Thursday, March 24, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 25 MAC 2016 / 16 JAMADIL AKHIR 1437


“PERLAKSANAAN SYARIAT ISLAM SECARA MENYELURUH”

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
لَوْ أَنزَلْنَا هَـٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۚ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾

Jika kami turunkan Quran ini kepada sebuah bukit, nescaya kamu melihat bukit tersebut tunduk dan berkecai akibat takutkan Allah. Dan demikianlah perumpamaan yang kami jadikan bagi manusia mudah-mudahan kamu berfikir. (Surah Al-Hashr: Ayat 21)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ. عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Sekalian,

Hari ini perlaksanaan syariat Islam secara menyeluruh begitu hebat diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat. Di mana sahaja dan sesiapa sahaja umat Islam malah orang bukan Islam begitu ghairah membicarakannya walaupun sebahagiannya amat tandus pengetahuan mengenainya malah cara sebutan merekapun mengambarkan kecetekan ilmu mereka mengenainya. Mimbar pada hari ini ingin membicarakan khutbah yang bertajuk, "Perlaksanaan Syariat Islam Secara Menyeluruh".

Sidang Jumaat Sekalian,

Islam sahaja agama yang paling lengkap merangkumi segala sistem hidup manusia samada ibadatnya, ekonomi dan muamalatnya, munakahatnya dan sistem kehakimannya . Oleh kerana Allah سبحانه وتعالى yang telah mencipta dan menjadikan manusia, maka Allahlah yang Maha Mengetahui mengenai sikap dan perangai manusia. Maka tidak ada sistem yang lebih baik melainkan sistem ciptaan Allah termasuk sistem perundanganNya. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 208, Allah سبحانه وتعالى mengarahkan :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨﴾

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan adalan musuh kamu yang nyata.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Undang-undang ciptaan Allah adalah hak Allah yang diciptakan untuk makhluknya bertindak demi mewujudkan kemakmuran di muka bumi ini sesuai dengan tujuan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Namun sama ada disedari atau pun tidak apabila isu ini ditimbulkan sama ada ianya berbentuk idea pelaksanaanya atau sekadar perbincangan, terdapat suara-suara terutamanya di kalangan umat Islam yang seolah-olah terlupa mereka sedang mengkritik kebijaksanaan Allah سبحانه وتعالى yang mengatur kehidupan hambanya. Jika sekadar menyebut belum sedia, kurang prasarana, bukan keutamaan (aulawiyat) mungkin boleh dimaafkan namun kalau enggan melaksanakan dengan mengaitkan dengan kepentingan tertentu sehingga menafikan hak Allah dan kuasa Allah سبحانه وتعالى, ianya amat merbahaya khususnya dari sudut akidah. Keadaan ini lah amat dibimbangi kerana rosak dan gugur akidah boleh berlaku akibat daripada perkataan. Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم mengambil masa 23 tahun bagi melaksanakan keseluruhan syariat Allah سبحانه وتعالى yang selengkapnya. Kesempurnaan syariat Allah hanya dapat dirasai dan dihayati di penghujung kehidupan baginda dan berkembang di zaman Khalifah Ar-Rashidin. Kesannya masih menjadi igauan dan impian terindah seluruh umat Islam sehingga kini walaupun berbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya.

Sidang Jumaat Sekelian,

Segala penentangan terhadap Hukum Allah bukanlah kerana kelemahan hukum itu sendiri. Segalanya berlaku akibat kejahilan manusia terhadap ketetapan Allah, pencipta mereka sendiri. Hanya mereka yang jahil dan prejudis terhadap Islam sahaja yang tidak menyokong perlaksanaannya.

Barat menganggap ianya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana melibatkan hukuman mati umpamanya, sedangkan mereka sendiri menggunakan hukuman mati terhadap berbagai kesalahan di merata dunia. Malah hukuman mati dilaksanakan sewenang-wenangnya terhadap para pejuang Islam sehingga mereka syahid kerananya.

Jika dikatakan bahawa hukuman Allah tidak mampu menghapuskan jenayah, tidak ada sebarang kejayaan dalam menurunkan kadar jenayah dengan menggunapakai undang-undang ciptaan manusia.

Antara hujjah yang sering ditimbulkan oleh para penentang adalah kurangnya kefahaman rakyat mengenai undang-undang Islam sehingga suasana menjadi tidak kondusif (sesuai) untuk dilaksanakan. Sedangkan pada hakikatnya undang-undang baratpun tidak difahamai oleh sesiapa ketika mula dilaksanakan dahulu.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Undang-Undang Allah adalah undang-undang terbaik yang dicipta oleh Allah bagi manfaaat manusia. Wajarkah kita menyebut zalim, penginayaan, ketinggalan zaman dan sebagainya. Antara bukti keistimewaannya adalah keupayaannya menggerunkan hati manusia, bukan sahaja para penjenayah, malah bagi yang tidak pernah terniat untuk melakukannya. Berbeza dengan undang-undang manusia yang bukan sahaja tidak memberi kesan apa-apa, malah membuka ruang bagi berbagai penyalahgunaan dan penyelewengan sehingga hukuman yang ada bukan lagi menjadi ancaman kepada pesalah, malah menjadi mainan dan bahan sendaan semata-mata. Mimbar ingin mengigatkan umat Islam agar berhati-hati dalam memperkatakan sesuatu yang merupakan hak Allah yang bijak mengatur kehidupan hambanya.

‏بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ. 


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا ﴿٣٦﴾

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ. عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Sekalian,

Walaupun terlalu sukar melembutkan hati bangsa Arab namun Rasulullah صلى الله عليه وسلم berjaya mengubah mereka sepenuhnya dalam masa 23 tahun. Namun Negara-negara Islam hari ini masih gagal menguatkuasakan hukum Allah walaupun telah mencapai kemerdekaan berpuluh-puluh tahun. Jika ada umat Islam memberikan idea berusaha melaksanakan maka wujud pula di kalangan umat Islam yang mencari kelemahan dan cuba menghalangnya. Inilah ruang dan peluang yang dicari oleh musuh Islam. Kita tidak punya masa lagi untuk berbahas mengenai keindahan syariat Islam kerana orang bukan Islam pun ramai yang telah mengakuinya. Apa yang tinggal adalah untuk kita berusaha untuk melaksakannya. Sesiapa sahaja yang mahu mengusahakannya wajib kita bantu dan segala kekurangannya harus sama-sama ditampung. Media massa dan media cetak boleh berperanan menjalankan tugasnya bagi menjelaskannya kepada masyarakat bukannya menambahkan kekeliruan dalam masyarakat.

Maka marilah kita semua bersatu tenaga, fikiran dan idea bagi memulakan usaha-usaha ini tanpa menimbulkan sebarang konflik. Jika semua pihak memang berniat untuk melaksanakannya walaupun pendekatannya berbeza, maka tiada alasan bagi kita berbalah kerananya kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama. Letakkan kepentingan Allah mengatasi segala galanya namun dalam setiap perencanaan, pelaksanaan sesuatu urusan Allah سبحانه وتعالى ini hendaklah dilakukan secara penuh hikmah dan bijaksana agar tidak membangkitkan fitnah terhadap agama yang kita anuti ini. Semoga Allah سبحانه وتعالى memberkati dan membantu hambanya yang ikhlas berusaha untuk memertabatkan Islam di muka bumi ini.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman 4shared.com

No comments:

Post a Comment