Friday, March 24, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 25 JAMADIL AKHIR 1438 / 24 MAC 2017


TAHUN-TAHUN YANG MENGGODA

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدَ الْحَامِدِينِ، وَحَمْدَ الشَّاكِرِينِ، وَحَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِي مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأَمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأَمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami peringatan daripada Rasulullah s.a.w:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ [رواه ابن ماجه]

(Maksudnya): Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Al-Ruwaibidhoh berbicara. Ada yang bertanya, apa yang dimaksud Al-Ruwaibidhoh? Baginda menjawab: Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.

Tahun-tahun yang menggoda itu ditafsirkan oleh para ulamak dengan musim-musim yang menggoda seperti panas yang tidak menentu, sejuk yang tidak menentu, hujan ribut yang tidak menentu, berlakunya perubahan cuaca dan musim dalam kehidupan manusia dengan sebab manusia merosakkan muka bumi dan kehidupan diri dan alam sekeliling.

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿٢٩﴾ [سورة البقرة : ٢٩]

(Maksudnya): Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Apa-apa yang ada di bumi adalah ciptaan Allah s.w.t. Allah s.w.t meletakkan manusia untuk memakmurkan bumi dengan sifat kejadian mereka yang tidak ada pada makhluk lain.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً [سورة البقرة : ٣٠]

(Maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". 

Khalifah dengan makna menegakkan agama Allah s.w.t dan mengurus dunia dengan agama Allah s.w.t. Manusia mengurus kehidupan mereka tidak lagi mengikut syariat Allah s.w.t. Mereka mengurus harta di bumi tidak lagi nmengikut syariat Allah s.w.t. Mereka haloba mencari harta atas nama pembangunan dengan merosakkan hutan rimba belantara, bukit bukau, gunung ganang, sungai dan sebagainya. Mereka berperang di antara satu sama lain kerana tamak haloba dengan mencipta alat-alat senjata yang memusnahkan diri mereka sendiri serta menyebabkan muka bumi menjadi rosak dan punah dengan sebab kerja tangan-tangan mereka sendiri.

Seterusnya manusia itu mengkhianati amanah. Firman Allah Ta'ala:

۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾ [سورة النساء : ٥٨]

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Menghukum itu adalah dengan syariat Allah s.w.t yang Adil dan Rahmah. Diserahkan kepada manusia memilih pemimpin-pemimpin yang menghukum dengan syariat Allah s.w.t yang adil kepada manusia. Apabila memilih pemimpin tidak lagi mengikut adab-adab dan syariat Allah s.w.t, malah mereka memilih pemimpin kerana harta, pangkat, kedudukan, kesenangan dan kerana dunia, maka berlakulah khianat. Lahirnya pengkhianat-pengkhianat manusia sendiri yang mengkhianati terhadap diri mereka sendiri.

Seterusnya dimain-mainkan hukum Allah s.w.t yang terkandung di dalam Al-Quran dan hadits, tidak lagi dengan amanah ilmu. Kita menyaksikan betapa para khulafak dan ulamak pemimpin di zaman dahulu cermat mengkaji kitab Allah s.w.t dan sunnah Nabi s.a.w, berijtihad di dalam hukum-hukum yang tidak ada nas dengan penuh akhlak, bukan mengikut selera hawa nafsu, yang menjadikan manusia mempermain-mainkan agama sehingga mereka yang jahil agama bercakap tentang agama, perkara agama yang besar yang berkait dengan umat diucapkan oleh mereka yang bebal. Maka berlakulah kerosakan di dalam kehidupan manusia.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾ [سورة الروم : ٤١]

(Maksudnya): Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMOWNIa252ZllLQUU

No comments:

Post a Comment