Friday, February 17, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 20 JAMADIL AWAL 1438 / 17 FEBRUARI 2017


ADAB MEDIA SOSIAL

Khutbah Pertama

إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ  مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى:
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (Surah Al-Hujurat Ayat 6)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita memperbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ.

Bermaksud: "Jika kamu berkata kepada sahabat; kamu diam, semasa imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka kamu telah berkata yang lagho (berkata perkara yang sia-sia)". (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini membicarakan tajuk, "Adab Media Sosial".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Dunia kini di hujung jari. Itulah ungkapan yang tepat bagi menterjemahkan hakikat kehidupan pada hari ini. Internet telah digunakan secara meluas pada hari ini bahkan ia satu keperluan setiap individu sebagai medium komunikasi. Sekarang hampir setiap orang dapat menerima informasi dan komunikasi secara langsung sama ada jarak dekat mahupun jarak jauh melalui penggunaan media sosial yang menggunakan teknologi internet.

Media sosial telah menjadi bahagian penting dalam kehidupan manusia di era ini. Malah, ia menjadi cara baru dalam berkomunikasi dengan berkongsi pengalaman peribadi, hingga mengatur janji temu dengan teman lama atau teman baru dengan mudah di media sosial.

Media sosial memudahkan kita mendapat dan menyebar maklumat dengan pantas dan efisyen. Media sosial mengandungi seribu satu kebaikan dengan penggunaan yang betul. Namun, media sosial juga memiliki kesan negatif kepada penggunaan yang salah. Ramai pengguna media sosial, secara bebas melontar pendapat, berkomentar tanpa diasaskan dengan fakta atau ilmu yang sahih. Tidak kurang yang menggunakannya untuk melepaskan geram dengan kata-kata kesat, lucah, memaki hamun dan mencarut.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kebebasan yang diperolehi melalui media sosial bukan bererti tidak ada adab yang membatasi mana yang boleh atau mana yang tidak boleh. Ada baiknya kita mengenal adab yang harus diperhatikan ketika menggunakan media sosial agar penggunaannya membawa kebaikan dan memupuk perpaduan seterusnya menghindarkan kerosakan. Terdapat beberapa adab yang perlu diberi perhatian, antaranya:

Pertama: Berkata yang baik, benar dan sopan. Sabda Nabi s.a.w:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Bermaksud: "Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau diam". (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Kedua: Hanya menyebarkan maklumat yang sahih dan diyakini tepat, hal-hal yang berguna dan bermanfaat. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 19:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿١٩﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah (tersebar) tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah!) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya (yang demikian)".

Dan Firman Allah s.w.t dalam Surah Qaf Ayat 18:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ ﴿١٨﴾

Bermaksud: "Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan, melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir".

Penyebar berita palsu, hadits palsu, perkara sia-sia bukan sahaja diancam oleh Allah dan Rasul bahkan boleh membawa suasana panik dan huru hara, pergaduhan, konflik rumah tangga dan pelbagai akibat buruk yang lain.

Ketiga: Penggunaan yang sederhana dan munasabah. Elakkan melampau-lampau menghabiskan masa dengan media sosial sehingga lalai dan alpa terhadap kewajipan sebagai hamba Allah, sebagai suami atau isteri, sebagai anak atau pelajar, sebagai kakitangan awam atau swasta. Firman Allah dalam Surah Al-Mukminun Ayat 1 hingga 3:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia".

Penggunaan media sosial secara melampau menyebabkan masa banyak terbuang. Terlalu sibuk melayari media sosial menyebabkan pembelajaran terganggu, kerja yang sepatutnya dilakukan tertangguh, kurang aktiviti sosial bersama keluarga, rakan dan tetangga.

Keempat: Menggunakan media sosial dengan cara yang betul dan selamat. Baru-baru ini, dalam media digital menyatakan seramai 156 pasangan bercerai setiap hari antaranya berpunca dari salah guna kemudahan Facebook dan WhatsApp. Pakar saikologi dan dekan fakulti pendidikan Universiti Malaya, Professor Madya Dr. Maryani binti Mohd Nor menyatakan, ramai pasangan muda menjadikan WhatsApp sebagai medan meluahkan perasaan marah apabila berhadapan konflik rumah tangga.

Jangan melampau berkongsi perihal peribadi. Mungkin ada yang ingin mengambil kesempatan dan berniat jahat kepada kita. Jenayah boleh berlaku disebabkan penjenayah mendapat maklumat peribadi daripada media sosial.

Kelima: Menyebarkan gambar-gambar yang sesuai dan bermanfaat seperti keindahan alam yang membuktikan kekuasaan dan kebesaran Allah. Hindari penyebaran gambar lucah, gambar sendiri atau orang lain yang tidak menutup aurat apatah lagi menjolok mata, tidak menyebarkan gambar kemalangan yang mengaibkan, video dan gambar fitnah yang diedit.

Keenam: Memilih masa yang sesuai. Jangan bermedia sosial ketika khatib sedang berkhutbah, ketika bermesyuarat, ketika memandu, ketika berjalan, ketika belajar, ketika menziarahi saudara-mara dan seumpamanya.

Sidang hadirin sekalian,

Diharapkan semua para jamaah dapat memaklumkan isi khutbah pada hari ini kepada isi rumah masing-masing terutama ahli keluarga sendiri dan mereka adalah tanggungjawab kita. Sabda Nabi s.a.w daripada Ibnu 'Umar radhiAllahu 'anhuma:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab di atas orang yang dipimpin". (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  اَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَـٰهَ اِلاَّ الله، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang hadirin yang berbahagia,

Mimbar tidak pernah berhenti menyeru, marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w  yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى. فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهُ لَيْسَ لِي قَائِدٌ يَقُودُنِي إِلَى الْمَسْجِدِ. فَسَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ لَهُ، فَيُصَلِّيَ فِي بَيْتِهِ، فَرَخَّصَ لَهُ، فَلَمَّا وَلَّى دَعَاهُ. فَقَالَ: هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بِالصَّلَاةِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَأَجِبْ.

Bermaksud: "Seorang lelaki buta menjumpai Nabi s.a.w. Dia berkata: Wahai Rasulullah, sungguh aku tidak memiliki seorang pengiring yang boleh mengiringiku berjalan ke masjid. Kemudia ia memohon kepada Rasulullah s.a.w agar diberikan keringanan sehingga dia boleh solat di rumahnya, lalu Nabi s.a.w membolehkannya. Ketika orang tersebut berpaling pergi, Nabi s.a.w memanggilnya dan berkata: Apakah kamu mendengar azan solat? Ia menjawab: Ya. Nabi s.a.w menjawab: Maka datangilah!". (Riwayat Imam Muslim)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya Engkaulah Maha Mendengar, Maha Dekat dan Mengabulkan doa hamba-Mu. Ya Allah, Engkau berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMc2VzTExZLVljZmc


No comments:

Post a Comment