Friday, May 19, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 22 SYA'ABAN 1438 / 19 MEI 2017


KESATUAN KUNCI KEKUATAN UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلَّا أُمَّةً وَاحِدَةً فَاخْتَلَفُوا ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ ﴿١٩﴾

Bermaksud: "Dan tidaklah manusia pada mulanya melainkan umat yang satu, kemudian mereka berselisih. Dan kalaulah tidak kerana ketetapan yang telah terdahulu dari Tuhanmu, tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka mengenai apa yang mereka perselisihkan itu". (Surah Yunus Ayat 19)

اَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَرِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Umat Islam hari ini berhadapan dengan pelbagai rintangan di saat dunia semakin mengenjak usianya seperti yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Saban hari, golongan yang membenci Islam terus menjalankan perancangan untuk menghapuskan Islam. Usaha mereka ini bukan sahaja terbatas kepada tindakan berbentuk ketenteraan, malah dalam bentuk pengaruh terhadap perlakuan dan cara hidup umat Islam.

Di samping itu, umat Islam juga tidak terlepas dari usaha mensabotaj agama mereka sendiri. Apa yang membimbangkan mimbar, situasi ini lebih berbahaya kerana menjadi duri dalam daging yang merosakkan kewibawaan pegangan ahlus sunnah wal jama'ah secara senyap-senyap dan halus. Bagi menghalang ancaman ini menjadi lebih serius, umat Islam perlulah menghindarkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat kesatuan ummah yang menjadi dasar hidup ahlus sunnah wal jama'ah di negara ini.

Ingatlah, jika umat Islam mulai hilang erti dan rasa "umat yang satu", maka akan lahirlah suasana tegang, membangkitkan pertelingkahan dan mencetuskan perpecahan yang amat ketara sekali. Bukankah Allah s.w.t telah mengutuskan para rasul-Nya seorang demi seorang sejak dari Nabi Adam 'alaihissalam, Nabi Nuh 'alaihissalam sehinggalah kepada nabi terakhir Muhammad s.a.w untuk menyampaikan ajaran Allah dan memberi penjelasan berkaitan masalah perselisihan di antara sesama manusia melalui Al-Quran yang membawa kebenaran.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Krisis nilai di kalangan umat Islam pada hari ini sememangnya perlu diberi perhatian mendalam. Alangkah baiknya jika kita sentiasa terdorong kepada jalan kebaikan sesuai dengan ketinggian Islam yang lengkap dalam memandu kehidupan. Adapun perselisihan bukan sahaja menyingkap kejahilan diri, malah membongkar perasaan dengki sehingga terhijab daripada mendapat hidayah Allah s.w.t dalam menerima kebenaran untuk menyelesaikan permasalahan. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-Imran Ayat 86:

كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا بَعْدَ إِيمَانِهِمْ وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ وَجَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿٨٦﴾

Bermaksud: "Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada kaum yang zalim".

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang pelik jika manusia suka berselisih faham kecuali mereka yang dikurniakan rahmat oleh Allah s.w.t. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah s.w.t dalam Surah Hud Ayat 118 dan 119:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ﴿١١٨﴾ إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَ‌ٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ ﴿١١٩﴾

Bermaksud: "Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu (mereka bersatu di dalam agama Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)".

Sesungguhnya kesan perselisihan antara manusia akan menyebabkan lahirnya pelbagai aliran dan pegangan hidup yang baharu. Justeru, rahmat Allah s..w.t sahaja dapat menyelamatkan kita dari kesan negatif perselisihan dan membawa kepada kesatuan ummah di atas jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Islam bukanlah agama perselisihan dan perpecahan, malah Islam amat menganjurkan nilai kasih sayang sesama manusia. Untuk itu, umat Islam perlulah menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan kesucian nama Islam dan mencari jalan yang penuh berhikmah dan kebijaksanaan untuk mencari penyelesaian atas apa-apa permasalahan umat yang berlaku.

Lantaran itu, Islam menganjurkan umatnya supaya hidup dalam satu jamaah, bermuafakat, bertoleransi serta mendokong prinsip kedamaian. Manusia sebagai khalifah memikul tugas berat dalam memakmurkan dunia ini berlandaskan prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam Islam. Justeru, Islam sama sekali melarang kezaliman, pencerobohan, pengkhianatan, penindasan, pembunuhan serta pemusnahan harta benda.

Menurut Ibnul Qayyim rahimahullah; Sesungguhnya syariat agama Islam itu ditegakkan atas dasar kebijaksanaan dan kemashlahatan, maka setiap persoalan hidup yang keluar daripada batas-batas keadilan dan kebijaksanaan akan membawa kepada ketidak adilan dan keburukan, kekejaman dan permasalahan lain, maka yang demikian bukanlah dari syariat Allah, meskipun dengan secara takwil, sebab syariat adalah keadilan Allah ke atas hamba-Nya dan rahmat serta kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.

Melihat kepada ancaman-ancaman yang dihadapi umat Islam hari ini, mimbar ingin menyimpulkan bahawa umat Islam perlu segera memperbetulkan kefahaman terhadap pegangan ahlus sunnah wal jama'ah supaya kewibawaan Islam sebagai satu Ad-Din yang suci dapat terus dipertahankan. Paling penting kita perlu mengetahui dengan sejelas-jelasnya bahawa kesatuan merupakan kunci kekuatan ummah.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita. Antaranya:

Pertama: Kesatuan ummah dan menghentikan perselisihan sesama umat Islam kunci utama kekuatan ummah dan ahlus sunnah wal jama'ah.

Kedua: Kesatuan ummah meleburkan sifat taksub dalam kalangan masyarakat Islam.

Ketiga: Konsep persaudaraan yang berteraskan ikatan rabbani menjadi asas dan instrumen yang efektif kepada perpaduan umat Islam.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anbiya' Ayat 92 dan 93:

إِنَّ هَـٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ ﴿٩٢﴾ وَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ ۖ كُلٌّ إِلَيْنَا رَاجِعُونَ ﴿٩٣﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku. (Kebanyakan manusia masih berselisihan) dan berpecah belah dalam agama mereka, (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada Kami (untuk menerima balasan)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada bagi memakmurkan rumah-rumah Allah dengan melakukan ibadah dan amal soleh secara istiqamah terutama solat fardhu berjamaah serta mendidik hati kita berasa risau dan resah apabila berjauhan dengan masjid. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat perlindungan Allah s.w.t di hari kiamat kelak seperti mana sabda Rasulullah s.a.w:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

Bermaksud: "Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Laman Web Rasmi Jabatan Agama Islam Perak. Klik sini - http://jaipk.perak.gov.my/component/phocadownload/category/60-mei-2017#


No comments:

Post a Comment