Friday, December 23, 2016

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 23 DISEMBER 2016 / 23 RABIUL AWWAL 1438


KECINTAAN KEPADA RASULULLAH TINGGI,
UMAT DIBERKATI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ: 
فَيَاعِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah!

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang ditegah-Nya.

Sidang Jumaat yang dirahmati sekalian,

Firman Allah dalam Ayat 21 Surah Al-Ahzab:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah صلى الله عليه وسلم, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya". 

Rabi'ul Awwal menjelang lagi bersama catatan sejarah gemilang dengan sama-sama mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم nabi akhir zaman yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan. Hadirnya bersama wahyu Al-Quran mengubah keadaan alam yang dulunya diselubungi suasana jahiliyyah yang penuh dengan kesesatan dan penindasan.

Pengutusan sebagai penghulu segala nabi telah melenyapkan kebatilan dengan cahaya kebenaran Islam, memadam kekufuran dengan siraman keimanan serta membanteras kezaliman dengan keadilan sistem Islam. Sekiranya umat Islam mahu mengubah semula keadaan daripada umat yang dijajah kepada umat yang memerintah, umat yang dipandang hina kepada umat mulia, umat yang lemah kepada umat yang gagah, maka segala kebaikan dan tauladan yang ditunjukkan oleh Nabi bukan setakat disebut tetapi diikut, bukan setakat dikata tetapi dikota, bukan setakat dilaung tetapi dijunjung, bukan setakat dicerita tetapi dilaksana dalam kehidupan seharian, barulah segala yang diidamkan akan tercapai.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam Ayat 31 Surah Ali-'Imran:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad صلى الله عليه وسلم): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Mencintai Nabi صلى الله عليه وسلم merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Oleh itu wajib atas setiap muslim mengetahui bukti dan tanda kecintaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan mengamalkan serta merealisasikannya dalam kehidupan seharian mereka. Semakin banyak memiliki bukti dan tanda tersebut maka semakin tinggi dan sempurna kecintaannya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Di antara bukti dan tanda-tanda kecintaan dan kasih kita kepada Nabi صلى الله عليه وسلم ialah:

Pertama: Mencontohi dan mengamalkan sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم di mana yang mencintai Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah orang yang sentiasa bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran baginda. Ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatannya. Menghidupkan sunnah dan mengikuti Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam setiap langkah kehidupannya adalah bukti kecintaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagaimana juga menjadi bukti kecintaan kepada Allah. Berdasarkan hal ini, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya menuntut natijah mengamalkan hal-hal yang dicintai dan menjauhi yang dilarang dan dibenci oleh baginda صلى الله عليه وسلم.

Tidak mungkin ada orang yang mencintai Rasulnya sedangkan dia tidak mahu mengikuti sunnahnya apatah lagi melakukan perkara yang bercanggah dengan ajaran Nabi dengan sengaja. Antara sunnah yang terbaik adalah meringankan bebanan orang lain terutama ketika menghadapi bebanan kos sara hidup yang tinggi seperti hari ini, terutama ketika subsidi minyak, elektrik, pengajian ditarik ketika hidup mewah dan pembaziran pemimpin terus berlaku. Begitu juga ketika menghadapi musim banjir yang melanda yang perlu diberikan perhatian, di samping kita banyak berdoa sampai Allah menjauhkan kita semua daripada musibah yang besar.

Kedua: Banyak mengingati dan menyebut nama Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, kerana orang yang mencintai sesuatu tentu akan sentiasa mengingat dan menyebutnya. Sentiasa ingat kepadanya merupakan tanda kesinambungan kecintaan yang berterusan.

Ketiga: Sentiasa mengucap selawat dan salam kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Hadits riwayat Imam Muslim yang berbunyi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرًا

Maksudnya: "Daripada Abu Hurairah رضي الله عنهُ , Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali, maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali".

Ulamak menyatakan faedah yang boleh di dapati dari selawat ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم adalah: Seorang ketika banyak menyebut kekasihnya, mengingatinya di hati, mengingati kebaikan-kebaikan dan perkara-perkara yang boleh melahirkan perasaan cinta kepadanya maka semakin berlipat ganda kecintaannya kepada kekasihnya tersebut dan bertambah rindu kepadanya. Apabila dia tidak menyebutnya sama sekali, tidak mengingatinya dan kebaikannya, maka akan berkuranganlah rasa cinta di hatinya.

Apabila keadaan ini kuat di hatinya maka lisannya terus memuji dan menyebut kebaikan-kebaikannya. Bertambah dan berkurangnya keadaan ini sesuai dengan perasaan cinta di hatinya dan anggota menjadi saksi kebenaran itu dengan mengamalkan sunnah Nabi dalam pelbagai aspek kehidupan.

Keempat: Menyebut keutamaan dan kemuliaan serta sifat, akhlak dan perilaku utama yang Allah berikan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, juga mukjizat serta bukti kenabian untuk mengenal kedudukan dan martabat baginda صلى الله عليه وسلم. Demikian juga untuk mengenalkan orang lain dan mengingatkan mereka tentang hal itu agar mereka semakin beriman dan bertambah kecintaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam Ayat 63 Surah An-Nur:

لَّا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُم بَعْضًا ۚ قَدْ يَعْلَمُ اللَّهُ الَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمْ لِوَاذًا ۚ فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٦٣﴾

Maksudnya: "Janganlah kamu jadikan panggilan (kepada) Rasulullah صلى الله عليه وسلم di antara kamu seperti panggilan sesama kamu. Sesungguhnyha Allah telah mengetahui orang-orang yang yang menarik diri (dari majlis nabi صلى الله عليه وسلم) di antara kamu secara berselindung dan bersembunyi, maka hendaklah orang-orang yang mengingkari perintah-Nya beringat serta berjaga-jaga, jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab yang pedih".

Tanda cinta kepada Nabi صلى الله عليه وسلم yang Kelima: Bersopan santun dan beradab dengan Nabi صلى الله عليه وسلم baik dalam menyebut nama atau memanggilnya. Kata ulamak; Adab yang tinggi terhadap Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah menerima sepenuhnya serta tunduk patuh kepada perintahnya. Menerima perkhabarannya dengan penuh penerimaan dan membenarkannya tanpa ada penentangan dengan pemikiran logik akal, syubhat, keraguan atau mendahulukan pendapat para intelektual dan pemikiran yang tidak betul, kepada hanya berhukum dan menerima tunjuk ajar baginda صلى الله عليه وسلم sahaja.

Keenam: Berharap dan rindu untuk melihat dan berjumpa dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم walaupun terpaksa membayarnya dengan harta dan keluarga. Hadits riwayat Imam Muslim yang berbunyi:

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِنْ أَشَدِّ أُمَّتِي لِي حُبًّا نَاسٌ يَكُونُونَ بَعْدِي يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ رَآنِي بِأَهْلِهِ وَمَالِهِ.

Maksudnya: "Di antara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku, salah seorang dari mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa menebus dengan keluarga dan harta".

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Tanda cinta kepada Nabi صلى الله عليه وسلم yang Ketujuh: Menyampaikan nasihat untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya dan rasul-Nya. Hadits riwayat Imam Muslim yang berbunyi:

قَالَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ.

Maksudnya: "Agama itu adalah nasihat. Sahabat bertanya; Kepada siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya dan rasul-Nya dan pemimpin kaum muslimin serta kaum muslimin seluruhnya".

Maksud nasihat untuk Nabi صلى الله عليه وسلم dalam hadits ini adalah beriman kepadanya, mentaati perintahnya, mengikuti sunnahnya dan mencintainya.

Kelapan: Belajar Al-Quran, istiqamah membacanya dan memahami maknanya. Demikian juga belajar sunnahnya, mengajarkannya dan mencintai ahlinya (ahli sunnah). Imam Al-Qadhi 'Iyyadh رحمة الله menyatakan: "Di antara tanda-tanda mencintai Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah mencintai Al-Quran yang diturunkan kepadanya dan baginda صلى الله عليه وسلم mengambil petunjuk dan membimbing manusia dengan Al-Quran serta berakhlak dengan Al-Quran".

Ibnu Mas'ud رضي الله عنه berkata: "Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya kecuali Al-Quran, apabila ia mencintai Al-Quran maka ia mencintai Allah dan Rasul-Nya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanda cinta kepada Nabi صلى الله عليه وسلم yang Kesembilan: Mencintai orang yang Rasulullah صلى الله عليه وسلم cintai, antaranya:

- Ahlul Bait (keluarga)

Imam Al-Baihaqi رحمة الله berkata: "Termasuk dalam lingkungan mencintai Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah mencintai Ahlul Bait. Ahlul Bait Rasulullah صلى الله عليه وسلم memiliki hak-hak yang wajib dipelihara, kerana Allah menjadikan mereka hak dalam al-khumus, al-fa'ie (harta rampasan perang) dan memerintahkan berselawat untuk mereka bersama selawat untuk Rasulullah صلى الله عليه وسلم".

Ulamak juga menyatakan: Di antara kewajipan kita adalah mencintai Ahlul Bait Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan memberikan keutamaan kepada mereka serta menjaga wasiat Rasulullah صلى الله عليه وسلم tentang mereka.

- Para isteri baginda صلى الله عليه وسلم.

Menjaga keutamaan dan hak-hak mereka dan meyakini mereka tidak sama seperti para wanita lainnya. Menjadikan mereka sebagai ibu kaum mukminin sehingga wajib bagi kita menjaga hak-hak mereka walaupun setelah mereka wafat, berselawat untuk mereka bersama Nabi صلى الله عليه وسلم dan memohon keampunan bagi mereka serta menzahirkan pujian dan keutamaan mereka.

- Para sahabat baginda صلى الله عليه وسلم.

Imam Al-Baihaqi رحمة الله menyatakan: "Termasuk dalam kecintaan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم adalah cinta kepada para sahabat baginda صلى الله عليه وسلم. Apabila para sahabat Nabi telah mendapat kedudukan ini, maka mereka memiliki hak dari kaum muslimin untuk mencintai mereka dan dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan kecintaan kepada mereka. Ini kerana apabila Allah meredhai seseorang, maka dia mencintai-Nya dan wajib atas seseorang hamba untuk mencintai orang yang Allah cintai".

Umat Islam wajib mencintai sahabat, meredhai mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka. Hadits riwayat Imam Al-Bukhari, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Maksudnya: "Janganlah kamu sekalian mencela para sahabatku, demi Allah! Seandainya salah seorang dari kamu berinfaq emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu mud (cupak) mereka dan tidak juga separuhnya".

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Tanda cinta kepada Nabi صلى الله عليه وسلم yang Kesepuluh: Membenci orang yang Allah dan Rasul-Nya benci, memusuhi orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi sunnahnya dan syariat Islam, serta membenci semua perkara yang menyalahi syariat sebagaimana firman Allah Ayat 22 Surah Al-Mujadilah:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَـٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ ... ﴿٢٢﴾

Maksudnya: "Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu ialah bapa-bapa atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka...".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad صلى الله عليه وسلم), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”. (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

Muslimin dan Muslimat sekalian,

Marilah pada hari penghulu segala hari ini kita merasakan betapa besarnya nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah سبحانه وتعالى. Dan hanya kematian di dalam Iman dan Islam sahaja yang diredhai oleh Allah sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾  

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu di dalam keadaan beragama Islam”. (Surah Ali-Imran Ayat 102)

Pada hari ini juga hendaklah kita ingat betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagama dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: "Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri”.

Sehubungan itu hendaklah lahir di dalam hati setiap orang Islam perasaan sedih terhadap bala bencana dan kesusahan yang menimpa umat Islam di serata dunia. Sama ada mereka yang ditimpa gempa bumi, dilanda peperangan, kemiskinan dan kebuluran di negara-negara Afrika, dan umat Islam yang sedang dijajah, dizalimi dan dibunuh serta ditindas seperti yang sedang berlaku di Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Selatan Thailand, Rohinghya dan sebagainya.

Jika tidak mampu membantu mereka dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya melalui doa dan munajat kepada Allah supaya Allah memberi pertolongan kepada mereka dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia yang dihadapi mereka.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الْأَرْبَعَةِ الْحُلَفَاءِ الرَّشِدِينَ، سَادَاتِنَا أَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِى طَالِبٍ، وَعَنْ أَزْوَاجِ نَبِيِّنَا الْمُطَهَّرَاتِ مِنَ الْأَدْنَاسِ، وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ وَقَرَابَتِهِ وَسَائِرِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، وَارْضَ عَنَّا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.  اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي رُوْهِيغيَا وفِي الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendukung-pendukungnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafik dan musyrikin, binasakanlah musuh-musuh agamamu dan segala sekutunya, engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkan kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ، ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ.

عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.



Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment