Friday, March 2, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 14 JAMADIL AKHIR 1439 / 2 MAC 2018


KESUSAHAN DAN KESENANGAN UJIAN ALLAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَوَّرَ قُلُوبَ الْمُؤْمِنِينَ بِالْمَعْرِفَةِ فَاطْمَأَنَّتْ قُلُوْبَهُمْ بِالتَّوحِيْدِ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang tajuk; "Kesusahan Dan Kesenangan Ujian Allah".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Apabila kita menyebut nikmat, maka terbayang di fikiran kita tentang kesenangan, kemewahan, kejayaan dan sebagainya. Dan apabila kita memperkatakan tentang kesusahan, maka berlegar di fikiran kita pula tentang kesempitan, kesukaran, kesakitan, kemiskinan dan sebagainya. Apa pun gambarannya, kita yang berpegang dengan kepercayaan Islam ahli sunnah wal jamaah wajib beriman dan meyakini bahawa segala ketentuan susah atau senang adalah qadha' dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t ke atas hamba-hamba-Nya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-A'ala Ayat 1 hingga 3:

سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى ﴿١﴾ الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّىٰ ﴿٢﴾ وَالَّذِي قَدَّرَ فَهَدَىٰ ﴿٣﴾

Maksudnya: "Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan). Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Dan yang telah mengatur serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan kesempurnaannya)".

Dalam kitab tafsir Al-Jalalain, yang menyentuh khusus ayat ini, menjelaskan bahawa hanya Allah s.w.t yang menentukan apa yang dikehendaki-Nya, dan Allah jualah yang memberi petunjuk kepada apa yang ditentukan-Nya sama ada berupa amal kebaikan atau amal keburukan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam situasi hari ini, ada yang beranggapan apabila dirinya tertimpa kesusahan seperti banjir besar, rumah terbakar, kehilangan nyawa dan harta, huru hara, kesempitan wang ataupun seumpamanya, maka dia merasakan bahawa dia sedang diuji oleh Allah s.w.t sehingga membawa kepada sangkaan yang Allah tidak kasih dan belas kepada dirinya. Namun pada saat dirinya diulit kesenangan, dia terlupa bahawa sebenarnya itu juga ujian Allah s.w.t bahkan menyebabkannya hanyut, lalai dan alpa. Berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah Yunus Ayat 12:

وَإِذَا مَسَّ الْإِنسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَائِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَىٰ ضُرٍّ مَّسَّهُ ۚ كَذَ‌ٰلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ﴿١٢﴾

Maksudnya: "Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami, sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; maka setelah Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia kembali dengan cara lamanya seolah-olah ia tidak pernah merayu kepada Kami memohon untuk dihapuskan sebarang yang menimpanya. Demikianlah diperelokkan pada pandangan orang yang melampau apa yang mereka lakukan".

Ayat ini memberitahu kita bahawa dalam menghadapi apa jua bentuk kesusahan hidup yang kita lalui, kita hendaklah berfikiran positif, mengkaji dan menilai apa-apa kelemahan dan kekurangan, membuat analisa, merancang tindakan, cuba mencari formula atau jalan keluar daripada masalah atau kemelut yang melanda, bertanya kepada mereka yang pakar dalam menentukan hala tuju dan matlamat yang jelas, dan paling penting hendaklah meletakkan kebergantungan kita kepada Allah s.w.t dengan bertawakkal dan berserah diri sepenuh jiwa dan raga.

Kesusahan ini tidak mengenal sesiapa bahkan para nabi dan rasul juga mengalaminya. Contohnya, Nabi Ayub a.s diuji dengan penyakit kulit, Nabi Yunus a.s ditelan ikan Nun, Nabi Nuh a.s yang belayar dalam bahteranya mengharungi banjir besar bersama kaumnya, Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat radhiAllahu 'anhum yang dianiayai, disiksa, dipulau, dicaci, dicerca, dilempar batu dan pelbagai lagi ujian berat yang ditanggung. Namun semua kesusahan ini sedikit pun tidak melunturkan iman dan taqwa mereka, bahkan semakin kuat dan sentiasa bergantung kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Dalam menikmati kesenangan pula, kita diingatkan supaya tidak lalai dan leka kerana semuanya hanya pinjaman yang bersifat sementara. Penggunaan nikmat kesenangan ini merupakan amanah Allah s.w.t kepada kita supaya tidak kufur nikmat. Lupakah kita kisah yang menimpa Qarun yang Allah s.w.t kurniakan kesenangan berupa harta yang melimpah ruah, tetapi semuanya itu tidak menjadikan dirinya dekat kepada Allah s.w.t. Bahkan segala kekayaan dan kemewahan itu menyebabkannya sombong, takabbur, lalai dan leka tenggelam dalam kesesatan dan kekufuran.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Justeru, mimbar ingin berpesan berdasarkan tajuk khutbah pada minggu ini, iaitu:

Pertama: Sebagai orang yang beriman, saat kita ditimpa musibah ucapkanlah; Inna lillahi wainna ilaihi roji'un (maknanya: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali). Dan selayaknya kita berusaha mengembalikan hati, diri dan jiwa kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Kedua: Saat kita diberi kebahagiaan, kecukupan dan kenikmatan, sebenarnya ia adalah salah satu ujian yang besar buat kita. Adakah dengan kenikmatan itu boleh menjadikan kita dekat atau bahkan menjauhkan diri kita dari Allah s.w.t? Maka marilah kita sama-sama muhasabah kembali diri kita.

Ketiga: Saat kita diberi kesulitan, kesedihan dan cubaan ditimpa musibah, janganlah kita menganggap bahawa kitalah orang yang paling malang atau orang yang dibenci oleh Allah s.w.t. Sebaiknya kita menyingkap ujian itu dengan berusaha mencari jalan keluar, berdoa dan bertawakkal. Marilah kita mendekatkan diri kepada Allah, semakin tunduk kepada-Nya demi mendapatkan perhatian, rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.

Keempat: Hendaklah kita sentiasa bersyukur ketika senang dan bersabar dengan ketentuan-Nya ketika susah.

Kelima: Ketika berhadapan dengan kesulitan atau kesenangan, kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, moga Allah akan mempermudahkan  segala urusan kita.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment