Friday, October 21, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 20 MUHARRAM 1438 / 21 OKTOBER 2016


LIBERALISME PEROSAK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ  لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ. 
 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang jamaah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat serta mendapat perlindungan Allah سبحانه وتعالى di dunia mahupun di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Liberalisme Perosak Agama, Bangsa dan Negara".

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Islam adalah agama tauhid dan ajaran kepatuhan kepada Allah سبحانه وتعالى dan rasul-Nya, Islam agama yang mengajarkan kebenaran dan kebaikan kepada umat manusia. Islam secara khusus bermakna menyerah diri kepada Allah سبحانه وتعالى, namun hakikat maknanya yang lebih luas juga mencakupi segala bentuk nilai kebaikan dan kesempurnaan. Seiring dengan Islam yang mewakili segala bentuk nilai kebaikan, maka ia tentu juga mencakupi nilai kebebasan iaitu kebebasan dalam makna yang lebih sesuai dan benar menurut ukuran Islam, bukan kebebasan dalam makna yang tanpa batas, kerana kebebasan yang tanpa batas tidak sesuai kepada makhluk apatah lagi bersifat hamba kepada Penciptanya. Kebebasan secara mutlak hanya sesuai kepada Tuhan yang Maha Berkuasa.

Kebebasan menurut Islam adalah kemerdekaan dalam memilih sesuatu selama mana pilihan tersebut masih berada dalam ruang lingkup kebenaran syarak iaitu kebenaran yang dikehendaki oleh Allah سبحانه وتعالى sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Kebebasan memilih jalan hidup, selama mana tidak memilih perkara yang dilarang. Pada dasarnya, umat Islam diberi hak dasar berupa kebebasan dalam memilih jalan hidup masing-masing, dengan pedoman wahyu atas keterbatasan akal. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Maidah Ayat 3:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Bermaksud: "Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redha akan Islam itu menjadi agama untuk kamu".

Sidang hadirin yang berbahagia,

Antara fahaman yang berbahaya dalam kalangan umat Islam sekarang ini ialah fahaman Liberalisme. Fahaman Liberalisme adalah satu fahaman yang menuntut kebebasan berfikir dan bertindak serta menolak prinsip berpegang kepada kebenaran berpandukan agama serta mengambil jalan mudah dalam beragama. Melalui fahaman Liberal ini, pemikiran umat Islam diadun dengan acuan kebebasan tanpa batasan iaitu bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan dan kongkongan agama atau diskriminasi peraturan mahupun undang-undang yang dianggap sebagai menyekat kebebasan asasi manusia. Sekiranya disekat, dihalang atau didakwa, maka golongan ini dengan pantas mencanang satu dunia bahawa hak kebebasan mereka telah dicabuli.

Pejuang fahaman Liberal juga mendakwa bahawa agama Islam mengikat, jumud, membataskan kemajuan. Fahaman ini jelas berlawanan dengan apa yang diturunkan oleh Allah سبحانه وتعالى yang Maha Mengetahui, lengkap meliputi peraturan, undang-undang yang mengatur kehidupan manusia dalam semua aspek untuk kesejahteraan hidup manusia. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Ali-'Imran Ayat 83:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ ﴿٨٣﴾

Bermaksud: "Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu mereka mencari lain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan".

Saudara-saudara kaum muslimin yang dimuliakan,

Baru-baru ini, kita sekali lagi digemparkan dengan isu Saturday Reformist Jumu'ah. Kumpulan ini telah membuat kenyataan berunsur provokatif kononnya mahu mengubah fahaman agama yang sudah sekian lama diyakini. Mereka kononnya mahu solat Jumaat diubah kepada hari Sabtu. Gerakan ini dilakukan di United Kingdom dengan alasan untuk memudahkan orang awam bersolat kerana hari Jumaat hari bekerja. Benih-benih pemikiran Liberal yang membimbangkan inilah mula menjalar dalam masyarakat Islam dunia mahupun di Malaysia khususnya.

Sebagai seorang Islam, hak asasi bukan lesen untuk kebebasan mutlak. Hak asasi masih terikat dengan agama, peraturan dan undang-undang. Hak asasi laungan Liberal adalah hak asasi menurut nafsu yang berselindung di bawah konsep hak asasi. Menurut nafsu adalah kegagalan. Nafsu tidak mahu dibatasi dan tidak pernah puas. Nafsu juga tidak mahu tunduk kepada sebarang peraturan dan undang-undang termasuk hukum Islam melainkan nafsu yang berjaya dididik menurut dan patuh kepada perintah Allah سبحانه وتعالى dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Yusuf Ayat 53:

۞ وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٥٣﴾

Bermaksud: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku amat Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Hadirin yang berbahagia,

Di dalam Islam, hukum hakam dibina dengan matlamat yang penting untuk kehidupan manusia iaitu menjaga agama, nyawa, akal, harta, keturunan dan maruah. Tiada suatu hukum dan undang-undang Islam pun yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadith melainkan semua itu demi menjaga semua lima maqasid tersebut. Keyakinan kita sebagai umat Islam, semua perintah Allah dan Rasul terkandung di dalamnya kebaikan, manakala semua larangan Allah dan Rasul terkandung di dalamnya keburukan.

Kemampuan manusia membezakan kebenaran sangatlah terbatas. Terkandung dengan logik akal dalam semua perkara adalah kesilapan besar yang menjurus kepada kesesatan. Terlalu banyak contoh yang boleh menjadi pedoman bahawa akal manusia sangat terbatas. Keterbatasan membezakan antara hak dan keinginan, kebenaran dan kebatilan, maka manusia memerlukan panduan dan peraturan dari wahyu yang diturunkan Allah Maha Pencipta kepada manusia.

Kumpulan Liberal juga seringkali cuba mengelirukan masyarakat Islam dengan menolak autoriti dalam agama. Menurut mereka, semua orang berhak berbicara tentang Islam dan amalannya, semua orang berhak membuat tafsiran memahami agama, semua orang berhak menentukan cara hidup tanpa perlu terikat dengan panduan agama yang digariskan oleh para ulamak. Menurut mereka, ulamak ibarat candu dalam masyarakat yang sering menipu demi keuntungan sendiri. Racun-racun ini amat berbahaya andainya diterima oleh umat Islam. Hilang autoriti bermakna menghilangkan hak ke atas sesuatu bidang kepakaran.

Apakah kumpulan Liberal juga menolak pakar dalam bidang-bidang lain? Ternyata jawapannya tidak. Ini menunjukkan agenda pembohongan mereka lebih tertumpu untuk meruntuhkan fahaman dan amalan Islam yang diajarkan oleh para ulamak. Meruntuhkan autoriti ulamak membuka ruang kesesatan yang lebih luas. Inilah tipu daya iblis laknatullah sepertimana janjinya yang disebut Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Hijr Ayat 39:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٣٩﴾

Bermaksud: "Iblis berkata; Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka kesemuanya".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, mimbar menyeru agar umat Islam kembali kepada petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah di samping menghormati dan merujuk ulamak-ulamak yang muktabar. Dalam pada itu juga, umat Islam diingatkan agar tidak terpedaya dengan pemikiran Liberalisme yang boleh merosakkan Islam secara dalaman. Apa yang penting bagi kita ialah untuk menghayati Islam dan memenuhi perintah Allah سبحانه وتعالى. Kita perlu melihat ajaran Islam secara menyeluruh kepada semua aspek agama ini. Kita juga perlu mempelajari hukum hakam agama ini dengan melihat kepada semua nas Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Bukan dengan hanya membaca beberapa Ayat dan melihat beberapa hadith, lalu kita sudah membuat kesimpulan yang bertentangan dengan ruh dan matlamat agama ini seluruhnya. Kita perlu menyedari bahawa kita diseru oleh Allah سبحانه وتعالى supaya sentiasa berpegang pada agama-Nya dan tidak terikut-ikut ajaran dan pemikiran yang lain. Semoga kita dilindungi oleh Allah سبحانه وتعالى daripada sebarang anasir-anasir yang boleh mengganggu gugat umat Islam dalam menegakkan syariat islam di muka bumi Allah ini.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأَ فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment