bersama kepimpinan ulamak




Friday, June 12, 2015

KUTBAH JUMAAT - 12 JUN 2015M / 25 SYA’BAN 1436H



“PERBUATAN RASUAH MEMBINASAKAN”

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Muslimin yang dikasihi Allah,

Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah samasama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari rezeki yang halal dan kehidupan yang diredhai Allah SWT. Umur kita semakin bertambah dan hakikatnya kita semakin menghampiri garis penamat kehidupan yang sementara ini, maka jangan berlengah dan bertangguh lagi untuk mempersiapkan diri mencari bekal dalam perjalanan kita menemui Allah SWT. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan menyetuh tentang gejala rasuah yang semakin membiak dewasa kini.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sogokan ataupun rasuah adalah perbuatan jenayah yang paling besar disisi agama dan undang-undang. Berdasarkan laporan media cetak dan elektronik pada masa kini, pada kebiasaannya perbuatan memberi sogokan ini kebanyakannya berlaku dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam. Menurut hukum Islam, jenayah rasuah ini adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang Qat’ie dari Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam Al-Quran terdapat ayat yang mengingatkan kita semua tentang larangan Allah SWT mengenai perkara ini, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١٨٨﴾

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan(atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Manakala sabda Rasulullah SAW didalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud :

لَعَنَ رَسُولُ اللهُ صَلَّى الله عليه وسلم : الرَّشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ 

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”.

Jika kes jenayah rasuah ini tidak dibendung maka kes ini akan meningkat dinegara kita pada setiap tahun, menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2013 hingga bulan Febuari 2014, sebanyak 587 tangkapan telah dibuat. Hal ini amat menakutkan dan membimbangkan kita. Mereka yang melakukan perbuatan keji ini atau bersyubahat dengannya adalah penjenayah yang merompak harta rakyat, tamak, mementingkan diri sendiri dan pemusnah negara.

Jika melihat seseorang yang berpangkat besar maka besarlah peluang untuk merompak harta rakyat dan semakin pintar pula untuk melepaskan diri dari disabitkan dengan jenayah wang haram ini. Hal ini, bergantung atas diri masing-masing menilai tahap kejujurannya atas pangkat yang diterimanya. Jika amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan negara , ekonomi dan keselamatan. Persoalan besar timbul di sini adalah mengapa amalan najis wang haram ini berlaku?. Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku jenayah wang haram ini ialah kerana bernafsu besar, sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah diluar kemampuan, memburu kekayaan secara salah, tidak bersyukur kepada Allah serta terikut-ikut dengan rakanrakan sekerja. Sama ada disedari atau tidak, mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti kekayaan negara disalahguna , meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah rakyat jelata yang berpenat lelah mencari rezeki halal seperti pegawai-pegawai yang jujur, para petani, nelayan, penoreh getah dan kumpulan dhaif yang lain yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagaimana yang kita ketahui, melakukan suapan adalah perbuatan haram dan berdosa besar dan rezeki dari sumber yang haram ini boleh mengakibatkan tertolaknya doa, sepertimana tersebut didalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim :

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa: Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! . Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia dibesarkan dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya.

Tuan-Tuan Sekelian, takutlah kepada Allah swt janganlah kita mengikut hawa nafsu yang jahat kerana setiap rasuah yang kita terima, setiap sen yang kita belanjakan dari hasil sumber yang haram pasti hidup tidak akan aman dan tenteram, biarlah wang ringgit kita sedikit tapi yang paling penting hala dan berkat hidup jugak akan aman dan harmoni.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾

Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.” (Ali Imran ayat 104)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ،

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pemakan rasuah serta mereka yang bersyubahat dengan wang haram ini adalah pengkhianat negara, dilaknat oleh Rasulullah SAW dan layak dihumban kedalam api neraka . Apa yang nyata, kadar celik huruf dan celik akal di kalangan rakyat negara ini semakin tinggi tetapi mereka yang terlibat gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu wang suapan haram di negara ini. Oleh itu, mimbar pada kali ini menyeru semua pihak sama-sama memerangi gejala ini dalam negara kita secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta. Ini selaras dengan tuntutan syarak dan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dalam perkhidmatan dan ketelusan didalam pentadbiran , negara hanya akan berjaya apabila dihuni oleh rakyat yang jujur dan amanah . Mengakhiri khutbah pada hari ini, maka mimbar ingin mengingatkan bahawa mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:

Pertama : Mereka tergolong didalam golongan yang beriman , takut kepada Allah SWT dan disebut didalam banyak ayat didalam Al Quran dan Assunnah sebagai golongan yang berjaya hidup mereka didunia dan diakhirat.

Kedua : Meningkatkan martabat dan kualiti organisasi serta warga pengurusan;

Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi gejala ini ; dan

Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang,puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya dari terlibat dengan najis wang haram dan menempah neraka.

Mimbar juga memberi amaran kepada pemakan dan pemberi rasuah bahawa anda menempah tempat dalam neraka dengan amalan dosa anda itu , kerana anda telah merompak harta negara yang merupakan milik rakyat jelata . Akibat memakan wang neraka itu sudah pasti rahmat Allah akan dijauhi dan laknat Rasulullah SAW akan menimpa anda . Akhirnya ,marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan , keikhlasan dan memenuhi amanah dengan penuh tanggungjawab bagi menghapuskan jenayah yang hina ini . Semoga dengan itu, iman kita terus bertambah dan amal soleh meningkat dan dapat memakmurkan bumi Allah dengan benihbenih kebaikan, serta menjadi golongan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ . اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.

 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah!! kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin ShahAl-Maghfur-lah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta seluruh kerabat diraja sekelian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B