Thursday, January 10, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 11 JANUARI 2013 / 28 SAFAR 1434H




MENDIDIK GENERASI RABBANI

(11 JANUARI 2013 / 28 SAFAR 1434H)

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Bertakwalah kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ingatlah!, bahawa segala amal perbuatan kita akan disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Minggu ini adalah minggu kedua anak-anak kita kembali ke alam persekolahan. Berbagai ragam dapat kita lihat pada diri anak-anak kita setelah berbulan mereka bercuti sekolah. Namun inilah rutin biasa yang perlu ditempuh oleh kita sebagai ibu bapa demi membina generasi yang cemerlang yang bertaqwa di masa akan datang.

Menghantar anak-anak ke sekolah harian atau sekolah berasrama bukanlah bermakna kita menyerahkan urusan pendidikan anak-anak kepada pihak sekolah semata-mata. Ibu bapa dan pihak sekolah hendaklah saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya. Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Maksudnya : "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Ibu-bapa adalah asas dalam menentukan dasar pembinaan akhlak dan sahsiah anak-anak. Anak-anak pada peringkat awal pembesaran mereka, memerlukan ibu-bapa sebagai orang terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam, saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih sayang dan komunikasi yang berkesan sebenarnya bermula dari dalam rahim ibu lagi sehinggalah anak itu mencapai usia baligh.

Ibu-bapa tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun. Para ulama’ telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu:

Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.

Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka.

Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Jika kita tidak mengambil berat terhadapa keperluan anak-anak kita, mereka akan terdedah kepada gejala rosak akhlak, ajaran sesat, hilang kemuliaan akhlak dan maruah, begitu juga aspek pendidikan turut ketinggalan. Sesungguhnya kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti ibu bapa pada hari ini adalah tercabutnya akhlak anak-anak daripada diri mereka yang boleh mengheret mereka ke kancah krisis gejala sosial.

Satu kisah pada zaman Rasulullah SAW, seorang sahabat yang berjemaah bersama baginda kerap keluar awal dari jemaah sebelum sempat berdoa. Baginda bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum sempat berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Baginda terdiam dan tidak berkata apa-apa, hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh daripada kita sebagai ibu bapa. Dalam hal ini, kita perlulah membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anak. Dalam menjamin perkara tersebut, kita sebagai ibu bapa hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 7 petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut:

1. Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara berterusan, seelok-elok para bapa hendaklah solat berjemaah sekurang-kurangnya satu waktu bersama anak-anak,

2. Memastikan anak-anak mempelajari dan membaca al-Quran setiap hari,

3. Memastikan anak-anak mendapat makanan halal lagi baik,

4. Membudayakan amalan-amalan sunnah Rasulullah bermula bangun dari tidur sehingga tidur semula,

5. Membudayakan amalan membaca bagi menambah ilmu pengetahuan,

6. Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu,

7. Mengadakan perjumpaan dengan guru mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sebagai ibu-bapa, kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke sekolah. Ingatlah, tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. 

Tanggungjawab kita juga adalah memastikan mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang kuat. Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi penghormatan yang tinggi kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan anak-anak kita. Oleh itu, janganlah kita mudah melenting, hilang kewarasan, tetapi bersifatlah berlapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin ke atas anak-anak. Kita perlu yakin bahawa tindakan guru adalah untuk mendisiplinkan anak-anak kita dengan memberi pengajaran dan memulihkan akhlak merekasupaya menjadi insan yang berguna.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam. Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا ﴿٧٢﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.".


بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.   


Khutbah Kedua


اَلْحَمْدُ للهِ القَائِل :
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya : "Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu , dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (surah al-Mujadalah : ayat 11)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kesimpulan dari khutbah pertama tadi ialah :

1. Mendidik anak-anak adalah merupakan kefardhuan dan tanggungjawab setiap ibu bapa.

2. Menghantar anak ke sekolah bukan bermakna kita melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kita kepada pihak sekolah.

3. Ibu bapa perlu memastikan perancangan dan matlamat mendidik anak-anak mereka tercapai.

4. Keutamaan pendidikan anak-anak hendaklah menepati kehendak Islam iaitu keutamaan kepada pendidikan agama supaya anak-anak dapat menjadi manusia yang bertaqwa.

5. Anak merupakan amanah yang dipinjamkan oleh Allah Taala, amanah tersebut akan ditanya oleh Allah diakhirat kelak.

6. Kejayaan kita sebagai ibu bapa mendidik anak adalah kejayaan dunia akhirat.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم . اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا
مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ،
إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف
عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lama sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment