Thursday, September 29, 2011

Khutbah Jumaat - 2 Zulkaedah 1432H/ 30 September 2011M

BERSAMA MEMERANGI JENAYAH RASUAH

  ،اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ


 وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ  - ١٨٨


أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ


اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ


أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah sekelian!

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Dalam ayat 188 Surah Al-Baqarah yang dibacakan tadi, Allah swt berfirman dengan maksudnya:

Dan janganlah kamu makan harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah swt melarang keras kita mengambil harta atau sesuatu yang bukan menjadi hak kita. Terdapat berbagai cara bagi mengambil hak orang lain samada secara kasar atau lembut merangkumi kaedah rompakan, penipuan ataupun melalui kaedah rasuah. Rasuah adalah antara kaedah yang amat berkesan tanpa menanggung sebarang risiko dari segi keselamatan kerana kebanyakkannya dilakukan secara senyap tanpa didedahkan kepada pengetahuan awam. Oleh kerana rasuah merupakan kaedah yang amat berkesan, maka usaha pencegahannya juga mestilah dilaksanakan secara lebih berkesan.

Sidang Jumaat Sekelian,

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke 44 pada 1 Oktober 2011. Ini menandakan bahawa usaha memerangi rasuah ini telah begitu lama dilaksanakan walaupun dari segi keberkesanannya tidak sepenuhnya dicapai sebagaimana yang diharapkan. Negara masih mengekalkan kedudukannya di tempat ke-56 daripada 178 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2010. Negara kita menduduki tempat ketiga di kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan Brunei, dengan memungut 4.4 mata daripada 10 mata untuk berada di depan Thailand yang mendapat 3.5 mata (tempat ke-78) manakala Indonesia dengan 2.8 mata bera di tempat ke-110. Ini amat jauh berbanding Denmark, New Zealand dan Singapura yang terikat pada kedudukan pertama dengan memungut 9.3 mata.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebahagian daripada masyarakat Islam masih lagi tidak merasakan bahawa rasuah adalah merupakan satu kesalahan besar dan menganggap ianya tidak bersangkut paut dengan dosa terhadap Allah. Hakikatnya Allah swt melaknat pihak yang terlibat dalam urusan rasuah sebagaimana sabda Rasulullah saw :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي - سنن أبو داود

Daripada Abdullah Ibnu Umar berkata ; Rasulullah saw melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Imam Az-Zahabi Rahimahullah dalam kitabnya Al-Kabair (اَلْكَباَئِرُ) menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan Ar-Rasyi (الرَّاشِي) itu adalah mereka yang memberikan rasuah dan Al-Murtasyi (الْمُرْتَشِي) adalah mereka yang mengambil rasuah tersebut. Orang yang memberi rasuah akan dilaknat jika dia berniat menyakiti saudaranya ataupun berniat mendapatkan apa yang dia tidak berhak. Adapun jika untuk mendapatkan haknya ataupun mempertahankan dirinya dari dizalimi maka tidak termasuk dalam golongan yang dilaknat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Buat masa ini terdapat 5 entiti masyarakat yang terlibat dalam tugas memantau pelaksanaan tugas SPRM. Mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai nilai integriti yang tinggi. Oleh yang demikian, penglibatan anggota masyarakat juga amat-amat diperlukan bagi mengesan mana-mana perbuatan rasuah dan melaporkan dengan kadar segera jenayah tersebut kepada pihak SPRM. Semua pemberi maklumat ini adalah dilindungi di bawah undang-undang iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Muslimin yang berbahagia,

Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, perbuatan memberi atau menawarkan rasuah kepada mana-mana penjawat awam khususnya penguatkuasa undang-undang adalah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan atau RM 10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.

Sidang Jumaat sekelian,

Di antara punca berlakunya jenayah rasuah adalah sikap tamak dan haloba manusia yang tidak mengira dosa dan pahala dalam kehidupan mereka. Mereka mencari kekayaan dunia sehingga merasakan bahawa apa yang mereka perolehi sama ada dari sumber yang halal atau haram adalah rezeki yang mereka usahakan. Mereka tidak memikirkan soal keberkatan yang amat penting dalam menyara kehidupan anak dan isteri mereka. Rasulullah saw bersabda :

كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ حَرَامٍ فَالنَّارُ أَوْلَىْ بِهِ

Setiap daging yang tumbuh dari unsur yang haram maka neraka lebih layak baginya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jenayah rasuah ini tidak hanya melibatkan pihak-pihak tertentu semata-mata, malah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ianya mungkin melibatkan rakyat jelata, para peniaga, pengusaha dan kontraktor, penjawat awam dan pemimpin negara. Rasuah mungkin juga dilakukan oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan tugas-tugas penguatkuasa, termasuk anggota dan pegawai di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tidak akan ada apa yang mampu menghalang kita daripada terjebak dengan rasuah kecuali ketaqwaan kita kepada Allah. Harta dan kekayaan tidak akan sekali memuaskan nafsu kita walau sebanyak manapun kita perolehi. Apatahlagi jika apa yang kita perolehi adalah hasil dari kaedah yang haram dan jauh dari keberkatan Allah. Firman Allah swt :


أَلْهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ ﴿١﴾ حَتَّىٰ زُرْتُمُ ٱلْمَقَابِرَ﴿٢

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehinggalah kamu masuk ke lubang kubur

Muslimin yang dirahmati Allah,

Di antara langkah yang perlu dilakukan bagi memerangi gejala rasuah ini adalah :

a) Kesedaran beragama mestilah diberikan secukupnya kepada semua pihak agar mereka menyedari betapa besarnya dosa golongan yang terlibat dengan rasuah sehingga melayakkan mereka menerima laknat daripada Allah. Kesedaran mengenai pentingnya keberkatan rezeki melalui sumber yang halal juga wajar dipastikan bagi mengelakkan kita dari dicampakkan ke dalam neraka.

b) Penguatkuasaan undang-undang rasuah mestilah dilaksanakan dengan tegas tanpa mengira siapa yang melakukan kesalahan sama ada “bilis atau jerung”, miskin atau kaya, berpengaruh atau golongan biasa, pemimpin atau rakyat biasa.

c) Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mestilah berusaha keras untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan dan kewibawaan mereka dalam menguatkuasakan undang-undang rasuah secara tegas, adil dan saksama.

d) Masyarakat awam wajib membantu pihak berkuasa dalam membenteras sebarang bentuk amalan rasuah, dengan tidak memberikan rasuah, melaporkan setiap kesalahan yang dilakukan atau cubaan untuk melakukannya walaupun terpaksa menanggung risiko kehilangan peluang mendapatkan projek dan sebagainya. Kita mesti meyakini bahawa rezeki adalah ditentukan oleh Allah, bukan pegawai atau mereka yang meminta rasuah tersebut.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ
وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ



Anda juga boleh memuat turun teks asal khutbah ini di www.4shared.com. Klik di sini,




No comments:

Post a Comment