Friday, January 12, 2018

KHUTBAH JUMAAT - 24 RABI'UL AKHIR 1439 / 12 JANUARI 2018


SEMANGAT JIHAD PELAJAR

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٩﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad); Apakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran". (Surah A-Zumar Ayat 9)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Semangat Jihad Pelajar".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita telah memasuki tahun 2018. Maka bermulalah perjalanan baru dalam tahun ini. Bercakap mengenai tahun baharu, apabila kita diizinkan oleh Allah s.w.t untuk terus hidup, marilah kita menginsafi segala dosa-dosa yang pernah kita lakukan sebelum ini. Bukanlah menyambut tahun baharu dengan rasa ghairah dan gembira hingga leka, serta turut sama menyertai pesta-pesta yang berunsur maksiat seperti percampuran antara lelaki dan perempuan dengan disertai hiburan melampau yang ditegah oleh syarak. Ini semua mengundang kemurkaan Allah s.w.t semata-mata. Maka, mimbar menyeru agar kita kembali bertaubat kepada-Nya dengan sebenar-benar taubat agar Allah tidak menimpakan bala bencana kepada kita sepertimana umat yang terdahulu. Kita seharusnya sedar, saat-saat kematian yang semakin hampir dengan kita dan ingatlah, makin meningkat umur kita, makin dekat juga kematian dengan kita semua. Kematian yang pasti ini datang tanpa diundang dan akan datang pada bila-bila masa sama ada kita bersedia ataupun tidak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sesi persekolahan para pelajar telah pun bermula. Dalam meneruskan tanggungjawab mereka dalam mencari ilmu pengetahuan, sesebuah negara yang menitik beratkan soal masa depan sudah tentu sangat mengambil berat isu pendidikan generasi yang bakal mengganti generasi sedia ada. Anak-anak ini di samping berbekalkan pakaian yang baru, juga perlu dibekalkan dengan semangat baru untuk bersungguh-sungguh pada sesi pembelajaran yang baru.

Kecemerlangan yang merupakan perkataan keramat bagi ibu bapa, guru dan sekolah, perlu diistilahkan semula pemahamannya agar kecemerlangan yang diburu tidak tersasar. Kecemerlangan yang sebenar ialah cemerlang di dunia dan di akhirat. Kecemerlangan di dunia sebagai jambatan mencapai kecemerlangan hakiki di akhirat. Sepertimana doa yang sering kita ungkapkan berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 201:

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ﴿٢٠١﴾

Maksudnya: "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa; Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka".

Dunia ini adalah medan ujian bagi manusia manakala akhirat adalah medan kita dibalas atas prestasi ujian tersebut. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Mulk Ayat 2:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ ﴿٢﴾

Maksudnya: "(Dialah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun".

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Di samping mengejar kecemerlangan yang ditanda dengan pencapaian cemerlang di dalam peperiksaan, anak-anak kita juga mesti diusahakan agar juga cemerlang akhlaknya, cemerlang ibadahnya adn cemerlang sebagai insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara. Boleh membaca, cekap mengira, mampu berfikir aras tinggi adalah sesuatu tanda kejayaan anak-anak kita. Namun jika mereka tidak mampu membaca Al-Quran, gagal menghitung dosa dan pahala, berfikir aras tinggi yang negatif adalah simptom gagal memahami istilah kecemerlangan yang sebenar. Sesuai sepertimana laungan azan, 'haiya 'alas sholah' , 'haiya 'alal falah' saban waktu yang mengingatkan kita akan kepentingan mencapai kejayaan secara seimbang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanamkan dalam jiwa anak-anak kita untuk mewakafkan kejayaan akademik mereka nanti demi kebangkitan Islam dan umatnya. Biasakan kepada mereka slogan "mumtaz lil ummah" yakni kecemerlangan untuk ummah. Naikkan semangat mereka agar menjadi umat yang mengembalikan kegemilangan ilmuan dan kemajuan Islam. Kaitkan dan tunjukkan kepada mereka keadaan umat Islam hari ini dalam keadaan sangat lemah serba serbinya bertujuan untuk membakar semangat dan mengubah keadaan sedia ada kepada yang lebih baik. Marilah kita menggembeling tenaga dan fikrah anak-anak kita agar dapat belajar sehingga menjadi pakar di dalam pelbagai bidang termasuk bidang sains dan teknologi supaya dapat menyumbang untuk ketamadunan Islam era moden.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekalian,

Semua kejayaan di atas menjadi sia-sia sekiranya tanpa adab dan akhlak. Perkembangan mutakhir yang berlaku di negara kita menuntut supaya perlu diulang-ulangkan selalu kewajipan menjaga adab antara murid dan guru. Akhir tahun 2017 dicemari dengan konflik yang berlaku antara guru dan murid sehingga melibatkan mahkamah, polis dan sebagainya.

Di dalam Islam unsur keberkatan adalah elemen penting di dalam menuntut ilmu. Oleh kerana itu, memang terbukti di hadapan kita, lahir dari sebuah sekolah, kualiti murid yang berbeza-beza walaupun mempunyai sukatan, buku teks, para guru dan kelengkapan sekolah yang sama. Ini disebabkan unsur keberkatan ilmu yang juga memainkan peranan di dalam membezakan pencapaian murid. Jangan sampai berlaku biadap kepada guru sehingga hilang keberkatan ilmu dan hilang keberkatan dalam kehidupan. Jika ada perkara yang tidak memuaskan hati salurkanlah kepada pihak berkenaan melalui saluran yang betul dan apa juga permasalahan hendaklah diselesaikan secara perundingan supaya salah sangka tidak berlaku. Ibu bapa mestilah menjalinkan hubungan baik dengan para guru dan pihak pentadbiran sekolah anak-anak. Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) hendaklah menjadi jambatan penghubung antara anak-anak, guru-guru dan ibu bapa.

Sidang Jumaat sekalian,

Masyarakat sekeliling dengan segala institusinya seperti masjid dan sebagainya boleh turut sama menyumbang dalam proses kemenjadian generasi pewaris ini. Syeikh Fathi Yakan menegaskan bahawa tiga institusi ini bersama-sama mendidik, memantau dan memberikan perhatian kepada anak-anak ini dengan baik maka kita bakal melahirkan generasi akan datang yang cemerlang dan berkualiti tinggi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, supaya kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w daripada Anas bin Malik r.a:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ

Bermaksud: "Barangsiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment