Thursday, August 10, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 18 ZULQAEDAH 1438 / 11 OGOS 2017



HIKMAH UJIAN ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ لِلْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ حَتَّى اَتَاهُ الْيَقِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ:
أُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَوَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.
يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ [سورة آل عمران : ١٠٢] 

Wahai hamba-hamba Allah,

Saya berpesan kepada diri kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertaqwa kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah.

Wahai orang-orang yang beriman,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwanya dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan kamu adalah orang-orang Islam.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah bersama-sama kita merenung firman Allah s.w.t di dalam Al-Quranul Karim dan mengambil pengiktibaran daripadanya:

الٓمٓ ﴿١﴾ أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ ﴿٣﴾ [سورة العنکبوت : ٣-١] 

(Maksudnya): Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Di antara ketetapan Allah s.w.t yang berlaku kepada umat Islam adalah ujian-ujian yang ditentukan oleh Allah s.w.t berlakunya di dalam kehidupan ini yang mempunyai hikmah-hikmah yang sangat besar di sisi Allah s.w.t.

Di antara hikmah-hikmah itu adalah Allah s.w.t mahu mengangkat darjat dan kedudukan seseorang itu di sisi Allah s.w.t dengan lebih tinggi sebagaimana yang telah berlaku kepada Ulul 'Azmi daripada kalangan nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus sholatuwas salam iaitu Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi 'Isa dan Nabi Muhammad Asholatu wassalam. Nabi-nabi yang digelar oleh Allah s.w.t sebagai Ulul 'Azmi mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain kerana mereka merupakan nabi-nabi yang paling baik diuji dan cuba oleh Allah s.w.t.

Nabi Ibrahim a.s digelar sebagai Khalilur Rahman. Nabi Musa a.s dianugerahkan oleh Allah s.w.t untuk bertutur dengan-Nya. Begitu juga nabi 'Isa a.s dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan kelebihan-kelebihan. Dan sudah tentulah lebih-lebih lagi nabi kita Muhammad s.a.w yang menjadi penghulu kepada nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus sholatuwas salam.

Di antara hikmah-hikmah daripada ujian Allah s.w.t di dalam kehidupan ini adalah Allah s.w.t mahu melihat siapakah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang paling baik amalannya di sisi Allah s.w.t. Firman Allah Ta'ala:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ ﴿٢﴾ [سورة الملک : ٢] 

(Maksudnya): Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Di antara hikmah-hikmah itu jug adalah Allah s.w.t mahu menapis dalam kalangan umat Islam mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan mereka yang berbohong dengan keimanan mereka, sebagaimana ujian yang berlaku di dalam peperangan Ahzab yang disertai oleh Nabi s.a.w. Allah s.w.t menyatakan di dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا ۚ وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا ﴿٩﴾ إِذْ جَاءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا ﴿١٠﴾ [سورة الأحزاب : ١٠-٩] 

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.

Allah s.w.t berfirman menyatakan ujian di dalam peperangan Ahzab ini adalah menzahirkan orang-orang munafik yang wujud di dalam masyarakat bersama-sama dengan Nabi s.a.w. Setelah berlakunya peperangan tersebut, maka jelaslah siapa yang benar-benar bersama dengan Nabi s.a.w dan siapakah yang berbohong dengan keimanan yang ada di dalam diri mereka.

Ini adalah sebahagian daripada hikmah ujian-ujian yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t berlaku kepada umat ini. Untuk menjadikan kita umat Islam memuhasabah daripada ujian-ujian yang berlaku ini supaya kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah s.w.t dan memperelokkan amalan masing-masing untuk menjadi hamba-hamba Allah yang hampir dan dekat dengan-Nya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾ [سورة العصر : ٣-١] 

(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh di muat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment