Thursday, November 5, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 6 NOVEMBER 2015 / 24 MUHARRAM 1437



WASPASDA PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ ﴿٦﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat dibacakan tadi dipetik dari Surah Luqman Ayat 6 yang bermaksud: "Dan ada di antara manusia orang yang memilih serta membelanjakan harta kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan, merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan."

Sidang Jumaat yang dirahmatilah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, bersama-samalah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Sesungguhnya kebahagiaan dunia dan kesejahteraan akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa. Mimbar pada hari yang penuh dengan keberkatan ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk "Waspada Penggunaan Media Sosial."

Tuan-tuan yang dikasihi sekalian,

Di tengah-tengah perkembangan media yang pesat membangun semua lapisan masyarakat di negara kita tidak kira kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita seorang pun tidak mahu ketinggalan dalam menggunakan aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, whatsapp, instagram dan sebagainya. Statistik penggunaan internet di Malaysia menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan. Seramai 20.1 juta pengguna internet atau 67% daripada 30 juta rakyat Malaysia ada menggunakan internet sekaligus merupakan satu perkembangan yang cukup positif dari segi celiknya rakyat Malaysia mengenai IT. Pada masa ini, whatsapp merupakan aplikasi yang memiliki paling ramai pengguna iaitu 800 juta pengguna aktif setiap bulan. Di bulan Februari, twitter mengumumkan bahawa mereka memiliki 288 juta pengguna aktif. Manakala pada bulan Disember, instagram melaporkan mereka memiliki 300 juta pengguna aktif. Sementara facebook yang memiliki instagram dan whatsapp melaporkan jumlah pengguna aktif rata-rata per bulan sebanyak 1.39 juta di bulan Disember tahun lalu.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang sama sekali tidak menghalang kemajuan atau pemodenan. Namun, sejak akhir-akhir ini kita dihantui dengan pelbagai penyalahgunaan nikmat kemodenan iaitu melalui media sosial di luar batasan dan keterlaluan di kalangan penggunanya yang melampaui batas. Sekaligus menjadikan media sosial adalah satu fenomena yang sangat membimbangkan jika tidak dibendung mulai dari hari ini. Banyak insur kemungkaran telah timbul, membesar, membiak dan mewabak dalam masyarakat kita melalui media sosial ini. Bukan sahaja pendedahan aurat di sana sini, membuka keaiban orang lain juga sudah tidak menjadi asing lagi. Melemparkan tuduhan, saling salah menyalahkan antara satu sama lain, menyebarkan cerita dan berita tidak pasti, menjadi punca pergaduhan suami isteri dan komuniti, seterusnya penggunaan bahasa caci mencaci, seolah-olah menjadi suatu yang sebati.

Umat Islam hari ini pula menghabiskan masa yang sangat banyak melayari media sosial, jika dibandingkan melayari Ayat-Ayat Allah yang suci. Persoalannya, berapa keratkah daripada kita melayari bahan-bahan yang berunsurkan kerohanian, keagamaan dan akhlak yang baik? Berapa banyakkah pula bahan berunsur dakwah, nasihat atau akhlak murni dihidangkan kepada kita melalui media sosial? Setiap kali kita kita melakukan klik atau melayari laman media sosial, adakah pelayaran atau klik pada laman itu membawa kebaikan atau kemungkaran? Adakah semua itu membentuk saham akhirat yang benar-benar bermanfaat atau menambah bebanan dosa yang sedia berat dan sarat?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Umat Islam diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak lalai serta leka terhadap bahaya yang timbul daripada media sosial seperti penyebaran ideologi yang merosakkan dan bertentangan dengan syariat Islam. Ia juga berbahaya jika tiada kawalan dan sekatan terhadap rangkaian yang menyebarkan kandungan negatif seperti laman lucah yang akan membawa kepada masalah sosial yang lebih besar.

Hadis yang telah diriwayatkan oleh Anas R.A, bahawa Nabi SAW sering berdoa: "Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari kelemahan, kemalasan, kebakhilan, kenyanyukkan, kekerasan hati, kelalaian, kehinaan dan kemiskinan." (HR Ibnu Majah)

Ketahuilah, rosaknya jiwa disebabkan hawa nafsu dan syahwat yang menguasai dan rosaknya hati disebabkan kelalaian dan kekerasan hati. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ ﴿٢٠٥﴾

Bermaksud: "Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintah-Nya) dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai." (Surah Al-A'araf Ayat 205)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Media sosial kini menjadi landasan media yang penting dan pencapaiannya merentas sempadan geografi kerana orang ramai boleh mendapat kenalan dari seluruh pelusuk dunia, merentasi jarak dan ruang serta masa. Peranannya adalah besar dalam kehidupan individu, le;uarga dan negara. Sehubungan itu, mimbar menyeru umat Islam supaya menggunakan media sosial untuk menanam dan menggalakkan nilai-nilai kebaikan dan memupuk kasih sayang sesama insan selain berkerjasama untuk meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah. Penggunaan media sosial telah terlalu banyak membawa pelbagai perubahan sosial sama ada yang positif atau negatif di seluruh dunia dan boleh digunakan untuk menyemai kebaikan dan menunjukkan jalan kebenaran hingga seseorang itu boleh mendekatkan diri kepada Allah. Selain itu, media sosial juga boleh mengekalkan hubungan baik antara individu, komuniti, saudara mara, rakan-rakan dan antara pekerja professional selain pertukaran maklumat yang berguna. Daripada situ, akan wujudnya komuniti Islam yang saling mengasihi dan melakukan kerja-kerja yang mulia. Media sosial juga berkesan digunakan untuk mengajar, belajar dan menyeru manusia ke jalan Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari  ini, marilah kita sama-sama menghayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6 yang berbunyi:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingininya, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ . 


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ ﴿٦﴾ فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ﴿٨﴾

Bermaksud: "Pada hari itu, manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing)  untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)." (Al-Zalzalah Ayat 6 hingga 8)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، 
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ، فَيَاعِبَادَ الله، اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sebagai penutup khutbah pada hari yang mulia ini, marilah kita pastikan bahawa diri, anak-anak dan isteri, saudara-mara, rakan taulan dan sahabat-sahabat kita adalah pengguna maklumat media sosial yang patuh syariat Allah SWT. Umpama barang dagangan hendak dibeli di pasar, barang itu dipilih, diteliti, dipersoal harganya dan dibanding-bandingkan kualitinya agar tidak rugi. Justeru:

Pertama: Mari kita jadikan setiap detik masa yang diluangkan pada halaman media sosial sebagai jambatan kebaikan dan saham menuju ke akhirat.

Kedua: Ayuh kita bentuk jari jemari kita menjadi pena yang menulis tentang apa sahaja perkara maaruf atau kebaikan supaya timbangan mizan kita menjadi berat dengan pahala di hadapan Allah nanti.

Ketiga: Segera kita bentuk iman dan hati kita supaya menjauhi fitnah, caci hina dan permusuhan sesama manusia serta takut membawa segala keburukan yang tersembunyi di media sosial apabila menghadap Allah SWT.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. 
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي بِلَادِنَا هَذَا وَفِي الْعِرَاقِ وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah, ya Tuhan kami, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan-Mu, negara dan negeri kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan dikalangan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار، 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.


No comments:

Post a Comment