bersama kepimpinan ulamak




Thursday, September 8, 2011

Khutbah Jumaat 11 Syawal 1432 H / 9 September 2011

(11 Syawal 1432 H / 9 September 2011)  

MANUSIA RABBANI ATAU RAMADHANI
 
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ القَائِلِ

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا شَفَاعَةٌ وَلَا يُؤْخَذُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ ﴿٤٨﴾

Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab) dan tidak diterima syafaat daripadanya dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan. (Al-Baqarah : 48)


أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ نَّبِيِّ الرَّحْمَةِ، وَشَفِيْعِ اْلأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ، وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
 
Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, 

Suasana sambutan hari raya masih begitu terasa dengan pelbagai cara sambutannya termasuk rumah terbuka silih berganti bagi meraikan anugerah hari raya oleh Allah setelah sebulan melalui ujian hawa nafsu dalam tarbiah Ramadhan. Marilah kita sama-sama menghitung diri samada tarbiah sebulan Ramadhan telah mampu menundukkan hawa nafsu atau kita yang semakin tunduk pada hawa nafsu dan syaitan. Apakah masjid dan surau masih meriah sebagaimana sebulan Ramadhan atau kembali menantikan pengunjung dari masa ke semasa. Apakah amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersolat witir dan sebagainya semakin bertambah, terus istiqamah atau semakin lemah. Apakah kita semakin menjaga makan minum kita agar tidak bercampur dengan yang haram atau syubhat sebagaimana kita bertahan meninggalkan makanan dan minuman yang halal sebulan Ramadhan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
 

Sebagai meneruskan usaha dalam melahirkan kita sebagai hamba Allah yang taat sepanjang tahun bukan setakat menjadi hamba Ramadhan yang baik pada bulan Ramadhan sahaja maka marilah kita sama-sama menunaikan puasa sunat 6 hari bulan Syawal. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ - رواه مسلم
 
Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.

Dalam hadis yang lain riwayat Abu Said Al-Khudri r.a berkata, Rasulullah saw bersabda:


مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا - رواه البخاري
 
Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka sejauh 70 tahun perjalanan.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sesuai dengan sambutan hari raya pada tahun ini dalam susana sambutan hari Kemerdekaan negara kali ke-54 maka marilah kita sama-sama melihat perbezaan ketara antara dua golongan yang menyambut dua perayaan ini. Golongan pertama disebut sebagai golongan Rabbani (رَباَّنِي) yang berjaya dalam tarbiah Ramadhan akan menyambut hari raya penuh kesyukuran dan menjadikannya sebagai landasan untuk mentaati Allah sedangkan golongan kedua disebut sebagai golongan Ramadhani (رَمَضَانِي) yang gagal dalam tarbiah Ramadhan biasanya akan memenuhi hari raya mereka dengan hanya melempiaskan kegembiraan semata-mata. Golongan yang gagal adalah mereka yang hanya tahu bergembira dalam menyambut hari raya dan kemerdekaan Negara. Mereka menzahirkan keseronokan dengan sambutan yang melambangkan kebebasan secara mutlak sehingga membebaskan diri dari terikat dengan hukum hakam Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Penjajahan sesebuah bangsa dan negara kebanyakannya mempunyai agenda tesembunyi yang disebut sebagai 3G iaitu God, Glory dan Gold. Mereka menjadikan God iaitu Tuhan atau agama sebagai matlamat menyebarkan agama mereka. Mereka meletakkan Glory iaitu kemasyhuran bagi menaikkan nama dan jati diri bangsa mereka. Mereka juga menjadikan Gold iaitu kekayaan dengan mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan mereka. Penjajahan ke atas Tanah Melayu bukan sekadar meruntuhkan Empayar Kesultanan Melayu dan membesarkan empayar mereka. Penjajahan ke atas Tanah Melayu bukan sekadar merompak kekayaan bumi kita untuk membangunkan tamadun kita. Penjajahan ke atas Tanah Melayu telah meruntuhkan ketuanan Islam di Negara ini. Penjajahan telah meruntuhkan jati diri sebahagian besar Umat Islam di Negara ini. Penjajahan telah menjadikan umat Islam terlalu asing dengan Islam dan hukum hakamnya. Keutamaan kita hari ini bukan lagi bagi mempertahankan Islam malah terhadap bangsa, keturunan, kelompok dan sebagainya. Saudara dan sahabat baik kita bukan lagi umat Islam dan mereka yang bertaqwa, tetapi kita lebih banyak bertolak ansur dengan orang bukan Islam berbanding sesama sendiri.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, 

  Setiap kali tarikh kemerdekaan menjelma, isu komunis sentiasa dijaja di setiap pelusuk Negara. Dosa dan kezaliman komunis sentiasa diingat-ingatkan seolah-olah hanya merekalah sahaja musuh dan pengkhianat Negara. Sebenarnya sebahagian kita telah melupakan dosa-dosa penjajah dan kesan buruk dari penjajahan mereka. Dosa dan kezaliman penjajah seolah-olah dilupakan dari lipatan sejarah. Kita menjadi mangsa penjajah yang secara halus menjadikan kita bangsa yang lemah dan mudah mengalah.Kita menjadi mangsa penjajah yang telah menjadikan kita bangsa yang dianggap hina dan merempat di bumi sendiri. Dosa penjajah tidak harus kita lupakan begitu sahaja. Fitnah dan pembunuhan mereka terhadap pejuang kemerdekaan kita belum pernah terbalas. Kejahatan mereka tidak pernah mereka diakui oleh mereka dan tidak ada ungkapan kemaafan yang telah mereka lafazkan. Hasil rompakan mereka belum pernah ada yang dipulangkan.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jika kita membenci penjajah, maka apa perlunya kita mengikut cara hidup ciptaan penjajah. Jika kita sedar kejahatan penjajah, apa perlunya kita mengagungkan undang-undang dan peraturan penjajah. Kita telah merdeka dan bebas menentukan cara hidup kita dan terserahlah kepada kita untuk membuat pilihan. Apakah kita terus bersorak bahawa kita bangsa yang merdeka sedangkan kita pemikiran dan perasaan kita masih tunduk kepada ketentuan penjajah ataupun kita mahu membebaskan diri kita seluruhnya mengikut kehendak dan cita rasa kita. Cita rasa golongan Rabbani (رَباَّنِي) hanyalah cara hidup Islam. Kita tidak cukup sekadar hanya melafazkan kemerdekaan semata-mata , tetapi hendaklah mengisi kemerdekaan tersebut dengan kehendak Ilahi. Islamkanlah sambutan hari kemerdekaan Negara kita agar kemerdekaan ini benar-benar menjadi tanda kesyukuran kita. Semoga ianya tidak menjadikan kita leka dan akhirnya kemerdekaan ini akan direntap kembali oleh Allah daripada kita tanpa kita sedari. Firman Allah dalam ayat 97-99 surah al-A’araf :

أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ ﴿٩٧﴾ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَىٰ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ ﴿٩٨﴾ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩٩﴾
 
Patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.
 
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ


Nota : Anda juga boleh memuat turun teks asal khutbah ini dari laman www.4shared.com. Klik sini.




 

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B