bersama kepimpinan ulamak




Kempen Tambah Keahlian Baharu





Thursday, March 24, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 25 MAC 2016 / 16 JAMADIL AKHIR 1437


“PERLAKSANAAN SYARIAT ISLAM SECARA MENYELURUH”

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
لَوْ أَنزَلْنَا هَـٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۚ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾

Jika kami turunkan Quran ini kepada sebuah bukit, nescaya kamu melihat bukit tersebut tunduk dan berkecai akibat takutkan Allah. Dan demikianlah perumpamaan yang kami jadikan bagi manusia mudah-mudahan kamu berfikir. (Surah Al-Hashr: Ayat 21)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ. عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Sekalian,

Hari ini perlaksanaan syariat Islam secara menyeluruh begitu hebat diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat. Di mana sahaja dan sesiapa sahaja umat Islam malah orang bukan Islam begitu ghairah membicarakannya walaupun sebahagiannya amat tandus pengetahuan mengenainya malah cara sebutan merekapun mengambarkan kecetekan ilmu mereka mengenainya. Mimbar pada hari ini ingin membicarakan khutbah yang bertajuk, "Perlaksanaan Syariat Islam Secara Menyeluruh".

Sidang Jumaat Sekalian,

Islam sahaja agama yang paling lengkap merangkumi segala sistem hidup manusia samada ibadatnya, ekonomi dan muamalatnya, munakahatnya dan sistem kehakimannya . Oleh kerana Allah سبحانه وتعالى yang telah mencipta dan menjadikan manusia, maka Allahlah yang Maha Mengetahui mengenai sikap dan perangai manusia. Maka tidak ada sistem yang lebih baik melainkan sistem ciptaan Allah termasuk sistem perundanganNya. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 208, Allah سبحانه وتعالى mengarahkan :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨﴾

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan adalan musuh kamu yang nyata.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Undang-undang ciptaan Allah adalah hak Allah yang diciptakan untuk makhluknya bertindak demi mewujudkan kemakmuran di muka bumi ini sesuai dengan tujuan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Namun sama ada disedari atau pun tidak apabila isu ini ditimbulkan sama ada ianya berbentuk idea pelaksanaanya atau sekadar perbincangan, terdapat suara-suara terutamanya di kalangan umat Islam yang seolah-olah terlupa mereka sedang mengkritik kebijaksanaan Allah سبحانه وتعالى yang mengatur kehidupan hambanya. Jika sekadar menyebut belum sedia, kurang prasarana, bukan keutamaan (aulawiyat) mungkin boleh dimaafkan namun kalau enggan melaksanakan dengan mengaitkan dengan kepentingan tertentu sehingga menafikan hak Allah dan kuasa Allah سبحانه وتعالى, ianya amat merbahaya khususnya dari sudut akidah. Keadaan ini lah amat dibimbangi kerana rosak dan gugur akidah boleh berlaku akibat daripada perkataan. Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم mengambil masa 23 tahun bagi melaksanakan keseluruhan syariat Allah سبحانه وتعالى yang selengkapnya. Kesempurnaan syariat Allah hanya dapat dirasai dan dihayati di penghujung kehidupan baginda dan berkembang di zaman Khalifah Ar-Rashidin. Kesannya masih menjadi igauan dan impian terindah seluruh umat Islam sehingga kini walaupun berbagai tohmahan dilemparkan terhadapnya.

Sidang Jumaat Sekelian,

Segala penentangan terhadap Hukum Allah bukanlah kerana kelemahan hukum itu sendiri. Segalanya berlaku akibat kejahilan manusia terhadap ketetapan Allah, pencipta mereka sendiri. Hanya mereka yang jahil dan prejudis terhadap Islam sahaja yang tidak menyokong perlaksanaannya.

Barat menganggap ianya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana melibatkan hukuman mati umpamanya, sedangkan mereka sendiri menggunakan hukuman mati terhadap berbagai kesalahan di merata dunia. Malah hukuman mati dilaksanakan sewenang-wenangnya terhadap para pejuang Islam sehingga mereka syahid kerananya.

Jika dikatakan bahawa hukuman Allah tidak mampu menghapuskan jenayah, tidak ada sebarang kejayaan dalam menurunkan kadar jenayah dengan menggunapakai undang-undang ciptaan manusia.

Antara hujjah yang sering ditimbulkan oleh para penentang adalah kurangnya kefahaman rakyat mengenai undang-undang Islam sehingga suasana menjadi tidak kondusif (sesuai) untuk dilaksanakan. Sedangkan pada hakikatnya undang-undang baratpun tidak difahamai oleh sesiapa ketika mula dilaksanakan dahulu.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Undang-Undang Allah adalah undang-undang terbaik yang dicipta oleh Allah bagi manfaaat manusia. Wajarkah kita menyebut zalim, penginayaan, ketinggalan zaman dan sebagainya. Antara bukti keistimewaannya adalah keupayaannya menggerunkan hati manusia, bukan sahaja para penjenayah, malah bagi yang tidak pernah terniat untuk melakukannya. Berbeza dengan undang-undang manusia yang bukan sahaja tidak memberi kesan apa-apa, malah membuka ruang bagi berbagai penyalahgunaan dan penyelewengan sehingga hukuman yang ada bukan lagi menjadi ancaman kepada pesalah, malah menjadi mainan dan bahan sendaan semata-mata. Mimbar ingin mengigatkan umat Islam agar berhati-hati dalam memperkatakan sesuatu yang merupakan hak Allah yang bijak mengatur kehidupan hambanya.

‏بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ. 


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا ﴿٣٦﴾

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ. عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Sekalian,

Walaupun terlalu sukar melembutkan hati bangsa Arab namun Rasulullah صلى الله عليه وسلم berjaya mengubah mereka sepenuhnya dalam masa 23 tahun. Namun Negara-negara Islam hari ini masih gagal menguatkuasakan hukum Allah walaupun telah mencapai kemerdekaan berpuluh-puluh tahun. Jika ada umat Islam memberikan idea berusaha melaksanakan maka wujud pula di kalangan umat Islam yang mencari kelemahan dan cuba menghalangnya. Inilah ruang dan peluang yang dicari oleh musuh Islam. Kita tidak punya masa lagi untuk berbahas mengenai keindahan syariat Islam kerana orang bukan Islam pun ramai yang telah mengakuinya. Apa yang tinggal adalah untuk kita berusaha untuk melaksakannya. Sesiapa sahaja yang mahu mengusahakannya wajib kita bantu dan segala kekurangannya harus sama-sama ditampung. Media massa dan media cetak boleh berperanan menjalankan tugasnya bagi menjelaskannya kepada masyarakat bukannya menambahkan kekeliruan dalam masyarakat.

Maka marilah kita semua bersatu tenaga, fikiran dan idea bagi memulakan usaha-usaha ini tanpa menimbulkan sebarang konflik. Jika semua pihak memang berniat untuk melaksanakannya walaupun pendekatannya berbeza, maka tiada alasan bagi kita berbalah kerananya kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama. Letakkan kepentingan Allah mengatasi segala galanya namun dalam setiap perencanaan, pelaksanaan sesuatu urusan Allah سبحانه وتعالى ini hendaklah dilakukan secara penuh hikmah dan bijaksana agar tidak membangkitkan fitnah terhadap agama yang kita anuti ini. Semoga Allah سبحانه وتعالى memberkati dan membantu hambanya yang ikhlas berusaha untuk memertabatkan Islam di muka bumi ini.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman 4shared.com

Tuesday, March 22, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 16 JAMADIL AKHIR 1437 / 25 MAC 2016


KEBERSIHAN: SATU TUNTUTAN AGAMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
.... إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢٢٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَأَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkah ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah, "Kebersihan: Satu Tuntutan Agama".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam Islam menjaga kebersihan dan mewujudkan suasana yang bersih serta selesa menjadi satu tuntutan kerana ia berkait rapat dengan menjaga kesihatan. Kebersihan asas kepada kesihatan. Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan serta sentiasa menjaga kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat Allah سبحانه وتعالى yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan dipelihara. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Baqarah Ayat 222:

.... إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢٢٢﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri".

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ

Bermaksud: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman". (Hadith riwayat Muslim)

Oleh yang demikian untukmenjaga kebersihan diri dan membina persekitaran serta suasana yang bersih, maka menjadi keutamaan kepada kita sebagaimana yang dititikberatkan dalam sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

حَقٌّ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلَ فِي كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَغْسِلُ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ

Bermaksud: "Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya". (Hadith riwayat Muslim)

Dan sabdanya lagi:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَقَصُّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ وَنَتْفُ الْآبَاطِ

Bermaksud: "Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhitan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak". (Hadith riwayat At-Tabrani)

Para ulamak juga telah memberikan perhatian yang penting tentang kebersihan apabila memulakan perbincangan dalam kitab fiqh dengan bab toharoh iaitu kebersihan. Ini membuktikan bahawa Islam, para Nabi dan para alim ulamak telah mengambil berbagai insentif untuk memberikan kefahaman bahawa menjaga dan mengamalkan kebersihan adalah penting dan sangat dituntut oleh agama kita yang mana suci.

Muslimin yang dirahmati Allah, 

Islam sangat menggalakkan umatnya menbersihkan diri sebelum melakukan apa-apa ibadat. Apabila seseorang yang hendak mendirikan solat perlulah terlebih terlebih dahulu memastikan diri, pakaian dan tempat solatnya bersih dan terhindar dari segala najis. Sekiranya soal tersebut diabaikan sudah tentulah solatnya tidak sempurna ataupun tidak sah. Umat Islam juga hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadat seperti masjid dan surau agar sentiasa dalam keadaan bersih, begitu juga dengan segala kemudahan yang disediakan seperti tandas perlulah dijaga supaya sentiasa dalam keadaan baik, kelihatan bersih atau tidak pula dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.Oleh kerana masjid atau surau merupakan tempat untuk mendirikan solat, maka ia perlu dijaga dan tidak dicemari dengan kekotoran atau bau busuk sebagaimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ

Bermaksud: "Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran kerana kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى dan membaca Al-Quran". (Hadith riwayat Muslim)

Berdasarkan pemerhatian mimbar didapati masih ramai dari kalangan umat Islam tidak menghayati tuntutan menjaga kebersihan, sama ada kebersihan diri sendiri atau kebersihan persekitaran. Tanggungjawab tersebut selalunya diserahkan kepada pihak lain, sedangkan Islam telah menetapkan menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab bersama yang patut diamalkan oleh setiap orang Islam yang beriman. Al-Imam Ibnu Taimiyah رحمه الله menyatakan bahawa: "Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Lambang kebersihan seseorang selain daripada diri dan pakaiannya juga dapat dilihat dari keadaan persekitaran kediaman. Sebuah kediaman yang bahagia ialah yang sentiada menjaga keindahan dan kebersihan di dalam dan diluar rumah agar ia kelihatan cantik dan menarik serta dapat memberi ketenteraman dan kenikmatan kepada penghuni rumah. Amalan menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran rumah adalah satu amalan yang baik dan mulia. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

طَهَّرُوْا أَفْنِيَتَكُمْ ، فَإِنَّ الْيَهُودَ لَا تُطَهِّرُ أَفْنِيَتَهَا

Bermaksud: "Bersihkan halaman-halaman rumah kamu kerana sesungguhnya orang yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya". (Hadith riwayat At-Tabrani)

Mengabaikan amalan kebersihan akan menyebabkan mudahnya tersebar pelbagai penyakit seperti kolera, cirit birit, denggi, keracunan makanan, penyakit kulit dan sebagainya. Ia juga akan menyumbang kepada suasana alam sekitar yang tidak sihat. Kita digalakkan untuk menjaga kebersihan alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan, berusaha untuk menjadikan alam sekitar berada dalam keadaan bersih sepanjang masa disamping mengekalkan keindahan alam semula jadi negara kita untuk menarik minat orang ramai dan pelancong.

Muslimin sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin memperingatkan sidang jamaah berhubung dengan menjaga kebersihan tandas-tandas masjid. Seringkali disebut tandas masjid kotor. Adalah amat mendukacitakan kerana dikaitkan kotor itu dengan sebuah institusi ibadat. Tandas adalah lambang ketamadunan dan pemikiran manusia. Di negara-negara maju bukan Islam malah di rumah-rumah ibadat bukan Islam, kebersihan tandas menjadi keutamaan, dijaga dengan bersih, cantik, kemas sedangkan keadaab itu tidak berlaku di masjid atau tempat-tempat ibadat Islam dan mendukacitakan, ianya sudah lari dari kehendak agama yangmeletakkan kebersihan itu separuh daripada iman dan yang lebih malang, kekotoran itu datangnya daripada masjid yang merupakan tempat penyebaran ilmu-ilmu agama termasuklah perkara-perkara berhubung dengan kebersihan atau toharoh. Isu ini tidak harus dipertanggungjawabkan semata-mata kepada pihak pengurusan masjid, namun ianya menuntut perubahan sikap, mentaliti pengguna tandas, khususnya umat Islam. Mimbar mengharapkan agar setiap umat Islam menyedari tanggungjawab ini demi kepentingan Islam agama kita anuti. Sikap tidak suka kebersihan ini bukanlah ajaran agama namun sekiranya kekotoran itu sering dilihat, seolah-olah ajaran Islam membiarkan dan tidak menitikberatkan kebersihan. Islam, agama yang murni dan maha tinggi tetapi dilindungi oleh sikap negatif umatnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.


Friday, March 18, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 9 JAMADIL AKHIR 1437 / 18 MAC 2016



SUMBER AIR KHAZANAH ALLAH YANG TIDAK TERNILAI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا فَأَنْبَتْنَا بِهِ جَنَّاتٍ وَحَبَّ الْحَصِيدِ ﴿٩﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Qaf Ayat 9 yang bermaksud: "Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Sumber Air Khazanah Allah Yang Tidak Ternilai".

Muslimin yang dirahmati Allah, 

Manusia diciptakan Allah untuk menghuni alam semesta yang sekaligus bertindak sebagai khalifah bagi mentadbir dan memelihara kelangsungan alam yang terbentang luas ini. Kerana itulah, manusia dibekalkan oleh Allah سبحانه وتعالى dengan kelebihan akal fikiran agar manusia dapat mengurus dan mentadbir alam ini serta mengambil manfaat sebanyak mungkin. Sebagai renungan kita semua, penciptaan alam semesta yang terbentang luas ini juga adalah sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah سبحانه وتعالى dan untuk mendekatkan diri seseorang hamba kepada Penciptanya. Firman Allah dalam Surah Yunus Ayat 101:

قُلِ انْظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا تُغْنِي الْآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَنْ قَوْمٍ لَا يُؤْمِنُونَ ﴿١٠١﴾

Bermaksud: "Katakankanlah (wahai Muhammad); Perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepada-Nya".

Agama Islam juga melarang umatnya daripada melakukan sebarang bentuk kerosakan di atas muka bumi. Ini termasuk kerosakan jiwa, harta benda dan alam sekitar. Bahkan umat Islam wajib mencontohi akhlak junjungan besar Nabi صلى الله عليه وسلم dalam memastikan hubungan dengan alam terus terpelihara. Berdasarkan sifat rahmah yang dibawa oleh baginda adalah untuk sekalian alam, maka apa sahaja kehidupan di atas alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut Sunnatullah. Manusia yang bijak mengguna akal fikiran akan bertambah mulia martabat mereka sekiranya dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Antara khazanah alam yang tidak ternilai harganya ialah air. Air menjadi unsur penting yang diperlukan oleh manusia dan seluruh kehidupan ciptaan Allah سبحانه وتعالى. Tanpa air, bumi akan tandus dan gersang serta tidak ada sesuatupun yang boleh hidup. Kepentingan air ini menjadi lebih nyata di mana dalam Al-Quran telah termaktub bahawa tiap-tiap makhluk yang hidup bergantung kepada air. Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya' Ayat 30:

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ ﴿٣٠﴾

Bermaksud: "Dan tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?".

Pada zaman pra-Islam, telaga zam-zam merupakan satu-satunya sumber air bersih dari bawah tanah di kota Makkah. Umat Islam sangat mengambil berat tentang air zam-zam ini untuk kehidupan sebagai minuman, berwudhuk dan perubatan. Kerana itulah dikatakan datuk kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم iaitu Abdul Muttalib telah menjaga, mengurus serta mengawal keselamatan sumber air di kota Makkah pada zaman itu. Menurut Abu Zar Al-Ghifari semasa beliau mula-mula sampai ke Makkah, beliau hidup dengan meminum air zam-zam selama sebulan.

Sejarah Islam sewaktu hijrah menyatakan bahawa hanya terdapat dua telaga air di Madinah. Telaga tersebut dikuasai oleh orang yahudi yang mengenakan syarat tertentu kepada sesiapa yang ingin menggunakannya. Dengan itu Nabi صلى الله عليه وسلم telah menawarkan kepada sesiapa di kalangan kaum muslimin yang ingin membeli salah satu telaga tersebut untuk diwakafkan kepada umat Islam. Saiyidina Uthman bin 'Affan menyahut seruan tersebut dengan membeli telaga yang kemudiannya diwakafkan kepada umat Islam dan penduduk seluruhnya. Terbukti peristiwa tersebut adalah antara peristiwa yang telah meningkatkan persaudaraan sesama umat Islam dan menguatkan dakwah syi'ar Islam kerana melihatkan pengorbanan umat Islam dalam meluaskan syi'ar Islam.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Dengan air kita dapat melakukan ibadah kepada Allah. Kita dapat membersihkan anggota-anggota badan yang sentiasa terdedah kepada pencemaran kerana tidak ditutupi pakaian dan juga boleh menghilangkan jangkitan kuman. Adalah lebih wajar bagi kita untuk membersihkan anggota badan sebelum bertemu dengan Allah ketika bersolat. Air mempunyai peranan yang sangat berkesan bukan sahaja bagi menghindari kekotoran fizikal malah juga kekotoran rohani. Al-Imam Ibnu Taimiyah menyatakan bahawa: "Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh manusia, sebagaimana dia juga datang membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani". Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

إِذَا اسْتَيْقَظَ أُرَاهُ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ فَتَوَضَّأَ فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلَاثًا فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيْشُومِهِ

Bermaksud:"Ketika salah seorang daripada kamu bangun dari tidur berwudhuklah dan hiruplah air ke hidung dan mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Sebagai umat Islam umat Islam di negara ini seharusnya kita bersyukur dengan sumber air melalui rahmat curahan hujan yang tinggi yang telah dikurniakan oleh Allah سبحانه وتعالى , pemilik dan pentadbir sekalian alam. Mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, negara kita dianggarkan menerima purata hujan tahunan sekitar 3000mm dengan jumlah kuantiti yang lebih tiga kali ganda purata global. Dengan ini negara kita dikategorikan sebagai negara yang kaya dengan sumber air bagi memenuhi semua keperluan domestik, pertanian, industri dan alam sekitar.

Namun pada ketika kita berada di dalam keadaan nikmat ini, kita tidak harus lupa bahawa semua yang berlaku adalah dengan kehendak Allah سبحانه وتعالى dan mempunyai kaitan terus dengan amalan umat Islam. Sekiranya amalan umat Islam itu secara umum mengikut kehendak Allah dan menepati sunnah baginda Rasulullah, maka natijahnya daripada amalan manusia itu diterjemahkan oleh Allah kepada keadaan dan persekitaran yang baik. Intensiti dan lebat hujan yang tidak menyebabkan banjir dan keadaan kering dan panas yang tidak melampau.

Berdasarkan perhatian mimbar, kesan daripada tabiat buruk masyarakat serta sikap tamak haloba telah banyak menjejaskan alam sekitar dan ekosistem dan secara langsung telah memberi kesan buruk kepada masyarakat. Kesan ini kita dapat lihat bukan sahaja di peringkat negara malah di peringkat serantau atau global. Lihat sahaja apa yang berlaku beberapa bulan yang lalu di mana keadaan jerebu yang menyelubungi negara adalah dari negara jiran. Begitu juga dengan keadaan peningkatan suhu global dan paras air laut yang disebabkan oleh pelepasan berlebihan asap oleh negara-negara maju. Bahkan kita juga sedang menghadapi cuaca panas luar biasa yang melanda seluruh negara. Kepada Allah سبحانه وتعالى kita mengadu.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Di dalam negara kita juga kini terdapat kawasan tadahan sumber air di kawasan gunung-ganang, hutan rimba, sungai-sungai dan telaga air bumi yang telah dicemari. Meskipun sumber jumlah air masih tidak begitu terjejas, tetapi kesan pencemaran air daripada amalan buruk tabiat manusia telah menimbulkan isu kesihatan di mana saluran bekalan air kepada masyarakat terpaksa dihentikan. Justeru itu mimbar ingin berpesan bahawa segala nikmat itu tidak mustahil untuk ditarik balik oleh Allah dengan pelbagai cara sekiranya manusia terutama umat Islam tidak menghargainya kerana sumber air hujan yang banyak tidak menjamin sumber air mencukupi sepanjang masa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ فَأَسْكَنَّاهُ فِي الْأَرْضِ وَإِنَّا عَلَى ذَهَابٍ بِهِ لَقَادِرُونَ ﴿١٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Al-Mukminun Ayat 18 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan tertentu, serta Kami tempatkan akannya di bumi dan sesungguhnya Kami berkuasa melenyapkannya".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengambil kesempatan bersempena dengan sambutan Hari Air Sedunia yang diadakan pada 22 Mac setiap tahun, mimbar ingin berpesan marilah sama-sama kita mengambil tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi yang mana Allah سبحانه وتعالى telah mengamanahkan kepada kita semua dengan berusaha untuk menjaga khazanah alam ini dengan sebaik mungkin. Sedarlah bahawa Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Mentadbir seluruh alam ini tahu setiap amalan dan niat manusia.

Mimbar yakin sekiranya semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar muka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan. Marilah sama-sama kita mengurus sumber air dengan rasa tanggungjawab, beramanah dan jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara. Ingatlah, anugerah Allah ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama boleh menjadi asbab bala bencana serta azab yang menyiksa. Dengan itu, seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketaqwaan atas kebesaran kejadian Allah سبحانه وتعالى ini serta bertaubat dari segala dosa agar rahmat Allah berterusan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam Surah Ar-Rum Ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

Thursday, March 10, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 2 JAMADIL AKHIR 1437 / 11 MAC 2016


AL-QURAN SEBAGAI PENAWAR PENYAKIT UMAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
الم ﴿١﴾ ذَ‌ٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ، وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ حَبِيْبِنَا وَشَفِيعِنَا وَقُدْوَتِنَا نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه  وتعالى dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan apa yang menjadi kesamaran dan kekeliruan kepada kita, akan dapat diterangkan dengan ilmu pengetahuan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ayat yang dibacakan di awal khutbah tadi menyentuh tentang kelebihan Al-Quran yang tidak patut bagi kita meraguinya. Firman Allah سبحانه  وتعالى yang bermaksud: "Alif Lam Mim, kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak wasangka (tentang datang-Nya dari Allah dan tentang kesempurnaan-Nya), Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa". (Surah Al-Baqarah Ayat 1 dan 2)

Inilah dalil bagi jaminan Allah bahawa Al-Quran adalah panduan kehidupan kehidupan yang sebenar. Di waktu manusia tercari-cari penyelesaian kemelut dalaman dan luaran dirinya, maka kasih sayang Allah menurunkan Al-Quran sebagai jalan keluar dari setiap masalah yang mengandung kegelisahan jiwa manusia. Namun begitu, penerimaan manusia terhadap petunjuk Al-Quran mengikut tahap ketaqwaan masing-masing. Yang sempurna iman dan taqwanya, mengambil Al-Quran secara keseluruhan dan mengamalkan isi Al-Quran dalam seluruh kehidupan hariannya. Halal haram, dosa pahala cukup diawasi agar selari dengan redha Allah. Inilah jiwa seorang hamba yang taat. Manusia yang jauh dari panduan Al-Quran, hidupnya dalam keraguan. Mungkin hidupnya kaya raya tetapi tidak berkat. Mungkin pangkatnya besar tetapi dalam kegelisahan. Alangkah malangnya manusia ini, di dunia dia disanjung tetapi di akhirat dia meraung-raung dalam penyesalan. Semua bermula dengan pembacaan Al-Quran. Barangkali inilah hikmah kenapa Al-Quran mula-mula diturunkan dengan perintah Iqra' (إقراء) iaitu Bacalah seperti firman Allah سبحانه  وتعالى dalam Surah Al-'Alaq Ayat 1 hingga 5:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥﴾ 

Bermaksud: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhan-mulah yang Maha Pemurah yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya".

Allah تعالى memulakan wahyu-Nya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dengan kalimah إقراء (bacalah) menyuruh manusia membaca Al-Quran. Kalimah إقراء diulang dua kali menyuruh manusia melazimi membaca Al-Quran dan jangan ditinggal. Bermula dengan pembacaan Al-Quran manusia tahu apa kehendak Allah pada dirinya yang mesti dia buat dan mesti dia tinggalkan. Bermula dengan membaca Al-Quran barulah dia memahami-Nya siapa Penciptanya dan asal-usul dirinya yang dicipta dari segumpal darah akhirnya menjadi manusia. Bermula dari membaca Al-Quran dan memahami-Nya, akalnya pasti terpaut dengan benarnya Kalam Allah. 

Sidang jamaah sekalian,

Malangnya umat Islam hari ini ramai yang meringan-ringankan pembacaan Al-Quran. Berapa ramai umat Islam yang masih buta Al-Quran. Dari jumlah yang celik Al-Quran pula berapa ramai yang bacaannya fasih bertajwid dan betul. Dari jumlah umat Islam yang fasih berapa ramai yang melazimi hariannya dengan membaca Al-Quran. Itu belum dikira berapa ramai yang memahami apa yang dibaca. Bahkan berapa ramai pula yang mengamalkannya. Ternyata bilangan semakin mengecil membuktikan kita benar-benar jauh dari Al-Quran.

Renunglah dalam hati masing-masing apakah kita termasuk golongan yang jauh dari Al-Quran? Wahai anak muda, nikmat tangan yang Allah berikan lebih kerap kita memegang telefon bimbit dari memegang Al-Quran. Nikmat mata yang Allah berikan lebih kerap kita melayari internet, membaca buku-buku hiburan dan menonton televisyen lebih dari membaca Al-Quran. Nikmat mulut yang Allah beri lebih kerap kita mengalunkan nyanyian lagu-lagu artis yang diminati lebih dari membaca Al-Quran.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Janganlah pula di saat kita terbaring lemah di atas katil, menanti saat ajal datang, kita mengalir air mata menyuruh kaum kerabat dan sahabat handai datang membaca Al-Quran untuk kita. Saat itu, kita sudah tiada daya. Kita ingin mendengar bacaan Al-Quran. Kita ingin menyentuh Al-Quran. Kita ingin memeluk Al-Quran bahkan kita ingin membaca Al-Quran. Barulah kita sedar betapa berharganya Al-Quran yang selama ini ianya hanya disimpan di rak buku kita tanpa dibaca. Alangkah bertuahnya jika nyawa diambil ketika membaca Al-Quran. Di dalam kubur Al-Quran sebagai peneman. Di akhirat kita mendapat syafaat Al-Quran. Semuanya bermula dengan membaca Al-Quran. Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda:

اقْرَأُوا الْقُرْآنَ، فَإِنَّهُ يَأْتِي شَافِعًا لأَصْحَابِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: "Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya". (Hadith riwayat At-Tabrani)

Oleh itu, peluang umur yang masih tersisa, saya mengajak diri saya dan sidang Jumaat sekalian, perbaiki kualiti bacaan Al-Quran kita. Jika kita di tahap yang lemah bergurulah. Mungkin hari ini susahnya menyebut Ayat Al-Quran dengan betul, inshaAllah satu hari nanti, Allah perelokkan bacaan kita. Alangkah indahnya usaha ini mengundang rahmat Allah dipermudahkan-Nya melafazkan kalimah syahadah di saat nyawa diambil. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Bermaksud: "Orang yang mahir membaca Al-Quran, akan berkumpul bersama malaikat-malaikat yang mulia lagi taat sedangkan orang yang tergagap-gagap dan bersusah payah jika membaca Al-Quran mendapat pahala dua kali ganda". (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Hadith ini membawa maksud bahawa orang yang membaca Al-Quran tetapi sulitnya atau payah hingga tergagap-gagap, merangkak-rangkak, dia tetap mendapat dua pahala. Pertama, pahala membaca Al-Quran. Kedua, pahala mencuba membaca Al-Quran walaupun sukar.

Sidang Jumaat yang dirahamati Allah,

Hari ini kita sering bertanya kenapa kerap terjadi musibah di kalangan umat Islam di sekeliling kita. Rosak akhlak, anak-anak kian derhaka kepada ibu-bapa, kecurian, pembunuhan, perzinaan, penindasan dan macam-macam lagi. Jawapannya kerana umat semakin jauh dari Al-Quran dan Allah mencabut roh Al-Quran dari jiwa umat Islam. Maka penawarnya kembali kepada Al-Quran. Pastikan diri kita, ahli keluarga kita dan orang yang berada di bawah tanggungan kita bukan sahaja celik Al-Quran bahkan menjadi orang yang yang sentiasa membaca Al-Quran. Mudah-mudahan inilah pembawa cahaya kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah di dalam Surah Fushshilat Ayat 44:

وَلَوْ جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا أَعْجَمِيًّا لَّقَالُوا لَوْلَا فُصِّلَتْ آيَاتُهُ ۖ أَأَعْجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ ۗ قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ ۖ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى ۚ أُولَـٰئِكَ يُنَادَوْنَ مِن مَّكَانٍ بَعِيدٍ ﴿٤٤﴾

Maksudnya: "Dan jikalau Kami jadikan Al-Quran itu suatu bacaan dalam bahasa selain arab, tentulah mereka mengatakan; Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya? Apakah (patut Al-Quran) dalam bahasa asing sedangkan (Rasul adalah orang) arab? Katakanlah; Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al-Quran itu suatu kegelapan bagi mereka (tidak memberi petunjuk bagi mereka). Mereka adalah (seperti) yang dipanggil dari tempat yang jauh".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ إِقْرَارًا بِهِ وَتَوْحِيْدًا، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيْمًا مَزِيْدًا. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Hadirin sidang Jumaat sekalian,

Kitab Suci umat Islam iaitu Al-Quran mempunyai 30 juzuk 114 Surah dan 6236 Ayat. Bukan jumlah yang sedikit apabila kita boleh menghafaznya. Hal ini tidak boleh dilakukan oleh semua orang, para hafiz Al-Quran dibandingkan dengan seluruh umat Islam di dunia sangatlah sedikit. Tetapi tahukah anda keutamaan yang Allah janjikan untuk para hafiz Al-Quran di antaranya adalah:

1. Allah akan memberikan kepada hafiz Al-Quran mahkota kehormatan. Sesuai dengan yang terdapat di dalam sebuah hadith dari Abu Hurairah رضي الله عنه bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: "Orang yang hafaz Al-Quran kelak akan datang dan Al-Quran akan berkata; Wahai Tuhan, pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru. Maka orang tersebut diberi mahkota kehormatan. Al-Quran berkata lagi; Wahai Tuhan tambahkanlah pakaiannya. Kemudian orang itu diberi pakaian kehormatannya. Al-Quran berkata lagi; Wahai Tuhan redhalah dia. Maka kepadanya dikatakan; Baca dan naiklah. Dan setiap Ayat, ia diberi tambahan satu kebajikan". (Hadith riwayat At-Tirmidzi)

2. Akan dikumpulkan bersama malaikat yang mulia lagi taat; "Dan perumpaan orang yang membaca Al-Quran sedangkan ia hafaz Ayat-Ayat-Nya bersama para malaikat yang mulia dan taat". (Muttafaqun 'Alaih)

3. Orang tuanya memprolehi pahala khusus jika anak mereka penghafaz Al-Quran. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم: "Pada hari kiamat nanti, Al-Quran akan menemui penghafaznya ketika penghafaz itu keluar kuburnya. Al-Quran akan berdialog seseorang dan ia bertanya kepada penghafaznya; Apakah kamu mengenaliku? Penghafaz tadi menjawab; Aku tidak mengenal kamu. Al-Quran berkata; Aku adalah kawanmu, Al-Quran yang membuatmu kehausan di tengahari yang panas dan membuatmu tidak tidur pada malam hari. Sesungguhnya setiap pedagang akan mendapat keuntungan dagangannya dan kamu pada hari ini di belakang semua dagangan. Maka penghafaz Al-Quran tadi diberi kekuasaan di tangan kanannya dan diberi kekekalan di tangan kirinya, serta di atas kepalanya di pasang mahkota perkasa. Sedang kedua orang tuanya diberi dua pakaian baru lagi bagus yang harganya tidak dapat dibayar oleh penghuni dunia keseluruhannya. Kedua orang tua itu lalu bertanya; Kenapa kami diberi dengan pakaian begini? Kemudian dijawab; Kerana anakmu hafiz Al-Quran. Kemudian kepada penghafaz Al-Quran tadi diperintahkan; Bacalah dan naiklah ke tingkat-tingkat syurga dan kamar-kamarnya. Maka ia pun terus naik selagi ia tetap membaca, baik bacaan itu cepat atau perlahan (tartil)". (Hadith riwayat Al-Hakim)

Sidang jamaah yang berbahagia,

Itu baru sebahagian kecil dari kelebihan-kelebihan penghafaz Al-Quran dan bersempena dengan itu pihak Ma'ahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat Negeri Perak di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mempelawa lepasan SPM yang berkelayakan untuk memohon melanjutkan pelajaran di Ma'ahad Tahfiz Al-Quran wal Qiraat Negeri Perak dalam bidang diploma tahfiz wal qiraat dari Darul Quran Jakim. Tawaran dibuka untuk anak-anak Perak yang berkelayakan. Borang boleh didapati di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). Borang boleh dihantar sebelum tarikh tutup 31 Mac 2016.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

Tuesday, March 8, 2016

KHUTBAH GERHANA MATAHARI - 29 JAMADIL AWWAL 1437 / 9 MAC 2016


Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ. وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَيَزِيدُهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَالْكَافِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ.  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدً رَسُولُ اللهِ الْإِمَامُ الْأَنْبِيَاءِ وَ سَيِّدِ الْمُرْسَلِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ دَعَا بِدَعْوَاتِهِ وَاسْتَنَّ بِسُنَّتِهِ وَجَاهَدَ بِجِهَادِهِ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Alam, dijadikan oleh Allah سبحانه وتعالى sebagai bukti kehebatan kekuatan dan kekuasaanNya. Dalam erti kata lain jika manusia ragu-ragu mengenai Kekuasaan Allah سبحانه وتعالى yang mampu membina kembali alam ini setelah runtuh, menghidupkan kembali manusia yang telah mati, maka lihatlah alam ini sebagai pembuktian. Ini kerana alam ini adalah bukti jelas kekuatan dan kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Bukti itu bukan saja ada pada alam, bahkan pada diri manusia, pada makanan atau minuman, haiwan dan tumbuhan dan pada segala-segalanya. Allah سبحانه وتعالى menyuruh manusia untuk mengkaji alam ini, untuk memahami dan mengenali Allah سبحانه وتعالى dengan lebih dekat dan lebih mendalam. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam surah Ali-Imran 190-191 :

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ ﴿١٩٠﴾ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ﴿١٩١﴾

Bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan Bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan Bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka”.

Menurut Amru Khalid seorang tokoh motivasi Islam kontemporari di dunia Arab dalam bukunya Ibadat Tafakkur, terdapat dua jalan bagi mereka yang mahu mengenali Allah سبحانه وتعالى iaitu:

i. Mengenali dengan pengakuan lisan dan hati wujudnya Allah سبحانه وتعالى. Jalan ini dikongsi oleh ramai manusia samada fasiq atau mukmin.

ii. Mengenali dengan medium perasaan seperti kecintaan, kekaguman, malu dan takut. Jalan ini tidak semua manusia samada mukmin apatah lagi fasiq yang memperolehinya, kecuali dengan jalan tertentu seperti berfikir.

Para ulama' juga menyatakan bagaimana kita mengenali Allah سبحانه وتعالى melalui 2 kitab, iaitu:

i. Melalui kitab Allah yang dibaca (maqru’) iaitu al-Quran.
ii. Melalui kitab Allah yang dilihat (manẓur) iaitu alam ini.

Alam ini adalah satu pembuktian kebesaran Allah سبحانه وتعالى. Namun tidak semua manusia dapat memahami bahasa alam ini. Al-Quran menyebutkan hanya manusia yang digelar Ulul Albab saja, dapat memahami alam ini. Allah mentakrifkan sendiri golongan Ulul Albab ini dengan 2 ciri penting iaitu zikir dan fikir. Ulul Albab adalah manusia yang punya pengetahuan mendalam tentang alam ini. Namun ia bukan sekadar maklumat yang dicernakan dalam analisis dan data semata-mata. Namun setiap analisis dan data tersebut akhinya membuahkan natijah rasa takjub dan gerun pada Allah سبحانه وتعالى. Maka, timbullah rasa keinsafan dan hilanglah rasa keangkuhan, setiap kali mereka melihat kebesaran Allah dalam alam ini.

Sidang jemaah sekalian,

Pada hari ini iaitu 9 Mac 2016 M bersamaan 29 Jamadil Awal 1437 H kita berkumpul untuk melakukan solat sunat gerhana matahari yang sedang berlaku pada pagi ini. Ia gerhana matahari pertama berlaku pada tahun 2016 dan dapat dilihat pula di seluruh Malaysia khususnya di negeri Perak. Gerhana yang kita lihat pada pagi ini, turut dilihat oleh seluruh rantau Asia seperti Singapura, Indonesia, Brunei malah China, Pakistan dan Australia turut melihat gerhana ini. Bagi sebahagian saudara-saudara kita yang berada di Indonesia, mereka akan melihat gerhana matahari penuh, di mana kesan gerhana akan lebih jelas bila siang akan bertukar gelap seperti malam. Bagi kita di Perak, gerhana matahari yang kita lihat hanyalah pada fasa gerhana separa, di mana hanya separuh matahari ditutupi oleh bulan. Ia telah berlaku bermula pada 7.25 pagi tadi dan akan berakhir pada jam 9.30 pagi. Kemuncak gerhana ini akan berlaku pada jam 8.25 pagi, di mana matahari akan ditutupi bulan pada 73%. Ini bermakna matahari akan berbentuk seperti bulan sabit. Namun matahari pada fasa ini hanya boleh dilihat dengan menggunakan penapis cahaya matahari yang agak tebal.

Dalam khutbah ini, khatib ingin menjelaskan bagaimana gerhana matahari ini berlaku. Berdasarkan kajian ilmu falak, gerhana Matahari berlaku bila Bulan berada di antara Matahari dan Bumi. Keadaan ini hanya akan berlaku di penghujung bulan Qamariyah seperti yang digunakan pada Taqwim Hijrah. Ini bermakna setelah gerhana matahari berlaku, bulan dalam bentuk hilal akan kembali kelihatan pada waktu Maghrib di sebelah ufuk Barat. Ini dibuktikan dengan tarikh hijrah pada hari ini iaitu 29 Jamadil Awal dan keesokan hari pula ialah 1 Jamadil Akhir. Ini membuktikan ketepatan taqwim qamariyah yang digunakan oleh umat Islam, di mana ia selari dengan perjalanan alam yang sebenar.

Namun mengapa gerhana tidak berlaku pada setiap tahun? Hal ini berlaku kerana Matahari dan Bulan mempunyai orbitnya yang tersendiri. Laluan Matahari ini disebut sebagai Ekliptik, manakala laluan Bulan disebut sebagai satah Bulan. Laluan Matahari mempunyai sudut menyerong 23.5º dari garisan khatulistiwa. Manakala satah Bulan mempunyai perbezaan 5° dari ekliptik. Kedua-duanya akan bergerak atas orbitnya. Namun ketika gerhana berlaku, kedua-dua orbit ini akan berselisih atau bersilang pada satu titik. Titik perselisihan inilah disebut sebagai nod atau uqdah. Umpama dua buah kereta yang berjalan pada lorong yang berbeza, pada kelajuan yang juga berbeza, namun pada satu ketika ia bertemu pada laluan yang sama. Apa yang menakjubkan lagi ialah, gerhana yang sama akan berlaku lagi dalam tempoh yang telah ditetapkan iaitu dalam selangan 18 tahun 10 Bulan 8 jam. Seolah-olah janji yang telah sama dimeterai, masing-masing akan berada tempat yang telah dijanjikan pada selangan tempoh yang sama selang tahun tersebut. Hal ini, tidak mungkin berlaku kecuali atas kebijaksanaan Allah سبحانه وتعالى yang menciptakan alam ini.

Sidang Jemaah Sekalian,

Dalam Islam, antara pengajaran besar dari peristiwa gerhana ialah agar kita sentiasa mengingati kedatangan hari kiamat. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan dalam Shahih Muslim daripada Abi Musa r.a berkata :

خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلَاةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ إِنَّ هَذِهِ الْآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لَا تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ

Bermaksud: “Ketika zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم hidup gerhana matahari telah berlaku, maka baginda bangun tergesa-gesa kerana bimbang hari Kiamat sudah tiba, lalu Baginda bersegera ke masjid. Maka baginda pun bersolat dengan berdiri, rukuk dan sujud yang lama, dan aku tidak pernah melihat selama ini baginda solat begitu. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya inilah ayat-ayat yang dikirimkan oleh Allah, yang terjadinya bukan kerana kematian seseorang atau kehidupannya tetapi Allah mengirimkannya untuk menakuti para hambanya. Oleh sebab itu, apabila kalian melihatnya maka segeralah ingat kepadanya, berdoa memohon ampun kepadanya”.

Dalam satu hadis lain, yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abdullah Ibn Abbas telah menyatakan baginda dan para sahabat telah melakukan solat gerhana dengan amat panjang. Baginda berdiri pada rakaat pertama sepanjang bacaan Surah Al-Baqarah, di dalam rakaat kedua pula sepanjang bacaan Surah Ali-Imran, pada rakaat ketiga pula sepanjang bacaan surah al-Nisa, dan pada rakaat keempat sepanjang bacaan surah al-Maidah. Ketika solat inilah Nabi صلى الله عليه وسلم diperlihatkan juga dengan syurga dan neraka. Ketika melihat syurga, Nabi صلى الله عليه وسلم telah melihat setandan buah-buahan, hingga Nabi صلى الله عليه وسلم cuba mengambilnya. Namun ketika itulah Allah سبحانه وتعالى memperlihatkan neraka hingga baginda ketakutan dan mengundur kebelakang kerana takut dijilat api neraka.

Oleh kerana itulah terdapat sebahagian ulama' seperti Imam Al-Karmini dan Al-Sindi berpandangan, gerhana merupakan sebahagian dari tanda-tanda dekatnya kiamat. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan keadaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang bersegera ke masjid, bersolat dan berdoa kerana bimbang kedatangan hari kiamat, menunjukkan bahawa gerhana mempunyai kaitan dengan kedatangan hari kiamat. Jika kita merujuk ayat-ayat al-Quran yang membicarakan tentang kiamat pula, ia tidak akan pernah lekang dari peristiwa kehancuran langit dan bumi. Antaranya, peristiwa langit akan terbelah, hilang cahaya matahari, bintang jatuh berselerak, dan gempa bumi. Demikian jugalah kejadian gerhana akan mengingatkan kita ketika detik-detik berlakunya qiamat. Seperti mana difirmankan Allah سبحانه وتعالى di dalam surah al-Qiamah ayat 6-9:

يَسْأَلُ أَيَّانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ ﴿٦﴾ فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ ﴿٧﴾ وَخَسَفَ الْقَمَرُ ﴿٨﴾ وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ ﴿٩﴾

Terjemahannya: “Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu? Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpindar-pindar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama”.

Imam Al-Qurtubi menyatakan ketika hari hampir-hampir kiamat, matahari dan bulan akan kehilangan sinar dan cahayanya. Ini disebabkan perhimpunan antara matahari dan bulan telah dihimpun ketika mana langit seluruhnya akan digulung. Imam Al-Alusi pula mengambarkan suasana ketika berlaku kiamat, matahari dan bulan akan dihimpunkan. Namun perhimpunan ini bukanlah dengan pengertian gerhana seperti yang difahami oleh ahli falak. Ini kerana gerhana berlaku bila cahaya matahari dihalang oleh bumi atau bulan. Namun hilangnya cahaya ini dalam erti kata yang sebenar di mana bulan kehilangan cahayanya kerana dihimpunkan bersama matahari seperti dalam fasa bulan gelap (Muhaq). Namun Imam Al-Alusi tidak menolak kemungkinan gerhana dalam pengertian ahli falak mungkin akan berlaku. Ia mungkin berlaku pada pertengahan bulan hijrah di mana berlakunya gerhana bulan, atau di akhir bulan hijrah di mana berlakunya gerhana matahari kerana tiada dalil yang menyatakan tarikh berlaku keadaan ini.

Ringkasnya, ayat 8 Surah al-Qiyamah mengambarkan keadaan gerhana dengan erti hilangnya cahaya bukanlah dengan maksud gerhana. Persoalannya mengapa bulan hilang cahayanya? Ia dijawab oleh ayat 9, surah Al-Qiyamah iaitu kerana matahari dan bulan telah dihimpunkan. Namun perhimpunan ini bukan dalam erti kata bumi berada di antara matahari dan bulan seperti situasi gerhana bulan, namun bulan dan matahari telah disatukan. Lebih menarik Muhammad Basil al-Ta’i menyatakan ayat ini menunjukkan bagaimana Allah سبحانه وتعالى menyatakan bagaimana detik-detik kemusnahan bumi dan alam ini. Perhimpunan ini bukan bermaksud gerhana, namun perhimpunan dalam erti kata bulan dan matahari akan disatukan! Ianya berlaku ketika matahari sudah mencapai penghujung hayatnya, ia akan mengembang hingga membakar planet-planet termasuk bumi dan bulan. Dalam erti kata lain kemusnahan sistem solar akan berlaku apabila matahari mengembang dan membesar hingga semua objek-objek di langit berhampiran dengan matahari akan hancur di’makan’ matahari.

Dr. Yusuf Al-Qadhawi menyatakan bahawa kejadian gerhana ini sepatutnya mengingatkan kita tentang kedatangan kiamat dan kehancuran alam ini. Ini semua berdasarkan wahyu-wahyu Ilahiyah bahawa langit ini akan terbelah, bintang dan planet akan berguguran, hingga menyebabkan lautan bercampur baur, matahari akan lenyap cahayanya, dan bulan pun sudah gelap kerana ketika itu ia sudah dicantum dengan bulan. Matahari dan bulan juga bukanlah makhluk yang akan hidup selama-lamanya, tetapi kedua-duanya juga akan menghadapi saat kehancuran dan kematiannya. Manusia yang beriman ketika melihat gerhana, hatinya akan segera membayangkan detik kedahsyatan kiamat yang pasti akan berlaku satu hari nanti. Apatah lagi mengingati kedahsyatan kiamat itu adalah sekelip mata malah lebih cepat lagi. Atas alasan itulah Nabi صلى الله عليه وسلم bersegera lari ke masjid, solat, berdoa, bersedekah dan membanyakkan zikir kerana ingin mengajar umatnya untuk sentiasa takut dan bersedia menghadapi hari kiamat. Maka kita disarankan untuk melakukan ibadah solat gerhana sebagai tanda pengiktirafan kita pada kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Ia adalah wasilah bagi kita menzahirkan sifat kehambaan diri kita sebagai manusia yang sangat lemah. Bayangkan makhluk sebesar matahari dan bulan malah alam yang terbentang luas dan lebih besar dari manusia ini tunduk dan patuh pada segala perintah Allah سبحانه وتعالى dan bakal musnah satu ketika nanti pada saat detik-detik kiamat. Ini terbukti dengan ketaatan matahari dan bulan beredar pada edaran iaitu falak yang telah ditetapkan dan ketika kiamat hampir berlaku segala sistem ini akan berubah dan ketika itulah kehancuran alam akan berlaku. Maka bagaimanakah mungkin manusia yang kerdil ini boleh menyalahi peraturan atau syariat yang telah ditetapkan Allah. Bagaimanakah manusia yang sangat lemah ini boleh menderhakai Allah سبحانه وتعالى.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ حَبِيْبِنَا وَشَفِيعِنَا وَزُخْرِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ،  اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ:
أَوَلَمْ يَنْظُرُوا فِي مَلَكُوتِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا خَلَقَ اللَّهُ مِنْ شَيْءٍ وَأَنْ عَسَى أَنْ يَكُونَ قَدِ اقْتَرَبَ أَجَلُهُمْ فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ ﴿١٨٥﴾ 


Terjemahannya: “Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?” (Surah al-A’raf : 185)

Sidang Jemaah Sekalian,

Dalam khutbah pertama khatib telah menerangkan bagaimana gerhana terjadi menurut ilmu falak. Khatib juga telah mengingatkan para jemaah sekalian bagaimana gerhana yang telah dan akan terus pada masa-masa akan datang adalah peringatan dari Allah mengenai detik kejadian hari kiamat.

Maka marilah kita berdoa pada Allah سبحانه وتعالى pada saat ini untuk menunjukkan kelemahan diri kita. Berdoalah memohon keampunan dan menjauhkan diri kita dari azab neraka. Banyakan bersedekah dan berzikir bagi mengingatkan kita kepada kebesaran Allah. Allah سبحانه وتعالى telah menunjukkan kepada manusia menerusi gerhana ini, bahawa Allah سبحانه وتعالى adalah Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Memiliki Kekuasaan untuk menjadikan siang yang sepatutnya terang dan cerah tetapi menjadi gelap. Matahari yang sepatutnya bersinar penuh tapi dihalangi bulan. Insaflah, hari ini ketika gerhana matahari berlaku ternyata matahari dan bulan masih terus wujud dan terus beredar pada edarannya. Nyatalah Allah سبحانه وتعالى ingin memberikan kita masa dan peluang untuk terus melakukan kebaikan dan bertaubat kepadanya atas segala keburukan. Namun akan tiba masanya, hilanglah cahaya matahari dan bulan, cahaya itu tidak akan kembali lagi, di saat itu tidaklah berguna amal kebaikan dan taubat kerana segalanya sudah terlewat. Kiamat akan berlaku, nyawa akan dicabut dan alam akan hancur. Semoga kita akan dapat mengambil pengajaran besar dari peristiwa gerhana agar kita akan tergolong dalam golongan Ulul Albab. Semoga kita akan menginsafi segala peringatan ini demi peringatan yang telah ditunjukkan Allah سبحانه وتعالى kepada kita sebelum segala-segalanya terlewat.

اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ أَنْ تَرْزُقَ كُلًّا مِنَّا لِسَنًا صَادِقًا ذَكِرًا، وَقَلْبًا خَشِعًا مُنِبًا، صَالِحًا زَاكِيًا، وَعِلْمًا نَافِعًا رَافِعًا، وَإِيْمَانًا رَاسِخًا ثَابِتًا، وَيَقِينًا صَادِقًا خَالِصًا، وَرِزْقًا حَلَالًا طَيِّبًا وَاسِعًا، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَمِ. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، وَوحِّدِ اللَّهُمَّ صُفُوْفَهُمْ، وَأَجْمِعْ كَلِمَتَهُمْ عَلَى الْحَقِّ، وَاكْسِرْ شَوْكَةَ الظَّالِمِينَ، وَاكْتُبِ السَّلَامَ وَالْاَمْنَ لِعِبَادِكَ أَجْمَعِينَ.
اللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلْطَان نَزْرِين معزالدين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن محب الدين شاه المغفورله بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ وَكَذَلِكَ توانكو زَارَ سَالِم.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ، ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ. اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات، إِنَّكَ سَمِيعٌ قَرِيبٌ مُجِيبُ الدُّعاءِ. 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA