yang tebal, sisa-sisa bahan kimia, gas toksid beracun yang berbahaya, pembakaran terbuka dan penebangan kayu balak yang tidak terkawal semata-mata mengejar keuntungan di dunia sahaja. Inilah jenayah tangan-tangan manusia yang akan membuatkan dunia terus menerus akan hancur dan musnah menanti ajalnya.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Lantaran itulah Allah s.w.t menimpakan pembalasan ke atas kita sebagai hukuman di atas kezaliman, kejahatan, kemungkaran dosa dan maksiat yang telah manusia lakukan. Akibatnya terjadinya fenomena bencana alam di sana sini seperti angin puting beliung, gempa bumi, banjir besar, ledakan gunung berapi, ombak tsunami yang memusnahkan segala tanaman dan hidupan. Tidak cukup dengan itu, timbul pula bencana-bencana lain yang merupakan wabak penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat hari ini yang mengamalkan amalan-amalan songsang seperti gay, lesbian dan juga perbuatan zina. Tidak lupa juga, gejala penagihan dadah  dan daun ketum. Ini semua merupakan faktor-faktor yang menyebabkan Allah s.w.t menurunkan bala dan hukuman kepada orang-orang yang berlaku zalim.

Hadirin yang mulia sekalian,

Sebelum melarat dan bertambah parah, marilah kita rawati kerosakan yang berpunca dari kezaliman manusia ini dengan satu kaedah yang murni iaitu rawatan cara hidup beragama. Kita jadikan agama Islam sebagai landasan hidup kita. Kukuhkanlah aqidah dan keimanan yang teguh kepada Allah s.w.t, laksanakan segala apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dan pegang erat Al-Quran sebagai panduan dan pedoman dalam kehidupan kita seharian dan tanamkanlah perasaan belas ehsan kepada sesama makhluk dan alam ciptaan-Nya. Semoga bumi yang kita diami ini tidak akan terus menerus menerima kesengsaraan akibat perbuatan zalim tangan-tangan manusia. Yakinilah, sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya, bahkan manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam Surah Yunus Ayat 44:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ النَّاسَ شَيْئًا وَلَـٰكِنَّ النَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٤٤﴾

Maksudnya: "Sesingguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri".

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Mimbar ingin mengingatkan bahawa sebahagian bala dan malapetaka yang ditimpakan kepada manusia bukanlah bertujuan untuk menjadikan mereka menderita dan sengsara semata-mata. Mudah-mudahan dengan penderitaan dan kesengsaraan yang dilalui akan mendorong mereka supaya kembali bertaubat dari kezaliman kepada kebenaran, serta beringat bahawa pada satu hari nanti amalan manusia akan dihitung dan dihisab. Sekiranya baik, pasti akan dibalas dengan baik dan sekiranya jahat pasti akan dibalas jahat. Apabila mereka kembali bertaubat dari segala bentuk kezaliman dan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, nescaya segala kezaliman akan dapat dihentikan. Malah kehidupan masyarakat akan kembali berjalan dengan damai dan tenteram. Melalui cara ini, kesejahteraan, keamanan dan kebahagiaan akan kembali mewarnai kehidupan kita.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment