Wednesday, January 27, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 19 RABI'UL AKHIR 1427 / 29 JANUARI 2016


JAHILIYYAH MODEN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ ﴿١١٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،  اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Al-An'aam Ayat 116 yang bermaksud: "Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah, tiadalah yang mereka ikut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah سبحانه وتعالى di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk "Jahiliyyah Moden".

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

Apabila mendengar perkataan jahiliyyah seringkali kita akan membayangkan kembali sejarah diutusnya Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم kepada bangsa arab yang digelar jahiliyyah atas kedegilan dan kebodohan mereka. Antara amalan mereka yang sering kita dengar ialah membunuh anak perempuan, berjudi, berzina, minum arak, menyembah berhala, berperang, meletakkan wanita sebagai barang yang boleh diperdagangkan dan diwarisi serta lain-lain lagi. Persoalannya, benarkah bangsa arab pada waktu itu adalah masyarakat yang bodoh? Dalam sejarah bangsa arab, mereka mahir dalam bidang perdagangan, politik, penyusunan strategi perang, seni dan budaya, mempunyai rasa persaudaraan yang sangat kuat, ilmu pengetahuan dan teknologi yang amat maju. Penduduk Yaman mencipta satu sistem perparitan yang hebat sehingga penghasilan pertanian dan perkebunan sangat maju dan efektif seperti Kerajaan Sabak yang amat makmur dan kaya dengan ekonomi dan pertaniannya.

Di sebalik kehebatan dalam menciptakan hasil karya seni, budaya dan pengurusan pemerintahan, tetapi masyarakat arab adalah penyembah berhala, sedangkan itu adalah benda mati yang merupakan hasil buatannya, berhala-berhala tersebut tidak berupaya berbuat apa-apa, mengapa mereka menyembah berhala, memuja dan meminta pertolongan kepadanya? Ketika mereka ditanya mengapa menyembah berhala, jawab mereka bahawa mereka hanya berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Namun begitu, hampir kesemua amalan yang telah dilakukan oleh orang pada zaman jahiliyyah masih dilakukan oleh manusia yang hidup pada zaman moden ini, malahan kadang-kadang perbuatan atau jenayah yang dilakukan oleh manusia pada zaman moden ini lebih teruk dan dahsyat daripada zaman jahiliyyah dahulu. Oleh itu kita namakan zaman sekarang dengan zaman jahiliyyah moden. Iaitu moden di sudut kemajuan sains dan teknologi (pembangunan fizikal) tetapi mundur, ketinggalan atau jahil di sudut rohani. Manusia pada zaman sekarang mementingkan kesenangan dunia semata-mata (materialistik) yang menyebabkan otak mereka tidak dapat berfikir secara waras.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Menurut Muhammad Qutub dalam bukunya "جَاهِلِيَّةُ الْقَرْنِ الْعِشْرِينَ" (Jahiliyyah Abad 20), jahiliyyah moden merupakan satu daripada beberapa bentuk kejahiliyyahan masa lampau dengan tambahan berbagai sudut sesuai dengan perkembangan zaman. Jahiliyyah moden tidak timbul secara mendadak melainkan telah melalui kurun waktu panjang.

Dewasa ini, kita hidup di era jahiliyyah kebendaan yang telah jauh dari panduan syariat yang dibawa oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Nilai-nilai agama dan kerohaniannya telah dicampakkan begitu sahaja. Akibatnya kerosakan dan keruntuhan moral dan etika melanda kebanyakan manusia akhir-akhir ini.

Kejahiliyyahan menurut hawa nafsu iaitu manusia yang hidup mengikuti dorongan hawa nafsu semata-mata dan tidak mahu mematuhi apa yang ditetapkan Allah, mereka itulah manusia yang berada dalam kejahiliyyahan. Satu-satunya yang membuat seseorang menjadi manusia jahiliyyah adalah penolakan mereka terhadap hidayah Ilahi. Malah bukan hanya orang-orang arab pra-Islam sahaja yang berada dalam suasana kejahiliyyahan, tetapi juga setiap masyarakat yang hidupnya menyimpang dari petunjuk hidayah dan menuruti hawa nafsu sahaja termasuk dalam kategori ini.

Akhir-akhir ini kita sedar bahawa zaman jahiliyyah moden ini berkembang begitu pesat kerana didokong dengan adanya media dan alat penyebar informasi canggih yang setiap saat, siapa yang menyebarkan wabak perosak akhlak yang mampu bergerak sangat pantas dan memasuki ke rumah-rumah bahkan menyelinap ke bilik-bilik tidur melalui kaca televisyen yang sasarannya adalah generasi muda kita.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di antara ciri-ciri jahiliyyah moden adalah:

1. Tidak mengikut petunjuk Allah سبحانه وتعالى. Tidak berhukum dengan hukum Allah سبحانه وتعالى yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Manusia lebih percaya dan yakin dengan hukum yang direka cipta oleh manusia sendiri yang mempunyai kemampuan akal (kognetif) yang terhad dan terbatas. Seperti mana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Maidah Ayat 49 dan 50 yang berbunyi:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ ﴿٤٩﴾ أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ ﴿٥٠﴾

Bermaksud: "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah Allah turunkan kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa. Sesungguhnya kebanyakan umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal, kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah".

2. Hidup mengikut hawa nafsu. Sepatutnya nafsu manusia itu dikawal oleh syariat Allah سبحانه وتعالى dengan bantuan akal fikiran tetapi nafsu mereka telah berkuasa di atas segalanya yang menyebabkan segala tindak-tanduk mereka berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Daripada Syadad bin Aus, baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Bermaksud: "Orang yang paling bijak ialah seorang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian. Dan orang yang paling lemah ialah barangsiapa yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan (diampuni) Allah سبحانه وتعالى". (HR At-Tirmidzi)

3. Adanya golongan pemusnah Islam. Kadang-kadang golongan inilah yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam tetapi segala tindak-tanduk, akhlak dan asas perjuangan jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang sebenarnya. Kita berjuang semata-mata untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Segala perjuangan yang bertujuan selain daripada untuk memartabatkan agama Allah سبحانه وتعالى adalah pejuangan yang batil. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Anfal Ayat 25:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢٥﴾

Bermaksud: "Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus  (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksanya".

4. Gejala keruntuhan akhlak berleluasa. Kadar jenayah dan maksiat pada zaman moden ini lebih kronik dan hebat daripada zaman jahiliyyah dahulu. Apabila manusia mula sudah tidak malu dan tidak menyedari kuasa Allah سبحانه وتعالى maka Allah akan mula menunjukkan kuasa-Nya dengan mendatangkan berbagai-bagai bala seperti tanah runtuh, tsunami, banjir besar, taufan dan sebagainya supaya manusia itu sedar bahawa kita ada yang punya dan berkuasa di atas segalanya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿٢٥٧﴾

Bermaksud: "Allah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang kafir, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya". (Surah Al-Baqarah Ayat 257)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengingatkan bahawa elakkanlah diri jadi hamba kepada jahiliyyah moden. Perbanyakkanlah menghitung serta bermuhasabah diri kita setiap hari agar kita tidak tersesat jauh dari jalan yang dibawa oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan jalan yang diredhai Allah سبحانه وتعالى. Semoga kita tidak menyesal di hari kemudian yakni di akhirat kelak. Banyakkanlah juga mengingati mati. Mohonlah perlindungan kepada Allah سبحانه وتعالى dari fitnah api neraka jahannam, fitnah kubur, fitnah kehidupan dan kematian serta dari fitnah Al-Masihid Dajjal.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendokong-pendokongnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafiq dan musyrikin, binasalakanlah musuh-musuh agama-Mu dan segala sekutunya, Engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkanlah kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment