Dewan Ulamak PAS Negeri Perak mengucapkan takziah kepada semua pihak dan waris yang terlibat dalam tragedi Program Perkhemahan Satu Malaysia anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia yang diadakan di SK Kuala Dipang. Tragedi yang amat menyayat hati ini berlaku apabila sebuah jambatan gantung yang melintasi sebuah sungai terbungkar dan roboh menyebabkan beberapa orang murid yang sedang melaluinya jatuh ke dalam sungai lalu dihanyutkan oleh air yang dalam dan deras. Lebih kurang 22 orang murid masih belum dapat dikesan. Program malang ini melibatkan 296 lebih murid-murid sekolah.
Fakta yang menyebut bahawa jambatan yang runtuh ini baru 2 minggu disiapkan itu tidak harus dipandang ringan. Kita bukan pertama kali mendengar kesilapan manusia menyebabkan mala petaka seperti ini. Lebih menyedihkan apabila membabitkan nyawa anak-anak yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Apakah nilainya keuntungan projek jambatan seperti ini jika taruhannya adalah nyawa manusia yang tidak berdosa. Semoga kesilapan seperti ini tidak sekali-kali akan berulang dan jika ada sebarang penyelewengan maka hendaklah dicari petualangnya sehingga ke lubang cacing.
No comments:
Post a Comment