Friday, January 27, 2017

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 28 RABIUL AKHIR 1438 / 27 JANUARI 2017


PENGARUH SERANGAN PEMIKIRAN


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ  الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُۥ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ ﴿١٠٠﴾ وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ آيَاتُ اللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُ ۗ وَمَن يَعْتَصِم بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ ﴿١٠١﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ 

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus). Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam". (Surah Ali-'Imran Ayat 100 hingga 102)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memperingati genapnya seratus tahun Perjanjian Lausanne, perjanjian yang dimeterai di antara kuasa-kuasa besar dunia pada tahun 1916 untuk membatalkan Khilafah Islamiyyah (pemerintahan Islam). Selepasnya dilaksanakan Perjanjian Sykes Picot, yang memecah belahkan jajahan takluk Kerajaan Uthmaniyyah untuk dibahagikan kepada kuasa-kuasa penjajah.

Kejatuhan umat Islam apabila mereka mengalami kelemahan, setelah mereka meninggalkan ajaran Islam secara menyeluruhnya. Allah s.w.t memerintah mereka supaya berpegang kepada seluruh ajaran Islam. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 208:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya,  dan janganlah kamu turut  langkah-langkah syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagimu". 

Apabila penjajah barat yang telah menakluk negeri-negeri umat Islam yang jauh daripada pusat kerajaan Islam, di Afrika dan Asia, mereka terus mendapat tentangan daripada umat Islam walaupun dalam keadaan yang lemah. Melalui kajian-kajian orientalis, orang-orang yang ditugaskan oleh mereka untuk mengkaji punca kekuatan jati diri umat Islam adalah berpegang dengan ajaran Islam. Mereka menukar pendekatan ataupun cara, bukan sahaja melalui ketenteraan, menggunakan senjata moden dipunyai oleh mereka, mereka menambah dengan serangan pemikiran melalui ilmu, pendidikan dan kebudayaan mempengaruhi umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Umat Islam yang terpengaruh dengan kemajuan kebendaan yang dicapai oleh barat, walaupun kemajuan itu diambil daripada tamaddun Islam, mereka mengambil ilmu-ilmu duniawi dan mereka meninggalkan syari'at Islam. Umat Islam yang terpengaruh dengan kemajuan duniawi, meninggalkan ilmu syari'at Islam. Maka menularlah pengaruh barat ke dalam masyarakat Islam yang menimbulkan berbagai-bagai fahaman khususnya fahaman yang memecahkan umat Islam, semangat kebangsaan dan kaum masing-masing, meninggalkan hukum-hukum Islam yang berkait dengan urusan duniawi.

Sebab turunnya ayat yang dibacakan tadi berkenaan orang-orang yahudi di zaman Nabi s.a.w yang telah berjaya meniupkan api permusuhan zaman jahiliyyah yang telah dipadamkan oleh Islam, di antara Aus dan Khazraj, dua kabilah yang tinggal di Madinah. Mereka berdamai setelah menjadi penganut Islam, dan bersaudara di antara satu sama lain. Apabila orang-orang yahudimembangkitkan semangat kabilah zaman jahiliyyah, mereka menjadi syaitan manusia yang menipu umat Islam. Ada kalangan pemuda-pemuda Islam yang terpengaruh, memuja pahlawan kabilah masing-masing yang hampir mencetuskan peperangan.

Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat yang dibacakan tadi bagi mengingatkan generasi awal umat Islam supaya jangan terpengaruh dengan hasutan Ahlul Kitab kaum yahudi. Sebaik sahaja mereka mendengar ayat Al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w, mereka bertaubat dan bersatu semula.

Para ulamak tafsir menyatakan:

الْعِبْرَةُ بِعُمُوْمِ الْلَفْظِ لَا بِخُصُوْصِ السَّبَبِ

Maksudnya: "Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus".

Al-Quran ada هُدَى لَّلنَّاسِ (petunjuk kepada manusia) sehingga hari kiamat. Al-Quran adalah mukjizat ilmu sehingga hari kiamat.

Apabila umat Islam di zaman mutaakhir jahil dan buta Al-Quran menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan hasutan serangan pemikiran penjajah yang menimbulkan fahaman kebangsaan masing-masing, kembali kepada zaman jahiliyyah kaum masing-masing, mengamalkan teori dan ideologi ciptaan manusia, menggantikan hidayah Allah s.w.t.

Hasilnya bukan sahaja umat Islam menjadi lemah dan hanyut, tetapi dalam masa yang sama mereka berpecah di antara satu sama lain menyebabkan mereka tidak lagi mendokong pemerintahan Islam yang berpusat di Istanbul. Orang-orang arab atas semangat kebangsaan menentang Turki, termasuklah kaum yang lain turut menentang sama. Turki pula dengan semangat kebangsaannya menentang kaum yang lain.

Timbul perpecahan dalam kalangan umat Islam itu kita alami penyakitnya sehingga hari ini. Maka tidak ada ubat bagi mengembalikan semula 'izzah (kemuliaan) umat Islam melainkan menurut apa yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t.

Amirul mukminin 'Umar ibnu Al-Khattab r.a pernah mengingatkan kepada umat Islam ketika menyaksikan pembukaan Baitul Muqaddis menegaskan:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.

Maksudnya: "Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain darinya nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah".

Mudah-mudahan kita kembali ke pangkal jalan dan bertaubat. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Ali-'Imran Ayat 200:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٢٠٠﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي الْكِتَابِ وَالسُنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.



Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari Google Drive. Klik sini - https://drive.google.com/open?id=0B_U6Muz3zhXMd1Nrbks2S0tVbnM

No comments:

Post a Comment