Friday, February 16, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 30 JAMADIL AWWAL 1439 / 16 FEBRUARI 2018


KEWAJIPAN MEMELIHARA AQIDAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Kewajipan Memelihara Aqidah".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ajaran Islam membawa sinar yang melenyapkan segala penyelewengan fahaman yang salah semasa di zaman jahiliyyah. Namun jika diperhatikan pada masa ini sinar Islam seakan tenggelam apabila aqidah umat Islam semakin lemah. Ramai dalam kalangan umat Islam yang mengaku sebagai orang Islam, namun realitinya kehidupan mereka langsung tidak mencerminkan keperibadian seorang Islam. Persoalan besar timbul mengapa perkara ini berlaku? Berdasarkan kepada pemahaman, antara perkara yang menyebabkan berlakunya ialah sifat umat Islam sendiri yang terlalu cintakan dunia dan takutkan kematian serta kelemahan iman mereka dan kemiskinan kehidupan. Kesan daripada kemiskinan ini boleh membawa kualiti kehidupan yang lemah, mudah terjebak dalam kegiatan sosial dan boleh membawa kepada kekufuran.

Asas segala aqidah ialah beriman kepada Allah iaitu kepercayaan kepada keesaan dan kepercayaan di atas kebenaran risalah Nabi s.a.w. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah s.w.t secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syarak sama ada secara iktiqad atau tingkah laku. Islam adalah agama yang diiktiraf di sisi Allah s.w.t, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-'Imran Ayat 19:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ ﴿١٩﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam dan orang (yahudi dan nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera menghitung hisab-Nya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kemajuan dan globalisasi masa kini telah mendedahkan umat Islam kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan aqidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi juga digambarkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kewujudan berbagai kumpulan ajaran sesat dengan tujuan untuk menjauhkan umat Islam dari mengamalkan ajaran Al-Quran dan Sunnah. Tidak lupa juga dengan pemikiran yang cuba diterapkan di dalam minda umat Islam dengan fahaman yang salah antaranya ialah sambutan Hari Kekasih ataupun disebut sebagai Valentine Day. Walaupun sambutan ini telah diputuskan sebagai haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, akan tetapi masih ramai lagi umat Islam yang menyambutnya sama ada di dalam keadaan sedar atau tidak.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Dalam pada itu, terdapat juga golongan yang mendakwa kononnya sambutan Hari Kekasih ini hanyalah sekadar budaya dan suka-suka sahaja dan bukannya melibatkan soal aqidah. Pendapat sebegini adalah berdasarkan nafsu semata-mata. Namun apa yang amat menyedihkan ialah pada masa yang sama kedapatan juga pihak-pihak yang mempromosikan sambutan hari ini yang mana kumpulan sasarannya adalah golongan belia Islam. Ibarat satu pihak berusaha membina sebuah kota tetapi satu pihak yang lain pula berusaha untuk merobohkan kota yang dibina.

Dalam situasi yang membimbangkan ini, jalan yang terbaik buat masyarakat Islam hari ini adalah dengan membina kekuatan dalaman yang berlandaskan faktor keilmuan dan keimanan dan bukannya berlandaskan budaya tiru-meniru yang membabi buta. Namun ada juga yang tetap meraikan Hari Kekasih walaupun setelah mereka mengetahui penjelasan berkenaan isu tersebut. Sudah menjadi kelaziman, mereka yang sedang bercinta atau dilamun penyakit 'angau' akan mengenepikan soal hukum agama asalkan hawa nafsu mereka dapat dipuaskan.

Muslimin yang dihormati,

Jika ada sedikit niat untuk sama-sama meraikan ataupun ada dalam kalangan kita yang pernah meraikannya, maka bertaubatlah dan pohonlah keampunan dari Allah s.w.t. Jangan biarkan diri kita terus diperdaya oleh musuh-musuh Islam dan juga syaitan yang telah bersumpah di hadapan Allah s.w.t untuk memenuhi dan menghiasi maksiat kepada anak-anak Adam dalam usahanya untuk menyesatkan seluruh keturunan Adam a.s ini yang ditegaskan oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya di dalam Surah Al-Hijr Ayat 39:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٣٩﴾

Maksudnya: "Iblis berkata, wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriat keturunannya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya".

Ijmak ulamak telah memutuskan bahawa keterlibatan seseorang dalam amalan agama lain adalah salah satu unsur fasik dan boleh merosakkan aqidah seorang Islam.

Saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Realitinya, Islam adalah agama yang adil dan tidak mengongkong, bahkan Islam tidak pernah menghalang hubungan kasih sayang di antara umatnya, tetapi apa yang dituntut oleh Islam ialah kasih sayang itu mestilah melalui saluran dan cara yang dibenarkan oleh syarak serta tidak melampaui garis sempadan yang telah ditetapkan. Kewujudan sambutan Hari Kekasih ini hanyalah propaganda orang bukan Islam yang semata-mata untuk menyesatkan aqidah orang Islam. Sesungguhnya golongan ini tidak akan senang duduk selagi mana orang Islam berpegang teguh dengan ajarannya. Seperti mana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 120:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾

Maksudnya: "Orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka); Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah ) petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu".

Seharusnya umat Islam wajib mempertahankan aqidah Islam yang ada pada hari ini agar kita tidak terpedaya dengan hasutan orang kafir. Kita harus sedar bahawa golongan ini sentiasa berusaha untuk menjadikan kita sebagai teman mereka di dalam neraka nanti. Oleh itu, berwaspadalah dan sentiasalah kita untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t dengan melakukan ibadah sebanyak mungkin agar iman kita bertambah kukuh dan boleh menghadapi pelbagai ujian kehidupan yang semakin mencabar pada hari ini.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment