bersama kepimpinan ulamak




Tuesday, October 23, 2012

KHUTBAH JUMAAT - 26 OKTOBER 2012 / 10 ZULHIJJAH 1433H



KEGAWATAN DI PADANG MAHSYAR

Khutbah Pertama 

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah! 

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang ditegah-Nya.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Padang Arafah merupakan tempat berhimpunnya umat Islam ketika melaksakakan ibadah haji. Menurut Imam an-Nawawi di dalam kitabnya al-Idhah fi Manasik al-Hajj wal Umrah, (الإيضاح في مناسك الحج والعمرة), Wukuf di padang Arafah bermula daripada gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga keluar fajar sadiq pada hari raya, sesiapa yang berada di Arafah walaupun satu lahzah (sedetik), maka sah wuqufnya dan dikira memperolehi ibadah haji. Antara hikmah berada di padang Arafah adalah untuk merasai sendiri detik-detik berkumpulnya umat manusia dari seluruh pelosok dunia kerana menyahut seruan Allah Taala untuk melakukan ibadah haji.

Di Arafah kita akan bersesak-sesak dengan umat manusia yang datang dari setiap sudut dunia ini, meninggalkan segala kekayaan dan kemewahan hanya semata-mata menyahut seruan Allah Taala. Kita menghuni di padang yang penuh dengan kekurangan dan kedaifan. Arafah akan memberi gambaran dan pengalaman kepada kita, tentang perhimpunan seluruh umat manusia setelah berakhirnya usia dunia ini.

Apabila Malaikat Israfil meniup sangkakala buat pertama kali, seluruh dunia, mahu pun alam ini akan hancur. Langit dan yang ada di dalamnya akan jatuh gugur ke bumi, bukit-bukau dan gunung ganang akan hancur menyembah bumi dan debu-debunya berterbangan di angkasa raya, air lautan akan bergelora memuntahkan seluruh isinya. Umat manusia pada ketika itu, kehilangan arah mencari tempat untuk menyelamatkan diri. Tiada yang akan hidup pada ketika itu melainkan makhluk yang diizinkan oleh Allah. 

Kedahsyatan kiamat ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah at-Takwir ayat 1-3:

إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ ﴿١﴾  وَإِذَا النُّجُومُ انكَدَرَتْ  ﴿٢﴾  وَإِذَا الْجِبَالُ سُيِّرَتْ   ﴿٣﴾ – سورة التکوير 

Maksudnya: "Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)."

Apabila sangkakala ditiup buat kali kedua, manusia akan dibangkitkan semula, dihalau dan dikumpulkan di suatu tempat yang dikenali sebagai "Padang Mahsyar". Manusia tidak ubah seperti binatang ternak yang keluar dari kandangnya, atau seperti kanak-kanak yang baru lahir, dengan keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa pakaian. Kegawatan di Padang Mahsyar mengakibatkan manusia terlupa yang dirinya tidak berpakaian kerana masing-masing sibuk memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing.

Sidang Jumaat Sekalian,

Digambarkan juga suasana hiruk-pikuk dan kucar-kacir yang menyelubungi manusia ketika berada "di bumi al-Mahsyar", masing-masing sibuk dengan hal tersendiri. Ada yang berjalan, ada yang merangkak-rangkak dan bermacam-macam lagi dalam suasana panas cahaya matahari yang berada hanya sejengkal di atas kepala manusia pada masa itu. Ada sesetengah manusia ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk bergantung kepada tahap amalan semasa di dunia. 

Ketika sedang terlalu dahaga, datang malaikat Zabaniah membawa air untuk ahli Mahsyar. Pada mulanya ahli Mahsyar amat gembira tetapi malangnya air itu tersangat panas sehingga apabila mangkuk air itu didekatkan ke bibir maka daging bibir itu luruh berguguran kerana air terlalu panas. Perit derita di alam Mahsyar itu kita akan merasakan terlalu lama berada di situ. Kedengaran tangis dan keluhan yang tidak henti-henti mengharapkan belas ehsan daripada tuhan. Namun mereka tetap dalam keadaan membisu tanpa sepatah kata, tidak tahu hendak mengadu kepada siapa. Kita pada ketika itu mencari-cari pertolongan dan bantuan untuk menyelamatkan kita daripada huru hara kiamat di padang Mahsyar.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Ketika sedang berada di padang Mahsyar dalam keadaan kelam kabut, tidak tentu arah, manusia akan ditanya oleh Allah tentang empat perkara. Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ

Tidak akan berganjak seseorang hamba pada hari kiamat sehingga ia ditanya tentang umurnya di mana ia habiskannya, tentang ilmunya pada apa yang ia lakukannya, tentang hartanya daripada mana ia perolehi dan di mana ia membelanjakannya dan tentang tubuhnya kepada apa ia gunakan. (Hadith Riwayat At-Tirmizi)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Berdasarkan hadith di atas, kita mesti menjawab dan menghisab 4 persoalan yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita, iaitu :-

1. Umur : umur kita makin hari makin meningkat. Adakah kita membiarkan sahaja umur kita berlalu begitu sahaja, atau adakah kita telah menggunakan umur kita untuk berkorban demi agama Allah ini?

2. Ilmu : Apakah ilmu yang kita perolehi telah kita amalkan sepenuhnya. Adakah amal kita bertepatan dengan kehendak al-Quran dan al-Sunnah atau pun tidak?

3. Harta benda : Terlalu banyak kurniaan yang Allah telah berikan kepada kita. Apakah ianya diperolehi dari sumber yang halal. Adakah kita telah gunakan harta kita untuk membeli kesenangan kepada kita, atau membeli kesenangan kepada agama Allah ini?

4. Tubuh badan : kita semua akan merasai, sedang merasai dan sudah merasai tubuh badan yang sihat. Adakah kita telah dan akan menggunakan tubuh badan kita untuk melakukan kebajikan dan amal soleh, atau kita hanya menggunakannya untuk perkara sia-sia dan tidak bermanfaat kepada agama ini?

Inilah persoalan-persoalan yang perlu kita jawab dan selesaikan. Supaya nanti kita mempunyai jawapan apabila ditanya oleh Allah di padang Mahsyar. Apabila kita mampu menjawab soalan-soalan ini di atas dunia ini, maka sudah pasti kita mampu untuk menjawabnya di padang Mahsyar kelak dan mengetahui tempat manakah yang sepatutnya kita berada, setelah kita berada di Padang Mahsyar?

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْءآنِ الْعَظِيْمِ ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.



Khutbah Kedua


اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا ﴿١﴾ وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا ﴿٢﴾ وَقَالَ الْإِنسَانُ مَا لَهَا ﴿٣﴾ يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا ﴿٤﴾ بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَىٰ لَهَا ﴿٥﴾ يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ ﴿٦﴾ فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ﴿٨﴾ – سورة الزلزلة


1. Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
2. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
3. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa Yang sudah terjadi kepada bumi?"
4. Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya:
5. Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).
6. Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
7. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
8. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ الاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ . اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ رَسَوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ . فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتـُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dapat disimpulkan daripada khutbah pertama tadi, bahawa setiap yang hidup akan bertemu dengan Allah Taala, untuk dihisab amal perbuatan yang dilakukan di atas dunia. Setiap amalan baik atau buruk, walaupun sebesar zarah akan diadili dengan seadil-adilnya oleh Allah Taala. Manusia yang melakukan kebaikan akan diberikan nikmat syurga. Manakala manusia yang melakukan keburukan dan kerosakan di dunia ini, akan diazab dengan azab seksaan yang pedih. 

Oleh itu, marilah kita melakukan amal perbuatan yang boleh menyelamatkan kita daripada huru hara hari kiamat. Sebagaimana yang dinyatakan dalam khutbah pertama dengan menjawab 4 soalan terlebih dahulu sebelum kita ditanya di padang Mahsyar iaitu tentang umurnya di mana ia habiskannya, tentang ilmunya pada apa yang ia lakukannya, tentang hartanya daripada mana ia perolehi dan di mana ia membelanjakannya dan tentang tubuhnya kepada apa ia gunakan.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ 
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا
مِنْ كِلاَبِكَ 
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف
عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ 
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lama sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B