Friday, December 15, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 26 RABI'UL AWWAL 1439 / 15 DISEMBER 2017


MEMPERTAHANKAN BAITUL MUQADDIS

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَقَضَيْنَا إِلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا ﴿٤﴾

Maksudnya: "Dan Kami katakan kepada Bani Israil dalam kitab itu; Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau-lampau". (Surah Al-Israk Ayat 4)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap dan melakukan perbuatan sia-sia sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang; "Mempertahankan Baitul Muqaddis".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Baitul Muqaddis adalah salah satu daripada tiga tempat yang paling suci buat umat Islam. Ia juga dikenali dengan gelaran Al-Quds As-Syarif yakni tempat yang suci. Untuk memahami kesucian bandar ini, maka seseorang itu perlu memahami terlebih dahulu tiga prinsip asas yang menjadi struktur iman di dalam Islam iaitu percaya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah yakni tauhid; percaya bahawa petunjuk Ilahi disampaikan menerusi rasul-rasul dan nabi-nabi-Nya yang terpilih iaitu risalah; dan percaya bahawa wujudnya kehidupan selepas mati yakni akhirat, hari pembalasan dan syurga serta neraka.

Dalam konteks mempertahankan Baitul Muqaddis, prinsip yang kedua mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen kita terhadapnya. Perlu diketahui bahawa kesucian bandar ini menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamannya. Ya, bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah s.w.t. Di situlah mereka menerima wahyu Allah s.w.t secara berulang-ulang.

Jika Makkah dan Madinah adalah bandar-bandar yang diberkati di dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Nabi Muhammad s.a.w, maka Baitul Muqaddis juga sedemikian. Lebih penting lagi perkaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Daud a.s, Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Isa a.s.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Berdasarkan kepada status agama dan teologi, Baitul Muqaddis menduduki tempat yang sangat istimewa di dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Di sinilah baginda s.a.w sewaktu ketika dahulu berdiri mengerjakan solat dengan menghadap ke arah Baitul Muqaddis. Malahan di sini jugalah tempat terakhir perjalanan israk baginda s.a.w sebelum naik bermikraj ke langit. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Israk Ayat 1:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾

Maksudnya: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Selepas melalui semua peristiwa ini, Nabi Muhammad s.a.w kembali ke Makkah. Peristiwa Al-Israk dan Al-Mikraj penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan sehingga ramai para pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair-penyair telah membuat pelbagai tafsiran secara mendalam dan berbeza-beza. Bagaimana pun, satu kesimpulan penting ialah Baitul Muqaddis menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap muslim.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan pengumuman pemimpin Amerika Syarikat yang memerlukan pentadbirannya mengiktiraf Baitul Muqaddis sebagai 'ibu kota' Israel. Hakikatnya, tindakan ini tidak lain adalah untuk menyampaikan hasrat bangsa yahudi israel dalam merampas kembali Baitul Muqaddis daripada milik umat Islam Palestin bahkan milik kita umat Islam seluruhnya.

Dalam konteks ini,tindakan tersebut dilihat sesuatu yang tidak tepat dan ia jelas salah dari sudut norma dan sistem perundangan yang ada. Malah ini boleh dianggap sebagai suatu bentuk rampasan serta jajahan selain mencabuli hak-hak asasi kemanusiaan demi melebarkan lagi kekuasaannya. Ini mengingatkan khatib akan firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Israk Ayat 4:

وَقَضَيْنَا إِلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا ﴿٤﴾

Maksudnya: "Dan Kami katakan kepada Bani Israil dalam kitab itu; Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau-lampau". 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kerosakan yang pertama dilakukan oleh bangsa ini ialah mereka melakukan kekejaman dan kehancuran dengan mengkhianati perjanjian yang telah dibuat, bahkan sanggup pula membunuh para rasul dan nabi yang diutuskan oleh Allah s.w.t. Manakala kerosakan kedua terkandung di dalam firman Allah s.w.t pada Surah Al-Israk Ayat 6:


ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَاكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَاكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا ﴿٦﴾

Maksudnya: "Kemudian Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepadamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya".

Menurut tafsiran Dr. Fadhal Hassan Abbas, seorang pensyarah di Universiti Jordan di dalam kitabnya tentang Al-Israk dan Al-Mikraj bahawa kerosakan kedua ini disokong dengan 4 perkaraiaitu:

1. Bangsa yahudi akan mendapat sebuah negara untuk tempat tinggal yakni Baitul Muqaddis.
2. Kedudukan ekonominya kukuh.
3. Keturunannya ramai, dan
4. Pasukan tenteranya juga ramai.

Justeru, hari ini mereka tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan Baitul Muqaddis sebagai pusat pentadbiran negara mereka bahkan bakal menjadi pusat pentadbiran dunia bagi bangsa yahudi.

Sebagai tanda protes kita tergadap keadaan ini, maka semua umat Islam perlu bersatu suara dan tegas untuk memastikan bumi Baitul Muqaddis terus terpelihara maruahnya. Kini ia bukan lagi menjadi perjuangan rakyat Palestin tetapi menjadi tanggungjawab semua umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia. Kita bimbang, jika ia terus berlaku, akan tercetus radikalisme dan ekstrimisme baharu yang lebih besar dan mengakibatkan ancaman keselamatan yang lebih buruk di seluruh dunia.

Untuk itu, bagi memastikan hasrat ini tercapai, mimbar yang mulia ini ingin menegaskan kepada semua umat Islam di negara ini agar tidak terbawa-bawa dengan perlakuan yang mazmumah sehingga mendatangkan kemudharatan kepada pihak lain. Sebaliknya, marilah kita bersama-sama bertindak dengan akal yang waras dan berpandu kepada ajaran Islam yang suka kepada kedamaian dan kesatuan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Justeru, kita perlu tegas dan berpegang denga satu gagasan yang mempunyai dasar yang jelas, strategi yang tuntas yang akan membawa Malaysia ke arah yang lebih dinamik, maju serta berdaya saing berpaksikan maqasid syariyyah di samping melaksanakan pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan. Mudah-mudahan negara ini beroleh keamanan, kebahagiaan, kemakmuran, kesejahteraan dan mencapai kejayaan sebagai :

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar yang imgin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Baitul Muqaddis mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen umat Islam terhadapnya.
Kedua: Baitul Muqaddis menjadi satu contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap muslim.
Ketiga: Tindakan menceroboh tanah Baitul Muqaddis merupakan suatu bentuk rampasan serta jajahan yang mencabul hak kemanusiaan.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits Muttafaqun 'alaih)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurnikanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, kurniakanlah kekuatan dan kebijaksanaan serta keadilan kepada para pentadbir zakat, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


No comments:

Post a Comment