Friday, July 24, 2015

Khutbah Jumaat - 8 Syawal 1436H / 24 Julai 2015H



BERAMALLAH DI BULAN SYAWAL

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
۞ وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرًا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٠﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
عِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Ayat yang dibacakan tadi bermaksud: "Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang Tuhan kamu turunkan?" Mereka menjawab: "Kebaikan." Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri Akhirat itu lebih baik lagi dan memanglah negeri Akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah An-Nahl: 30)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang sebagaimana kita boleh taat kepada perintah Allah sepanjang bulan Ramadhan  yang lalu. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Sudah lapan hari Ramadhan meninggalkan kita. Pada tahun hadapan kita belum pasti akan bertemu dengan Ramadhan lagi, mendapat segala fadhilat dan keistimewaannya. Barangkali Allah memanggil kita terlebih dahulu. Kita jua tidak tahu dan tidak pasti apakah ibadah kita sepanjang bulan Ramadhan yang lalu diterima oleh Allah atau tidak. Ketidak pastian inilah yang menyebabkan sebahagian salafus soleh berdoa selama enam bulan sejak Syawal hingga Rabiul Akhir agar ibadahnya selama bulan Ramadhan diterima, lalu dari Rabiul Akhir hingga Syaaban berdoa agar dipertemukan semula dengan bulan Ramadhan tahun berikutnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Syawal bererti peningkatan. Oleh kerana yang demikian, seharusnya setelah berlalunya Ramadhan, diharapkan kita dapat mencapai darjat ketakwaan iaitu menjadi golongan muttaqin. Semoga Syawal meningkatkan kualiti diri dan ibadah kita. Ini kerana kemuliaan seseorang hamba Allah itu bergantung kepada ketakwaannya.

Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat Ayat 13:

...إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ ... ﴿١٣﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertakwa."

Hadirin Jamaah yang dirahmati Allah,

Sebaliknya, apa yang kita lihat dalam masyarakat kita, Syawal menjadi bulan penurunan. Penurunan amal ibadah dan penurunan kualiti diri. Di antara petunjuk yang paling jelas adalah perayaan Eidul Fitri disambut dengan perkara-perkara yang melalaikan seperti muzik, tari menari, tayangan filem-filem di kaca televisyen dan tempat-tempat hiburan dibuka semula.Manakala sifat-sifat buruk seperti pembaziran, umpat mengumpat, fitnah memfitnah, kemarahan, keegoan kembali menjadi budaya serta berbagai maksiat yang dilakukan yang mana walaupun di bulan Ramadhan yang lalu segalanya telah ditinggalkan. Begitu juga masjid-masjid dan surau-surau menjadi sepi dari jamaah dan tadarus Al-Quran. Sedangkan ini semua berlawanan dengan semangat bulan Syawal yang dianjurkan oleh Islam untuk meningkatkan kualiti diri dan amal ibadah.

Hadirin Jumaat yang dirahmatiAllah,

Keadaan ini menunjukkan kepada kita, bahawa puasa orang yang demikian tidak berhasil membawa seseorang kepada darjat ketakwaan. Oleh yang demikian, ibadah yang berterusan atau istiqamah sahajalah akan menyelamatkan kita daripada bala Allah. Firman Allah dalam Surah Hud Ayat 112:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴿١١٢﴾

Bermaksud: "Maka istiqamahlah kamu, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan juga orang yang telah bertaubat. Janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."

Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadisnya:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْأَعْمَالِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

Daripada 'Aisyah RA, bahawa beliau  berkata: Nabi SAW ditanya yang manakah amalan yang paling dicintai Allah. Baginda SAW bersabda: Amalan yang berterusan walaupun sedikit. (HR Imam Al-Bukhari)

Maka amalan yang biasa kita lakukan di bulan Ramadhan, hendaklah diteruskan dalam bulan Syawal dan bulan-bulan yang lain. Semua amal ibadah seperti membaca Al-Quran, solat malam seperti sunat Tahajjud dan Witir begitu juga infaq dan sedekah janganlah ditinggalkan. Begitu juga nilai keimanan dan keikhlasan mestilah dipertahankan.

Sidang Jumaat yang dirahmatiAllah,

Walaupun tidak banyak amalan khusus di bulan Syawal dibandingkan bulan-bulan yang lain, tetapi Allah telah memberikan kesempatan dan peluang kepada kita iaitu ibadah khusus puasa dalam bulan Syawal. Ibadah puasa Syawal ini juga dapat mengubat rindu kita kepada bulan Ramadhan dan seterusnya merupakan satu cara meningkatkan kualiti diri kita dalam bulan Syawal. Manakala keistimewaan puasa sunat ini adalah, kita diberi ganjaran dengan pahala satu tahun jika kita mengerjakan puasa enam hari di bulan ini setelah sebulan penuh kita berpuasa Ramadhan.

Al-Imam Muslim meriwayatkan hadis yang berbunyi:

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ حَدَّثَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Daripada Abu Ayub Al-Anshari RA bahawa beliau menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengikutinya dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia seperti berpuasa setahun.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Menurut Syed Sabiq di dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah, menurut pendapat para ulamak, puasa Syawal boleh dilakukan secara berturutan dan boleh juga tidak berturutan.Dan tidak ada keutamaan cara pertama dari cara kedua. Maka bagi kita yang belum memulakan puasa sunat Syawal, kita masih ada kesempatan untuk mengerjakannya. Jangan kita bertangguh-tangguh hingga sampai ke hari terakhir bulan Syawal, rupa-rupanya kita masih belum menyelesaikan puasa tersebut. Namun begitu kita tidak boleh berpuasa khusus di hari Jumaat tanpa mengiringinya dengan turut berpuasa di hari Khamis atau Sabtu kerana adanya larangan Rasulullah daripada berbuat demikian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebenarnya Syawal pernah menjadi bulan perjuangan umat Islam bagi menentukan Agama Allah ditegakkan. Pada bulan Syawal berlakunya perang Ahzab atau Khandak yang berlaku pada tahun ke 5 Hujrah. Dalam peperangan tersebut gabungan tentera kuffar bersekutu telah menyerang orang Islam. Dengan kebijaksanaan strategi Islam dan pertolongan Allah maka Islam dapat menewaskan tentera bersekutu kuffar.

Namun dunia hari ini sudah tidak lagi melihat Ramadhan dan Syawal sebagai bulan karomah bagi umat Islam.Mereka tidak pernah mengambil kira di bulan apakah mereka mahu mengganyang umat Islam lantaran kita seolah-olahnya sudah tidak lagi mampu berbuat apa-apa. Namun yakinlah apabila umat Islam dapat bersatu, mengukuhkan persaudaraan Islam dan kembali kepada ajaran Islam yang syumul, masa depan Islam pasti akan gemilang, umat Islam pasti akan cemerlang.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
يَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Para jamaah yang dirahmati Allah,

Allah menyatakan Ayat yang dibacakan tadi bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami adalah Allah." Kemudian mereka istiqamah, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan Syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu." (Surah Fusshilat: 30)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Hari demi hari, masa berlalu begitu pantas. Masa berlalu tanpa menunggu kita. Bayi yang baru lahir suatu ketika dahulu sekarang ini mungkin sudah menjadi tokoh dalam masyarakat. Kita yang hidup pada saat ini, suatu masa nanti akan terpahat dalam sejarah. Tahun demi tahun berlalu tanpa kita sedari. Persoalan yang berlegar di benak mukminin, mana satukah Ramadhan yang dilalui sepanjang hidupnya yang menjadi sebab pengampunan dosa. Ya Allah! Ampunilah kesilapan dan kesalahan kami samada yang sedar atau tidak. Kasihanilah kami dengan rahmat dan kasih sayang-Mu.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ . اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.
 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلْطَان نَزْرِين معزالدين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن محب الدين شاه المغفورله بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ وَكَذَلِكَ توانكو زَارَ سَالِم
 رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment