Friday, June 2, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 7 RAMADHAN 1438 / 2 JUN 2016


PENGHAYATAN RAMADHAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾

Bermaksud:  "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa". (Surah Al-Baqarah Ayat 183)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. 
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَرِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله وَطَاعَتِهِ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita berada di bulan Ramadhan yang mulia, yang dianugerahkan kepada kita oleh Allah s.w.t untuk melahirkan manusia yang bertaqwa sebagaimana yang dinyatakan dalam yang dibacakan tadi. Ibadah puasa yang juga telah diwajibkan kepada umat-umat terdahulu, kini diwajibkan kepada kita selama sebulan yang sebenarnya adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri sama ada di dunia mahupun di akhirat. Inilah rahmat Allah s.w.t yang telah meringankan bebanan puasa ini dengan menerangkan konsep perkongsian beban antara umat Muhammad dan umat terdahulu di mana sesuatu bebanan itu akan dirasakan ringan jika manusia menyedari bukan mereka sahaja yang terpaksa melaluinya.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Puasa tidak hanya sekadar meninggalkan makan dan minum semata-mata tetapi merangkumi kekangan terhadap hawa nafsu yang selama ini menjadi raja kepada kebanyakkan manusia dan tidak ada cara yang lebih baik bagi mengawalnya kecuali dengan cara berpuasa. Namun, jika silap cara kita menunaikan puasa maka sia-sia sahajalah ibadah tersebut tanpa dapat melahirkan ketaqwaan di penghujung Ramadhan akan datang. Sabda Rasulullah s.a.w di dalam musnad Imam Ahmad:

رُبَّ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ والْعَطْشُ

Bermaksud: "Berapa ramai orang yang berpuasa sedangkan tiada sebarang faedah yang diperolehinya daripada puasa tersebut kecuali hanya lapar dan dahaga".

Terdapat beberapa tanda bagi mengenal pasti sama ada puasa kita diterima oleh Allah s.w.t atau tidak. Ianya boleh dinilai melalui keselarasan amalan kita dengan perintah Allah s.w.t sepanjang Ramadhan ini. Jika sekiranya setiap hari kita berpuasa dan setiap hari yang berlalu menambahkan lagi kekuatan kita untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan larangan-Nya maka besarlah harapan puasa kita diterima Allah s.w.t. Jika sekiranya hari-hari yang mendatang hanya menambahkan dosa atau tidak ada sebarang peningkatan terhadap kualiti dan kuantiti ibadah kita maka dibimbangi kita akan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Sidang hadirin yang berbahagia,

Di antara ciri-ciri orang yang beriman dan bertaqwa adalah kegembiraan mereka dalam menyambut kedatangan Ramadhan. Kegembiraan mereka bukan kerana peluang perniagaan yang terbuka luas, bukan kerana boleh menguruskan badan dan bukan juga kerana mahu mengurangkan ataupun berhenti merokok, tetapi kerana kesedaran tentang kelebihan fadhilat Ramadhan itu sendiri. Orang yang beriman akan berusaha melipat gandakan amal ibadah melebihi daripada usaha mempelbagaikan juadah ketika berbuka. Di samping itu, orang yang bertaqwa akan memastikan mereka tidak berlebih-lebih dan melakukan sebarang pembaziran sepanjang bulan Ramadhan ini.

Saudara kaum muslimin,

Selain itu, sebahagian umat Islam melakukan beberapa kesilapan dalam menghayati Ramadhan. Kegirangan kita melakukan ibadah terutamanya solat tarawih kebiasaannya hanya bertahan selama separuh daripada bulan Ramadhan sahaja. Sepuluh hari yang terakhir daripada Ramadhan menunjukkan kemerosotan bilangan jamaah yang amat ketara walaupun kelebihannya terutamanya dalam mencari Lailatul Qadr jauh lebih besar daripada hari-hari sebelumnya. Ramai di antara kita tidak mahu terlepas untuk menunaikan solat tarawih yang hukumnya hanyalah sunat tetapi tidak merasa sebarang kerugian ketika meninggalkan solat fardu berjamaah walaupun hukumnya fardu kifayah.

Selain itu, keghairahan bertadarus menyebabkan kita sering berlumba-lumba untuk mengkhatamkan Al-Quran melalui program tadarus sebelum berlalunya Ramadhan. Ini menyebabkan sebahagian dari kita hanya bergotong-royong dalam menghabiskan bacaan tanpa ada sebarang peningkatan dalam mutu bacaan. Kita hanya membaca dan mendengar bacaan tanpa ada proses pembelajaran kerana tertekan untuk mengkhatamkan Al-Quran sehingga akhirnya banyak berlaku kesilapan dan pahala yang diharapkan bertukar menjadi laknat Tuhan.

Sewajarnyalah apabila mutu bacaan sudah dipertingkatkan maka kita beralih kepada usaha pemahaman. Setelah pemahaman terhadap Al-Quran dapat dicapai maka berusahalah seboleh mungkin untuk menghayati segala ajaran Al-Quran. Janganlah kita hanya menjadi golongan yang hanya mementingkan bacaan tetapi kembali kepada Allah s.w.t sebelum dapat mengamalkan apa-apa daripada ajaran Al-Quran.

Sidang Jumaat yang budiman,

Marilah kita berusaha melakukan perubahan sempena Ramadhan pada tahun ini. Jika selama ini kita tidak pernah melakukan qiyamullail, maka inilah peluang bagi kita untuk melakukannya sebelum kita bersahur. Jika kita jarang meninggalkan solat sunat witir sepanjang Ramadhan, maka teruskanlah melakukannya walaupun sesudah berlalunya Ramadhan. Jika kita sanggup berjamaah tarawih sepanjang Ramadhan, maka teruskanlah lakukan solat fardu berjamaah dalam bulan yang mulia ini. Firman Allah dalam Surah Ar-Ra'd Ayat 22:

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ ﴿٢٢﴾

Bermaksud: "Dan mereka yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata dan mereka mendirikan solat serta membelanjakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka sama ada secara sembunyi ataupun secara terang-terangan dan mereka menolak kejahatan dengan cara melakukan kebaikan. Mereka itulah disediakan balasan yang baik di hari akhirat".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

No comments:

Post a Comment