Friday, March 9, 2018

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 9 MAC 2018 / 21 JAMADIL AKHIR 1439


TANDA-TANDA KEBESARAN ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّىٰ وَقَدَّرَ فَهَدَىٰ. أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَالصِّفَاتُ الْعُلَى. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ الْبَدْرُ الدُّجَى. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنِ اهْتَدَىٰ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjayalah orang-orang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami peringatan daripada Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ [سورة الحجرات : ١٣]

(Maksudnya): Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Allah s.w.t menunjukkan kekuasaan dan kebesaran-Nya menjadikan manusia dalam empat keadaan. Pertama, menjadikan Adam tanpa lelaki dan perempuan. Kedua, menjadikan Hawa daripada Adam tanpa perempuan. Ketiga, menjadikan Isa dengan ibunya Maryam tanpa lelaki. Dan keempat, menjadikan manusia yang lain dengan lelaki dan perempuan.

Itulah tanda kebesaran Allah s.w.t yang menjadikan manusia dan meletakkan manusia di atas muka bumi untuk memakmurkan bumi dengan cara hidup bermasyarakat. Walaupun mereka berbagai-bagai bangsa, keturunan, bahasa dan budaya, tetapi mereka adalah diwajibkan hidup bermasyarakat, berhubung di antara satu sama lain.

Allah s.w.t tidak membiarkan manusia bersendirian. Diutuskan rasul-rasul 'alaihumus solatu wassalam dan diturunkan bersama rasul-rasul itu kitab untuk menunjuk manusia dalam kehidupan mereka sebelum menuju ke alam akhirat. Kehidupan mereka adalah untuk memakmurkan dunia dan beribadat kepada Allah s.w.t.

Ditutup dengan nabi akhir zaman Muhammad s.a.w. Baginda diutuskan berbeza dengan rasul-rasul yang lain di zaman dahulu yang diutuskan untuk kaumnya sahaja, untuk negerinya sahaja dan untuk zamannya sahaja. Ada pun Muhammad s.a.w diutuskan kepada seluruh manusia di seluruh dunia.

Allah yang Maha Mengetahui, Dia yang memberi kemampuan kepada manusia dengan ilmu, menggunakan akal dan kajian. Manusia boleh mencipta berbagai-bagai alat untuk ke sana ke mari dan berhubung di antara satu sama lain dengan cara yang cepat. Maka cukup untuk akhir zaman ini seorang rasul sahaja iaitu Muhammad s.a.w.

Para ulamak membahagikan manusia itu semuanya adalah umat Muhammad s.a.w. Pertama, umat Ijabah (umat yang telah masuk Islam, yang menerima Islam, percaya kepada Islam dan mesti beramal dengan Islam). Kedua, umat Dakwah (manusia yang diajak kepada Islam) termasuk kalangan yang bukan Islam. Mereka mestilah beriman kepada Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ataupun mereka tunduk kepada syariat yang adil ddaripada Allah s.w.t sebagai rahmat.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾ [سورة الأنبياء : ١٠٧]

(Maksudnya): Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Allah s.w.t telah membuktikan kekuasaan, kebijaksanaan, rahmat dan adil-Nya dengan dilantik nabi akhir zaman ini di bumi Makkah yang kering kontang, bumi yang tidak ada hasil dan sumber harta benda. Dengan berpandukan Al-Quran yang diwahyukan kepadanya, telah berjaya membina masyarakat madani (masyarakat yang bertamaddun) dan menakluk semua wilayah-wilayah dunia dengan ajaran Islam.

Sekiranya mereka menerima ajaran Islam, selamatlah mereka di dunia ini sebelum selamat di hari akhirat. Tetapi malangnya ramai daripada kalangan manusia yang mengenepikan petunjuk Allah s.w.t yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Kita saksikan kemusnahan yang melanda dunia pada hari ini, hidup dalam keadaan yang kacau bilau, bukan sahaja peperangan, bahkan penyakit-penyakit yang merebak, cuaca yang mencemaskan mereka kerana kejahatan manusia sendiri meninggalkan petunjuk Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾ [سورة الروم : ٤١]

(Maksudnya): Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment