Friday, March 16, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 28 JAMADIL AKHIR 1439 / 16 MAC 2018


KOMUNITI KITA TANGGUNGJAWAB KITA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٩٥﴾ (سورة البقرة اية ١٩٥)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Komuniti Kita Tanggungjawab Kita".

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Setiap tahun negara kita dibayangi dengan isu-isu melibatkan penyalahgunaan dadah, sedarkah kita terhadap bahaya ancaman penagihan dadah yang telah banyak merosak dan memusnahkan hidup manusia, meruntuh kebahagiaan rumah tangga, mengancam keselamatan diri, agama, bangsa dan negara. Apa yang menyedihkan adalah majoritinya adalah terdiri dalam kalangan orang yang beragama Islam.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kementerian Dalam Negeri, sehingga Disember 2017 menunjukkan bahawa masyarakat melayu atau umat Islam berjumlah 19,591 orang. Jumlah ini adalah yang paling ramai berbanding kaum lain yang terlibat dengan gejala dadah daripada jumlah keseluruhannya berjumlah 24,279 orang. Justeru, kerajaan telah pun meluluskan dasar dadah negara dalam mesyuarat jamaah menteri pada 10 Mac 2017 dengan bermatlamat untuk mewujudkan negara dan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman gejala najis dadah bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat dan mengekalkan kestabilan serta ketahanan nasional.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Para ulamak bersepakat tentang pengharaman dadah ini. Pengharaman ini menurut Dr. Wahbah Az-Zuhaili dikiaskan dengan arak sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadits daripada Ummu Salamah radhiAllahu 'anha:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ وَمُفْتِرٍ

Bermaksud: "Rasulullah s.a.w telah melarang daripada setiap perkara yang memabukkan dan melesukan". (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke - 3 yang bersidang pada bulan April 1982 memutuskan bahawa:

1. Sebarang penyalahgunaan, termasuk penyalahgunaan dadah, hukumnya adalah haram.
2. Dadah hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan yang sah menurut syarak.

Justeru, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersebut jelas menunjukkan bahawa penyalahgunaan dadah adalah haram hukumnya disebabkan orang yang menyalahgunakan dadah akan menyebabkan dirinya khayal, hilang kewarasan akal pertimbangan dan yang lebih dahsyat lagi akan menyebabkan penagih menjadi agresif untuk mendapatkan bekalan termasuk sanggup melakukan jenayah lain seperti menculik, merompak, membunuh dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Dewasa ini terdapat pelbagai jenis dadah seperti pil ectasy, pil kuda, syabu, penyalahgunaan daun ketum dan sebagainya yang terdapat di pasaran gelap. Namun ini tidak sesekali terkecuali daripada perkara yang memudharatkan dan membinasakan diri. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 195:

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ﴿١٩٥﴾

Maksudnya: "Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan, dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pernahkah kita terfikir, apakah akibat yang akan menimpa seseorang penagih dadah atau peminum arak? Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a:

مُدْمِنُ الْخَمْرِ كَعَابِدِ وَثَنٍ

Maksudnya: "Penagih khamar (arak atau dadah) sama seperti penyembah berhala". (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Menurut Al-Imam As-Syaukani dalam kitabnya Nailul Autar, hadits tersebut merupakan ancaman keras kerana menyembah berhala adalah merupakan satu kekufuran yang sangat berat dosanya. Jadi menyamakan dosa penagih al-khamar (arak) atau dadah dengan dosa penyembah berhala menunjukkan betapa besarnya dosa dan betapa kerasnya larangan tersebut bagi mereka yang tahu tentang hukumnya.

Demikianlah nasib malang yang menimpa sebahagian anak muda dan remaja kita apabila mereka terjebak dengan gejala najis dadah. Apakah kita sanggup membiarkan perkara ini berterusan bermaharaja lela dalam masyarakat kita? Maka bersempena Hari Anti-Dadah Kebangsaan pada tahun ini, marilah kita sama-sama menginsafi diri sejauh mana kita telah menjaga mereka yang di bawah jagaan kita supaya mereka terselamat dari pengaruh penyalahgunaan dadah dan seterusnya menjadi pewaris yang berkualiti pada masa akan datang.

Justeru, kita sebagai komuniti yang prihatin hendaklah sedar bahawa kita bukan sekadar dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak-anak sewaktu di dunia, malah tanggungjawab ini pasti ditanya di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikan amanah yang sepatutnya atau telah mengkhianatinya. Ingatlah bahawa apabila sekali terjebak dengan dadah, sukar untuk menghentikan dengan menanganinya. Firman Allah dalam Surah At-Tahrim Ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarannya, manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Kaum muslimin yang berbahagia,

Di antara perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal anak-anak kita dari terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang lain, di antaranya:

1. Pastikan anak-anak mengamalkan suruhan Allah terutamanya solat. Apatah lagi anak lelaki, biasakan mereka solat berjamaah kerana selain mendapat fadhilat yang banyak, solat berjamaah juga dapat membiasakan anak-anak bergaul dengan masyarakat. Solat juga merupakan alat terpenting mencegah anak-anak melakukan kemungkaran. Selain solat, didiklah anak-anak dengan didikan agama seperti membaca Al-Quran, berpuasa, menutup aurat dan seumpamanya.

2. Didiklah anak-anak dengan cara hidup yang sihat dan menceburi bidang yang berfaedah. Ibu bapa dan guru juga hendaklah memantau pergaulan anak-anak, memastikan mereka ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka berkawan.

3. Masyarakat pula mesti prihatin dengan keadaan persekitaran. Sekiranya melihat sesuatu keadaan yang meragukan, atau tingkah laku yang mencurigakan, segeralah melapurkan kepada pihak berkuasa setempat atau pihak polis. Hidupkan semangat kejiranan dengan menjaga anak-anak orang lain seperti anak sendiri.

4. Komuniti masjid, surau, taman dan kampung digalakkan mengadakan kempen kesedaran bahaya dadah melalui ceramah, pameran dan sebagainya.

5. Kita juga berharap pihak berkuasa mempertingkatkan kesungguhan bertindak membasmi dadah dengan penguatkuasaan yang lebih kerap dan efisyen, jauhi rasuah kerana sebahagian punca dadah terus berleluasa berpunca dari rasuah dalam kalangan segelintir pihak berkuasa.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Marilah kita sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anak kita, pergaulan mereka mesti diambil tahu dan diawasi, terutamanya dengan siapa mereka bergaul, ke mana mereka pergi dan apa aktiviti mereka. Keadaan ini bukanlah hendak menyekat atau mengongkong kebebasan anak-anak tetapi mengambil berat dan prihatin terhadap aktiviti mereka sesuai dengan kehendak agama. Kebebasan yang kita berikan kepada anak-anak mesti ada batasannya iaitu dengan batasan agama, akhlak dan sopan santun.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment