Saturday, April 5, 2014

PERJUANGAN ISLAM DI MALAYSIA (TAJDID UNTUK KEMENANGAN)


1.0       MUKADDIMAH

Sejarah gerakan Islam menyaksikan pelbagai gerakan tajdid berlaku di seluruh alam Islam. Gerakan-gerakan ini dapat dilihat selepas perang dunia yang pertama (1916-1919) atau lebih khusus selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah (1924). Di Mesir telah muncul gerakan Ittiba’ Al Sunnah (1919) dan Ikhwanul Muslimin (1928). Sebelumnya ialah gerakan yang di pimpin oleh Syed Jamaludin Al afghani dan Syeikh Mohd Abduh. Di Indonesia, Parti Syarikat Islam (1909) dan di Tanah Melayu gerakan pembaharuan oleh Syed Sheikh Al Hadi (1918) dan gerakan Parti Syarikat Islam 1926. Di India gerakan oleh Sheikh Waliyullah Al Dahlawi dan mutakhir oleh Abul A’la Al Maududi. Di Malaysia, kebangkitan Islam secara teratur dan berterusan adalah di bawah gerakan PAS yang sehingga hari ini telah berlalu selama 62 tahun.
Meneliti liku-liku perjuangan PAS selama lebih enam dekad, penilaian seharusnya dilakukan dalam rangka meningkatkan lagi keupayaan PAS. Justeru kertas ini mengemukakan tiga tajuk perbincangan, iaitu Kejayaan Semasa PAS, Gerakan Kesedaran Baru dan Peranan tarbiyyah PAS. 

2.0       KEJAYAAN SEMASA

2.1        Sebagai sebuah gerakan Islam PAS telah berjaya mengemukakan alternatif bagi menyelesaikan permasalahan masyarakat dan ummah ke arah membangunkan  sebuah negara yang adil dan generasi yang bermaruah pada masa hadapan. Dato’ Sri Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS pernah menyebut seperti berikut: “Menjadi kewajipan kita Menarik keluar manusia daripada gelap kepada cerah. Gelap ini bermacam-macam; gelap riba, gelap rasuah, gelap seks, salah guna seks, salah guna kuasa dan bermacam-macam lagi. Kita sebagai gerakan Islam perlu menarik orang ini keluar supaya menuju kepada nur yang satu iaitu Islam” (Kelantan Universiti Politik Terbuka: 221).

            Tugas-tugas ini telah dijalankan dalam kerangka Muajahah Silmiyah yang dilakukan oleh PAS.

2.2       PAS telah berjaya membangunkan dasar institusi dan badan yang menjaga kepentingan ummat. Lembaga-lembaga ini telah berjaya menjana perubahan masyarakat dalam pelbagai bidang justeru PAS dapat menyusun tenaga kerja dalam masyarakat dan melaksanakan (tanfiz) ajaran Islam sekurang-kurangnya dalam bidang kemampuan PAS. Di antaranya ialah;

a)              Membangunkan di dalam negara ini sebuah jemaah Islam dan gerakan Islam.

b)              Membangunkan dasar-dasar di peringkat negeri seperti meminda undang-undang tubuh kerajaan Negeri Terengganu dengan meletakkan Al-Quran, Assunnah, Al-Ijma’ dan Al-Qias sebagai rujukan tertinggi (digazetkan pada 2003) dan meluluskan undang-undang jenayah bagi Negeri Kelantan

c)              Penubuhan institusi-institusi tarbiah dan pendidikan seperti ILHAM dan penubuhan institusi-institusi pendidikan bermula daripada peringkat pra-sekolah (PASTI), Penubuhan pasukan kerja Amal, Penubuhan institusi Latihan dan perkaderan (ILHAM), dan Pembangunan institusi ekonomi koperasi
d)             Membangunkan persatuan-persatuan (NGO) sebagai nukleus gerakan umat seperti penubuhan Institut amar makruf dan nahi mungkar atau Sukarelawan Pendidikan Rakyat (KAWAN)

2.3       Gerakan kebangkitan dan pembaharuan
a)         Gerakan pemulihan demokrasi (BERSIH) sudah diperjuangkan oleh PAS dan ternyata gerakan ini mendatangkan perubahan.
b)         Gerakan kebangkitan seperti ANAK dan PENDIDIK.
2.4       Menyemarakkan kepimpinan ulamak PAS sentiasa menyahut cabaran perjuangan dengan semangat dedikasi. Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) menyaksikan kegagalan komponen BN mempertahankan majoriti 2/3 di Parlimen. PAS telah memimpin sebuah perubahan untuk masyarakat majmuk dan menjadikan Islam berdaulat dalam negara ini.
2.5       Mendokong gerakan perpaduan umah; PAS telah memasuki pelbagai rundingan di peringkat  antarabangsa untuk penyatuan dan perpaduan umat dalam isu-isu Acheh, Afghanistan, Iraq, Yaman dan lain-lain. 
2.6       Membina jatidiri masyarakat melalui kepimpinan masjid dan kariah.

3.0       MEMIMPIN KEBANGKITAN

Semenjak lebih dua dekad mutakhir, Muktamar PAS membicarakan soal keperluan memimpin ummah melalui kaedah mujahah silmiyyah; kejayaan yang dicapai adalah setakat menguasai negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah dan bersama rakan pakatan di Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Dominasi UMNO ke atas orang Melayu masih belum dipecahkan. Sehubungan dengan itu maka sebuah gerakan kesedaran yang  baru (Tajdid) hendaklah dipelopori di peringkat akar umbi oleh PAS bagi menjayakan sebuah perubahan dalam masyrakat Melayu.

3.1       Tajdid Ijtima’i

Gerakan ini boleh diistilahkan sebagai Tajdid Ijtima’i. Iaitu sebuah gerakan kesedaran untuk menyatu padukan kekuatan Islam dan kekuatan demokrasi. Dalam mengungkap kepentingan tersebut, saya memetik Dr. Sidik Fadzil dalam bukunya ‘Islam dan Melayu’ seperti berikut;

‘Memang untuk merealisasikan aspirasi politik selamanya memerlukan kekuatan, terutama kekuatan kepimpinan. Dalam konteks Malaysia hari ini, kita memerlukan kepimpinan yang mampu memperjuangkan aspirasi politik masa kini: sebuah negara demokratik yang sejahtera, adil dan beradab berasaskan nilai-nilai luhur kemanusiaan dan keislaman. Kita memerlukan politik baru yang mengakomodasi kedua-dua arus besar: demokrasi dan islamisasi. Kedua-dua aspirasi tersebut tidak seharusnya dibiarkan bertembung dan berkonflik hancur-hancuran. Dalam menangani isu demokrasi dan Islam, pilihan kita bukan either...or, samada negara demokratik yang tidak Islamik, atau negara Islamik yang tidak demokratik. Yang harus di perjuangkan adalah sebuah negara demokratik yang sekaligus Islamik. Persoalan yang selalu di timbulkan, apakah dua kekuatan ini (demokratic force dan Islamic  force) dapat bertaut dan berganding secara harmonis? Titik pertemuan tetap ada, andainya sistem politik Islam dapat mengekalkan ciri dinamiknya, berkembang secara luas mengikut keperluan realiti zaman dan lingkungan, tidak membeku dalam bentuk tertentu; dan andainya demokrasi juga tidak di bekukan dalam definasi dan bentuk tertentu.

            Gerakan kesedaran ini atau Tajdid Itima’i seharusnya dapat dibangunkan melalui :-

a)                Gerakan Dakwah dan Pendidikan Masyarakat
b)          Gerakan Amar Makruf Dan Nahi Mungkar
c)          Gerakan Pemerkasaan sosial ekonomi ummat

3.2       Tajdid Haraki

Iaitu suatu gerakan tarbiyyah bagi mencapai matlamat di bawah ;

a)         Mengekalkan perpaduan melalui ikatan ukhwah islamiyah
b)         Mendaulatkan perjuangan Islam melalui kaedah amal jama’i
c)         Membangunkan saf kekuatan Islam dikalangan ummah di seluruh dunia

4.0       PERANAN TARBIYYAH

 4.1      Peranan PAS melahirkan para nuqaba’, para amilin dan para ansar.

PAS berusaha untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang mampu memimpin perancangan untuk menghasilkan gerak kerja sebelas perkara seperti yang dinyatakan dalam Fasal 6 perlembagaan PAS. Fasal-fasal ini menuntut PAS membangunkan assafwatul almukhtarah dalam setiap bidang kehidupan yang hendak digunakan oleh PAS dan dibangunkan bersama-sama Islam. Sebelas perkara ini dikira sebagai bidang-bidang kegiatan dalam kehidupan masyarakat di Malaysia yang mesti dipimpin oleh PAS menurut ajaran Islam. Pemimpin mestilah mengetahui sebaik-baiknya ajaran Islam dan tasawwur Islam dalam pembangunan bidang berkenaan agar ianya dapat dibudayakan secara Islam.

Persoalannya mengapa tarbiyyah? kerana tarbiyyah sahaja memampukan seseorang mempunyai kekuatan kerohanian dan keilmuan sehingga dia lahir sebagai seorang yang berilmu, berakhlak dan pandai bekerja. Dengan kata lain, peranan tarbiyyah itu ialah mengadunkan kemampuan ilmu akhlak dan kemahiran dalam diri sesorang manusia sehingga menjadi fakulti yang mampu memimpin dan menggerakkan orang lain untuk kemakmuran di muka bumi Allah dan mendapat keredhaan Allah di hari akhirat.

4.2       Aplikasi Tarbiyyah dalam aktiviti PAS

Ahli-ahli PAS seharusnya dapat memperolehi impak daripada semua kegiatan yang dilakukan. Sebagai contoh adalah seperti yang dikemukakan di bawah :-

PROGRAM
PENYERTAAN
HASIL
Kuliah Umum

Pemimpin, petugas, penyokong, ahli dan orang ramai
Pentakrifan Islam dan keilmuan

Usrah TAK
Semua ahli PAS (sesuai dengan peringkat masing-masing)
Memahami tarbiyyah diperingkat ta’rif , takwin dan tanfiz

Tamrin
Pimpinan/pekerja dan penyokong PAS
Pendisiplinan dan kemahiran

Kuliah Haraki
Pimpinan/pekerja dan ahli PAS
Pengukuhan kepada usrah dan tamrin

Liqa’ Fikri
Pimpinan, petugas dan penyokong
Pembinaan fikrah berjamaah dan keilmuan

Mukhayam
Pimpinan, petugas dan pendokong (mana yang berkenaan)
Pembudayaan hidup berjamaah dan

Kursus Kepimpinan Dan Organisasi
Petugas dan pendokong
Pembangunan sumber
Kursus Perguruan
Petugas dan pendokong
Pembangunan sumber

Lawatan Sambil Belajar/Ziarah
Pemimpin, petugas, pendokong/ahli

Pembangunan sumber


Kegiatan Khitabah Dan Imamah
Petugas
Pembangunan sumber
Himpunan
Pemimpin
Pembudayaan

Demontrasi
Pemimpin, petugas, penyokong, ahli dan orang ramai

Pembudayaan
Aktiviti NGO
Pemimpin, pekerja dan penyokong dan orang ramai
Program perlaksanaan ta’rif , takwin dan tanfiz (TAK)

                                                                             

5.0             HARAPAN
Semoga program yang diadakan ini akan menjana pembangunan sumber manusia melalui kaedah tarbiah islamiah PAS demi meninggikan Islam dan mencari keredhaan Allah SWT

 



Kertas ini disediakan untuk program Liqo’ul Fikr Air Kuning Perak pada 4 April 2014 Oleh Ustaz Dato’ Hj. Abu Bakar Bin Chik, (Timbalan Pengerusi Lajnah PAS Pusat)


No comments:

Post a Comment