Friday, July 20, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 7 ZULQAEDAH 1439 / 20 JULAI 2018


BERTAUBAT SEBELUM TERLAMBAT

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
۞ قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ ﴿٥٣﴾ (Surah Az-Zumar ayat 53)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdirinya khatib di sini, ingin berpesan kepada diri sendiri dan hadirin yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian; bersama-samalah kita memperbaiki serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, Tuhan pemilik sekalian alam, yakni bersungguh-sungguh melaksanakan segala titah perintah-Nya dan beriltizam meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat kebaikan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Bertaubat Sebelum Terlambat".

Saudara-saudaraku yang dikasihi Allah,

Manusia sering leka dan lalai. Manusia juga sering terperangkap dalam kesilapan, dosa dan kemungkaran yang dilakukannya sendiri. Manusia selalu terjerat dalam langkahnya yang sumbang. Itulah manusia. Allah sentiasa memberikan peringatan kepada hamba-hamba-Nya tentang kelemahan diri mereka sebagai manusia dan menggariskan panduan atau cara terbaik untuk mereka mengawal diri, perasaan serta tingkah laku. Begitu juga dengan cara menyucikan jiwa. Allah juga turut menegaskan bahawa setiap manusia akan menerima balasan daripada apa yang mereka usahakan dalam kehidupan mereka di dunia ini. Justeru mereka amat perlu berhati-hati dan memastikan agar sentiasa memilih jalan yang benar.

Sebagai manusia biasa, agak sukar bagi kita mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Dalam erti kata yang lain, tiada seorang pun dari kalangan kita yang tidak melakukan dosa. Perbezaannya cuma bagaimanakah sikap kita setelah berbuat dosa. Adakah kita segera bertaubat atau melengah-lengahkannya. Firman Allah s.w.t dalam Al-Jumu'ah ayat 8:

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿٨﴾

Bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah lakukan (serta menerima balasannya)".

Para tetamu Allah yang diberkati,

Kotoran yang kelihatan secara zahir boleh dibersihkan dengan mudah. Pakaian yang kotor, pinggan mangkuk yang tidak bersih, semuanya mampu dibersihkan dengan bahan pencuci sahaja. Namun, bagaimana pula dengan kekotoran yang terpalit dalam hati kita? Segala dosa dan noda yang kita lakukan akan menjadi kotoran yang menghitamkan hati. Hanya taubat sahajalah yang mampu menyucikan segala kekotoran di dalam hati kita.

Sememangnya benar bahawa pintu taubat dibuka seluas-luasnya oleh Allah s.w.t buat semua hamba-Nya. Namun perlu diingat, kesempatan untuk kita bertaubat akan tamat apabila nyawa kita telah sampai ke halkum. Persoalannya, adakah kita tahu bila nyawa kita ini akan berakhir? Bilakah peluang terakhir untuk kita memohon taubat kepada Allah s.w.t? Rebutlah peluang kemurahan kasih sayang Allah menerima taubat hamba-Nya sepertimana dinyatakan di dalam hadits yang diriwayatkan daripada Saiyidina Abu Musa Al-Asy'ari r.a:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah Ta'ala menghamparkan rahmatnya (bersedia menerima taubat) pada waktu malam agar orang yang melakukan kejahatan pada waktu siang bertaubat; dan Allah menghamparkan rahmatnya (bersedia menerima taubat) pada waktu siang agar orang yang melakukan kejahatan pada waktu malam bertaubat; sehinggalah matahari terbit dari barat". (Hadits riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi hati yang dipenuhi keinsafan, sudah tentu tidak mahu berterusan berada dalam keadaan berdosa, sepanjang waktu berusaha mencari jalan membersihkan diri dengan bertaubat supaya dapat beralih daripada kegelapan kepada cahaya hidayah. Bertaubat adalah suruhan Allah dan amalan rutin Rasulullah s.a.w yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah-lengah. Malangnya suruhan ini dipandang sepi dengan alasan, "masa masih panjang lagi". Alasan ini dangkal dan tiada berasas kerana taubat bukan khusus untuk golongan tua yang kononnya dianggap "rumah kata pergi, kubur kata mari". Walhal kematian itu tidak pernah mengenal usia. Persoalannya, apakah kita boleh hidup hingga usia tua? Adakah malaikat 'Izrail akan membuat temu janji terlebih dahulu dengan kita? Sesungguhnya orang yang sengaja melambat-lambatkan bertaubat akan berdepan dengan dua bahaya besar, iaitu:

Pertama: Hatinya menjadi keras dan gelap. Sukar untuk menerima nasihat dan kebenaran. Inilah akibat perbuatan maksiat dilakukan kepada Allah sehingga menjadi sangat susah untuk mengikis dan menghapuskannya.

Kedua: Maut dalam kemurkaan Allah. Kematian datang sebelum sempat ia bertaubat, lalu ia menemui Allah s.w.t dalam keadaan hatinya penuh dosa dan pasti menyeretnya kepada suasana hidup yang tidak selamat di akhirat nanti.

Oleh itu, apabila menyedari telah melakukan dosa, maka bersegeralah memohon ampun kepada Allah s.w.t dengan bertaubat. Orang yang bertaubat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh hendaklah yakin Allah s.w.t pasti menerima taubatnya.

Kita merasakan kematian masih terlalu jauh dari kita, sebab itulah kita tidak bersegera bertaubat. Kita bimbang akan kembali kepada dosa sedangkan kita tidak pernah tahu penghujung usia. Sekiranya tidak bermula dengan taubat, masihkah ada kesempatan untuk kita terus hidup sama ada atas jalan kebaikan atau kembali kepada dosa? Hal ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam Surah Fatir ayat 37:

وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ ۚ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ ۖ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِن نَّصِيرٍ ﴿٣٧﴾

Bermaksud: "Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini), kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (Lalu Allah menempelak mereka): Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberi masa yang cukup untuk berfikir dan beringat pada-Nya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul (Kami) yang memberi amaran. Maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolong pun".

Saudara-saudaraku yang dirahmati Allah,

Ayuh segeralah kita bertaubat. Jangan ditangguh lagi. Bimbang tiada lagi kesempatan untuk kita di kala ajal tiba. Sesungguhnya perbuatan bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t merupakan sebahagian daripada persiapan dalam menghadapi hari pembalasan.

Justeru, marilah kita jadikan amalan segera bertaubat secara istiqamah sebagai rutin kehidupan kita. Jangan biarkan hari kita berlalu tanpa sebarang penyesalan dan permohonan taubat kepada Allah. Mudah-mudahan taubat kita diterima oleh Allah s.w.t. Oleh itu, sebelum malaikat maut diutus oleh Allah s.w.t menemui kita, hayatilah kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari yang mulia ini:

Pertama: Tiada alasan untuk kita menjawab di hadapan Allah s.w.t nanti dengan mengatakan kita tidak tahu, terlupa atau tidak sedar kerana semua amalan dan maksiat akan dicatat dan dihisab walau sebesar zarah.

Kedua: Hanya dengan taubat nasuha sahajalah yang akan membersihkan kita daripada segala noda dan dosa yang telah dilakukan seterusnya memperoleh keampunan Allah s.w.t.

Ketiga: Taubat hendaklah dilakukan dengan segera dan istiqamah sebaik sahaja tersedar telah melakukan dosa, kerana ajal mungkin berkunjung tiba di kala lafaz taubat belum sempat dipinta.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua memelihara aqidah supaya tidak menyimpang daripada aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Janganlah kita berpecah belah akibat daripada aqidah dan fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang telah disepakati oleh para ulamak yang menjadi teras perpaduan kita umat Islam selama ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar juga menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment