Friday, December 2, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 2 RABI'UL AWWAL 1438 / 2 DISEMBER 2016


KEMBALIKAN SINAR ROHINGYA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَلَمَنِ انتَصَرَ بَعْدَ ظُلْمِهِ فَأُولَـٰئِكَ مَا عَلَيْهِم مِّن سَبِيلٍ ﴿٤١﴾ إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٤٢﴾

Bermaksud: "Dan sesungguhnya orang yang membela diri setelah ia dizalimi, maka tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang yang beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya". (Surah As-Syura Ayat 41 dan 42)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Kembalikan Sinar Rohingya".

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang menyuruh kepada keamanan, mengajak kepada kebaikan, menolak kezaliman dan mencegah kemungkaran. Lantaran itu, sejak awal lagi Islam memerangi dan mengutuk keras tindakan kezaliman dan keganasan apatah lagi jika sampai kepada mengorbankan jiwa yang tidak berdosa.

Yang jelas, isu kezaliman, penganiayaan dan pencabulan sesebuah kaum atau bangsa, bukanlah perkara yang baru tetapi telah lama terjadi. Mereka menjadi begitu disebabkan takut atau tidak suka dengan pengaruh daripada kaum tersebut. Inilah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam Rohingya di Myanmar. Saban hari ada yang disiksa dan dibunuh, seolah-olah satu misi penghapusan kaum Rohingya sedang berlaku.

Gambaran ini nyata sebagai suatu bentuk pencabulan hak asasi manusia dan penghinaan terhadap umat Islam minoriti di Myanmar yang sehingga kini masih belum lagi mendapat pembelaan yang sewajarnya walaupun mendapat perhatian pelbagai pihak di peringkat antarabangsa termasuk pertubuhan OIC.

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Golongan Rohingya ini telah cukup terhina apabila dilabel sebagai golongan pelarian dan tanpa negeri oleh sesetengah pertubuhan antarabangsa dan tempatan. Tidak cukup dengan itu, kesengsaraan mereka ditambah pula dengan penafian kerakyatan mereka oleh pihak berkuasanya sendiri. Akhirnya, mereka terpaksa bermigrasi dari kawasan tempat tinggal mereka di Arakan menuju ke beberapa negara seperti Bangladesh, negara-negara Arab, Thailand termasuk Malaysia.

Hakikatnya, situasi golongan ini sama ada di Myanmar atau di negara lain semakin mendapat perhatian dunia memandangkan mereka sedang menghadapi diskriminasi hak asasi manusia yang amat serius. Mimbar berpendapat situasi yang menimpa mereka beberapa hari ini ada kaitannya dengan usaha untuk menidakkan golongan Rohingya dari bumi Myanmar.

Dalam konteks ini, kerajaan dan masyarakat Myanmar dan yang menyedihkan termasuk pemuka agama mereka telah menyetujui tindakan ini. Seolah-olah golongan ini telah banyak memberi masalah dan mengancam kestabilan negara tersebut. Lebih menakutkan, golongan Rohingya yang lemah ini menjadi mangsa akibat dianiaya oleh perbuatan pihak yang lebih agresif dan hebat dari segi fizikal dan kekuasaan.

Sidang jamaah yang berbahagia sekalian,

Di zaman yang penuh ujian dan cabaran ini, kita perlu sentiasa mengingatkan diri akan hakikat ajaran Islam mengenai tanggungjawab  bersatu padu dan tolong menolong antara satu sama lain. Kita bersyukur di negara ini, kita dapat hidup aman damai walaupun dikelilingi dengan pelbagai kaum dan agama.

Sesungguhnya Islam sangat menekankan persaudaran dan kesatuan. Bahkan Islam itu sendiri datang untuk mempersatukan penganutnya bukan untuk memecah belah. Usahlah berpecah, bergaduh, berbalah sesama sendiri kerana merebutkan kepentingan diri, kuasa dan politik. Bukankah Allah سبحانه وتعالى telah memberikan panduan dalam menyelesaikan setiap permasalahan seperti firman-Nya dalam Surah An-Nisa' Ayat 59:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾

Bermaksud: "Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik kesudahannya".

Sidang jamaah yang berbahagia,

Muslim yang sebenar adalah mereka yang sentiasa inginkan kebaikan untuk diri sendiri dan juga untuk orang lain. Dengan itu mereka tidak akan sesekali membiarkan saudaranya terbiar, terlantar atau dizalimi oleh pihak musuh. Sebaliknya, mereka akan mengambil peduli, menjaga sebaik-baiknya, membela dan menolongnya di saat mereka memerlukan. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: "Daripada Jabir bin Abdullah dan Abu Talhah bin Sahl Al-Anshari berkata: Bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Tidak ada seorang yang membiarkan seorang muslim di tempat dia dihinakan kehormatannya dan dilanggar kemuliaannya (hak-haknya) melain Allah pasti menghinakannya di tempat yang dia ingin mendapatkan pertolongan. Dan tidak ada seorang yang menolong seorang muslim di tempat dia dihinakan kehormatannya dan dilanggar kemuliaannya (hak-haknya) melainkan Allah pasti menolongnya di tempat yang dia ingin ditolong di dalamnya".

Sebagai insan yang mempunyai perasaan kasih sayang, sudah pasti kita dapat merasakan penderitaan yang dialami oleh mereka yang kesusahan ini. Mimbar yakin jika jiwa kita dipupuk dan dipenuhi dengan perasaan kasih sayang nescaya darjat kita ditinggikan oleh Allah سبحانه وتعالى. Sesungguhnya, mewujudkan kasih sayang pada diri sendiri serta memberikan kasih sayang kepada orang lain adalah termasuk ibadat dan menyerlahkan jati diri seorang muslim. Justeru, dengan adanya kasih sayang, kita lebih bersedia untuk menghadapi ujian dengan penuh keinsafan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam soal membantu menyelesaikan isu etnik Rohingya ini, mimbar amat menyokong dengan saranan yang dilontarkan oleh pucuk pimpinan negara bahawa adalah sangat penting negara-negara Asean dan negara ketiga memainkan peranan secara serius disamping menghulurkan bantuan kemanusiaan sebagaimana yang dilakukan oleh Malaysia. Dengan semangat Asean bersama, mimbar yakin sinar Rohingya dapat dikembalikan bahkan negara juga dapat mengelak kesan daripada tragedi kemanusiaan tersebut demi kedaulatan negara.

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Umat Islam wajib mempertahankan tanahair, kuasa yang dimiliki dan menjaga perpaduan supaya apa yang kita miliki ini tidak musnah.

Kedua: Kerjasama erat negara-negara Asean dapat membantu menyelamatkan etnik Rohingya daripada tertinggal dengan arus perdana.

Ketiga: Ujian yang tiba mendorong umat Islam untuk sedar dan insaf di atas kecuaian melanggar syariat Allah سبحانه وتعالى.

Marilah kita merenungi firman Allah سبحانه وتعالى di dalam Surah Al-Hadid Ayat 22 dan 23 yang berbunyi:

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَ‌ٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ ﴿٢٢﴾ لِّكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ﴿٢٣﴾

Bermaksud: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya, sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita memakmurkan masjid-masjid dan surau-surau dengan menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ. اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah ketaqwaan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment