Friday, February 3, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 6 JAMADIL AWAL 1438 / 3 FEBRUARI 2017


BERSEDIA UNTUK HARI AKHIRAT

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّى وَالَّذِي قَدَّرَ فَهَدَى. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَالصِّفَاتُ الْعُلَى. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالْبَدْرُ الدُّجَىٰ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنِ اهْتَدَىٰ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatana daripada Allah s.w.t yang diwahyukan kepada Rasul kesayangan kita Muhammad s.a.w.

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۖ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ ﴿٢٣﴾ قُلْ هُوَ الَّذِي ذَرَأَكُمْ فِي الْأَرْضِ وَإِلَيْهِ تُحْشَرُونَ ﴿٢٤﴾ وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا الْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٢٥﴾ قُلْ إِنَّمَا الْعِلْمُ عِندَ اللَّهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ ﴿٢٦﴾ (Surah Al-Mulk: 23 - 26)

(Maksudnya): Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur". Katakanlah lagi: "Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan". Dan mereka (yang ingkar) berkata: "Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata".

Ayat-ayat ini menegaskan dua rukun iman yang penting, iaitu beriman kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat yang merupakan asas rukun iman yang dibawa oleh semua rasul-rasul 'alaihimus sholatu wassalam sejak Nabi Adam sehingga nabi akhir zaman Muhammad s.a.w. Ia memberitahu perkara yang asas iaitu percaya kepada Tuhan dan percaya kepada adanya hari akhirat. Walaupun mengikut fitrah (sifat semula jadinya) manusia percaya kepada adanya Tuhan, sama ada orang-orang Islam atau orang-orang yang bukan Islam, termasuk kalangan Atheis yang menolak adanya Tuhan, apabila keadaan terdesak atau cemas atau merasakan dirinya sudah tidak selamat akhirnya mengaku adanya Tuhan yang diminta pertolongan.

Mereka percayakan Tuhan yang menjadikan seluruh alam, seluruh langit dan bumi sebagaimana dijelaskan oleh Allah Ta'ala di dalam firman-Nya:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۚ... ﴿٣٨﴾ (Surah Az-Zumar: 38)

(Maksudnya): Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". 

Tetapi malangnya mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah s.w.t. Mereka mengadakan hukum-hukum dan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah s.w.t. Mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, membolehkan yang tidak boleh dan yang tidak boleh dibolehkan kerana mengikut hawa nafsu mereka serta mengikut iblis dan syaitan yang menggoda mereka.

Walaupun mereka melakukan kerosakan kepada diri sendiri dengan meruntuhkan kehidupan sendiri, tetapi degil terus melawan Allah s.w.t. Sedikit sahaja kalangan manusia yang bersyukur dan berterima kasih kepada Allah s.w.t.

Mereka diberi peringatan adanya hari kiamat atau hari akhirat, di mana dunia ini akan berakhir, bukan sahaja manusia mati, tetapi binatang, pokok dan segala makhluk yang hidup akan mati, termasuk langit dan bumi dihancur leburkan.

Mereka mempermain-mainkan Rasulullah s.a.w dengan bertanya, bilakah berlakunya hari kiamat itu? Itu adalah urusan Allah s.w.t, bukan urusan Nabi Muhammad s.a.w. Bukan sahaja di zaman dahulu adanya manusia-manusia yang tidak percaya adanya hari akhirat, termasuk dalam kalangan ahli-ahli sains di zaman moden menafikan hari akhirat.

Hari ini melalui ciptaan alat-alat yang moden, mereka meneropong ke angkasa lepas dan menyaksikan detik-detik dan masa, bintang yang banyak di langit ada yang meletup hancur lebur, ada yang berlaga di antara satu sama lain bila tergelincir daripada perjalanan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Hari ini keseluruhan ahli sains mengaku bumi dalam keadaan bahaya, bukan sahaja bahaya alam sekitar, tetapi bahaya dilanda oleh serpihan-serpihan bintang. Rasul-rasul sudah memberi amaran sejak ribuan tahun yang lalu, mereka tidak boleh menahan berlakunya hari kiamat. Walaupun ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin dunia yang mengajak ahli-ahli sains mencipta roket atau alat-alat yang boleh menahan serpihan bintang itu. Bagaimana mereka boleh menahan serpihan bintang yang besar, sedangkan gempa bumi, banjir dan ribut taufan yang berlaku di sekeliling mereka, tidak mampu mereka menahannya. Mereka mesti menyerah kalah.

Bagi orang-orang yang beriman, kewajipan mereka bersedia untuk hari akhirat, bukan sahaja dunia ini berakhir, akan berlakunya kiamat, dibangunkan semula manusia yang mati, dihidupkan semula untuk dibicarakan di hadapan Allah s.w.t yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar lagi Maha Melihat lagi Maha Bijaksana yang tidak menghukum dengan ilmu-Nya sahaja, tidak menghukum dengan melihat-Nya sahaja, tidak menghukum dengan mendengar-Nya sahaja, tetapi menghukum dengan keterangan-keterangan daripada saksi kepada mereka pada hari kiamat untuk dihisab dan ditimbangkan amalan mereka segala-galanya.

Seluruh kehidupan mereka selagi mereka menggunakan akal dan mampu menggunakan akal akan dihisab di hadapan Allah s.w.t. Bukan sahaja ibadat kepada Allah s.w.t, tetapi termasuk makan minum mereka, pakaian mereka, percakapan mereka, pendengaran mereka, hubungan mereka di antara satu sama lain dikira dan dihisab di hadapan Allah s.w.t. Yang selamat hanyalah mereka yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh.

Allah s.w.t membuka ruang kehidupan mereka yang beriman untuk mengerjakan amal yang soleh, membuka pintu taubat kepada yang berdosa. Selagi seseorang itu beriman kepada Allah s.w.t diberi peluang untuk bertaubat kepada Allah s.w.t selagi nyawa dikandung badan.

Marilah kita jadikan kehidupan ini bukan sekadar di alam dunia ini sahaja, tetapi mestilah dengan persediaan untuk janji yang benar daripada Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ﴿١١٥﴾ (Surah Al-Mukminun: 115)

(Maksudnya): "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMRkctREJuR0lnZ3c

No comments:

Post a Comment