Thursday, April 13, 2017

KHUTBAH JUMAAT - 17 REJAB 1438 / 14 APRIL 2017


PEMUDA HEBAT NEGARA SEJAHTERA

Khutbah Pertama

إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى:
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤﴾ 

Bermaksud: "Kami ceritakan kepadamu hal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka semasa mereka bangun lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi, kami tidak akan menyembah tuhan yang lain selain-Nya, jika tidak bermakna kami memperkatakan sesuatu yang jauh dari kebenaran". (Surah Al-Khaf Ayat 13-14)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita perbaiki diri dengan meningkatkkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Pemuda Hebat Negara Sejahtera".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendapat berita-berita yang negatif tentang generasi muda. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin, masalah adab yang sering dikaitkan dengan mereka. Hal ini menyebabkan kerisauan dan keresahan ibu bapa pada hari ini. Generasi muda hari ini adalah penentu masa depan negara. Menurut Professor Doktor Yusuf Al-Qardhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor masakini berkata: "Apabila kita hendak melihat keadaan masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, sudah pasti negara kita masa akan datang adalah negara yang aman makmur "Baldatun Toiyibatun Wa Robbun Ghofur". Akan tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku".

Sidang jamaah yang berbahagia,

Dalam usaha kita mencari jalan untuk membina dan membangunkan generasi muda hari ini, ia perlu mendapat perhatian yang serius dari semua pihak sama ada dari kerajaan mahupun rakyat. Namun begitu, jangan usaha itu hanya ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk di tangga atau berbentuk tindakan secara bermusim.

Ingatlah, bahawa peranan dan tanggungjawab belia pada hari ini adalah sangat penting dalam menjana pembangunan negara, bangsa dan agama. Peranan belia pada hari ini bukan sekadar membina kerjaya atau melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang dan hobi sahaja tetapi golongan belia sepatutnya turut sama menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan modal insan supaya menjadi bangsa dan agama yang dihormati dan disegani di persada dunia.

Orang muda Islam hari ini sepatutnya bukan lagi hanya menjadi penonton atau pemain simpanan sahaja, tetapi haruslah bersiap sedia untuk menjadi pemain uatama dalam membawa umat untuk memimpin tamadun dunia dan menjadi umat contoh, terutamanya ketika imej agama Islam yang digambarkan dalam keadaan buruk. Gambaran buruk imej Islam hari ini semestinya diperbetulkan melalui kekuatan ilmu, iman, akhlak, kekuatan peribadi, intelek, ekonomi, pemikiran dan kebudayaan generasi muda pada hari ini.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Peranan generasi muda sememangnya terserlah dalam sejarah manusia itu sendiri. Golongan muda seharusnya menjadi pencetus kepada kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia bermula bertapak di Makkah sehingga berkembang ke Madinah, golongan mudalah yang banyak memainkan peranan utama seperti sahabat Rasulullah s.a.w yang setia berjuang dan berjihad menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Jika kita melihat nama-nama besar seperti Saiyidina Utsman, Saiyidina 'Ali, 'Abdurrahman bin Auf, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan ramai lagi sahabat-sahabat yang menjadi pendokong utama dan jentera pemuda penggerak pembinaan ketamadunan Islam. Sejarah juga pernah menyaksikan kehebatan Usamah bin Zaid, walaupun masih berusia 17 tahun tetapi mampu memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga kehebatan Muhammad Al-Fateh yang telah membuka Kota Konstantinopel (Istanbul) ketika usianya masih 21 tahun.

Begitu juga kisah "Ashabul Ukhdud", seorang kanak-kanak yang mempertahankan aqidahnya dengan menolak paksaan ahli sihir raja, supaya mengakui bahawa raja adalah tuhan. Namun, telah dilakukan beberapa kali percubaan untuk membunuhnya dengan menolaknya dari bukit yang tinggi dan melemparkannya ke laut, semuanya tidak berjaya sehinggalah kanak-kanak itu sendiri mencadangkan supaya dipanggil pemanah yang mahir dengan syarat melafazkan "Bismillahi Robbil Ghulam", yang bermaksud "Dengan nama Allah, Tuhan kanak-kanak itu", pada ketika melepaskan anak panahnya barulah ia menemui ajalnya. Tiba-tiba orang ramai yang berkumpul menyaksikan peristiwa tersebut dan melaungkan "Kami Beriman Dengan Tuhan Kanak-Kanak Itu".

Ringkasnya, peranan utama warga muda muslim hari ini ialah:

1. Menjadi hamba Allah yang bertaqwa di atas muka bumi ini.

2. Bertanggungjawab membina dan membangun diri dari segi intelektual, rohani, jasmani dan emosi.

3. Menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup yang sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup.

4. Mencegah dan menghalang segala kemaksiatan dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.

5. Menjadi pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani masyarakat dunia.

Saudara kaum muslimin,

Dalam dunia yang serba moden dan kemajuan dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak berlaku kebanjiran budaya negatif yang melanda negara di seluruh dunia. Pemuda hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalah gunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme iaitu berhibur secara keterlaluan, terjebak dalam perzinaan dan melakukan seks bebas, ketagihan dadah dan rokok, judi, arak, bahan porno (lucah) dan banyak lagi penyakit sosial yang amat membimbangkan kita.

Mana mungkin generasi muda yang mengamalkan gaya hidup sebegini mampu untuk memikul amanah sebagai pemimpin yang mengurus dan mentadbir serta menjamin kedaulatan negara dan kesucian agama Islam? Tentunya kegusaran ini turut dirasa dan dikongsi oleh semua generasi pewaris hari ini. Justeru, marilah kita sama-sama berganding bahu, bekerjasama dan bertanggung jawab membina anak bangsa kita dengan acuan dan cara hidup sihat yang berteraskan ajaran Islam yang suci ini. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Tahrim Ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar, tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Sidang jamaah yang budiman,

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, mari kita mengambil pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan, antaranya:

1. Pemuda Islam hendaklah meningkatkan iman, akhlak dan peribadi mulia kerana ianya merupakan aset penting dan penyelamat kepada sesebuah negara.

2. Ibu bapa dan pemimpin masyarakat hendaklah berusaha meningkatkan imej dan keperibadian para pemuda dengan menyediakan pendidikan dan bimbingan yang sempurna.

3. Pemuda Islam hendaklah menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang kurang sihat seperti budaya berhibur berlebihan, berpoya-poya, pergaulan bebas, ajaran sesat dan gerakan ekstrim yang boleh menghancurkan remaja pada masa depan.

4. Pemuda hari ini hendaklah mendekatkan diri dengan institusi-institusi Islam seperti masjid dan surau serta berusaha melibatkan diri dalam pengimarahannya.

5. Masyarakat dan pemimpin perlu mendekati pemuda dengan membimbing dan menaruh kepercayaan kepada belia untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang positif untuk membangunkan agama dan masyarakat.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Kahf Ayat 10:

إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا ﴿١٠﴾

Bermaksud: "Ingatlah ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،   اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah seluruh kaum muslimin dan muslimat serta berilah rasa tanggungjawab dalam diri kami ini untuk melaksanakan perintah-Mu dan berikanlah kebencian kepada kami terhadap larangan-Mu. Ya Allah, didikkanlah diri kami ini untuk mendirikan solat fardhu secara berjamaah, mengeluarkan zakat dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah yang lain. Kurniakanlah kepada kami nikmat yang berpanjangan , kesihatan yang berkekalan, hati yang khusyuk serta penuh keikhlasan dalam melakukan amal kebaikan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Laman Web Rasmi Jabatan Agama Islam Perak. Klik sini - http://jaipk.perak.gov.my/component/phocadownload/category/59-april-2017



No comments:

Post a Comment