Friday, November 11, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 11 SAFAR 1438 / 11 NOVEMBER 2016


ADA APA DENGAN BENCANA?

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، خَلَقَ الْكَوْنَ بِقُدْرَتِهِ، وَدَبَّرَ الْأُمُوْرَ بِحِكْمَتِهِ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَالِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، اِتَّقُوْا اللهَ! اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.   

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang jamaah sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengaan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk, "Ada Apa Dengan Bencana?"

Hadirin yang dirahmati Allah,

Al-Quran telah membahagikan bencana kepada dua kategori iaitu bencana alam dan bencana bukan alam. Mari kita renung kategori bencana alam antaranya: 

1. Gempa bumi yang telah mengenai kaum Nabi Syu'aib عليه السلام dalam Surah Al-A'araf Ayat 90 dan 91:

وَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ لَئِنِ اتَّبَعْتُمْ شُعَيْبًا إِنَّكُمْ إِذًا لَّخَاسِرُونَ ﴿٩٠﴾ فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِي دَارِهِمْ جَاثِمِينَ ﴿٩١﴾

Bermaksud: "Dan berkatalah pula ketua-ketua yang kafir daripada kaum Nabi Syu'aib (kepada orang ramai); Sesungguhnya jika kamu mengikut Syu'aib nescaya kamu dengan perbuatan yang demikian menjadilah orang yang rugi. Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing".

2. Bencana banjir. Allah سبحانه وتعالى berfirman dalam Surah Al-'Ankabut Ayat 14:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ ﴿١٤﴾

Bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun , akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan (banjir) sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka)".

3. Tsunami dinyatakan dalam Surah At-Takwir Ayat 6:

وَإِذَا الْبِحَارُ سُجِّرَتْ ﴿٦﴾

Bermaksud: "Dan apabila lautan meluap-luap bercampur baur".

Dalam Surah berikutnya Allah سبحانه وتعالى berfirman lagi dalam Surah Al-Infitar Ayat 3:

وَإِذَا الْبِحَارُ فُجِّرَتْ ﴿٣﴾

Bermaksud:  "Dan apabila lautan pecah bercampur baur".

4. Kemarau pula Allah سبحانه وتعالى menyatakan mengenainya pada zaman Nabi Yusuf عليه السلام  dalam Surah Yusuf Ayat 48:

ثُمَّ يَأْتِي مِن بَعْدِ ذَ‌ٰلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تُحْصِنُونَ ﴿٤٨﴾

Bermaksud: "Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)".

Sidang jamaah yang berbahagia,

Al-Quran juga menyentuh mengenai bencana bukan alam seperti berikut: 

1. Kesengajaan atau kejahatan manusia berdasarkan Surah Ar-Rum Ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

2. Wabak penyakit. Ia telah dijelaskan di dalam Surah Al-A'araf Ayat 133:

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ ﴿١٣٣﴾

Bermaksud: "Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda-tanda bukti jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka".

3. Keganasan pula di dalam Surah Al-Maidah Ayat 33:

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿٣٣﴾

Bermaksud: "Hanyasanya balasan orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas) atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas) atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar".

Saudara kaum muslimin,

Bumi Malaysia juga tidak terlepas ditimpa bencana besar antaranya rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang telah menggugat keharmonian perpaduan negara akibat perbalahan politik. Tambahan pula, banjir pada tahun penghujung 2014 adalah yang terburuk dalam sejarah banjir di Malaysia dengan mencatatkan lebih 300,000 orang dipindahkan. Gempa bumi di gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 pula mengorbankan 18 orang pendaki. Dengan rentetan dan siri bencana yang tidak disangka yang telah menyebabkan banyak nyawa yang hilang serta kerugian harta benda. Oleh itu, kerajaan telah menubuhkan agensi pengurusan bencana negara di bawah Jabatan Perdana Menteri hasil daripada keputusan jamaah menteri dalam mesyuaratnya pada 26 Ogos 2015 untuk meningkatkan kesiap siagaan dalam menghadapi bencana yang bakal berlaku.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Pada pertengahan bulan September yang lalu, fenomena air pasang besar turut berlaku di negara kita. Sebanyak empat buah negeri menerima kesan daripada fenomena ini. Hakikatnya fenomena air pasang besar ini akan berlaku setiap bulan. Namun begitu, apa yang membimbangkan kita apabila ia berlaku dengan peningkatan paras air laut yang tinggi. Ini menyebabkan berlakunya banjir terutamanya di kawasan-kawasan berhampiran laut dan pantai.

Ramalan daripada Jabatan Hidrologi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) juga menunjukkan fenomena air pasang besar yang begitu ekstrim ini akan berlaku lagi pada pertengahan bulan Oktober dan November. Keadaan ini dibimbangi akan menjadi lebih buruk jika berlaku pertembungan dengan musim tengkujuh yang turut diramal bermula pada bulan November hingga Januari 2017.

Oleh itu, Malaysia telah mengambil inisiatif bagi mendidik rakyat dan masyarakat supaya sentiasa bersedia jika berlaku apa-apa bencana termasuk dari segi perpindahan ke pusat pemindahan, persediaan sebelum menghadapi bencana dan sebagainya. Segala persiapan perlu bermula dari peringkat akar umbi supaya pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar. Manakala agensi-agensi keselamatan serta NGO perlu membuat persiapan rapi bagi memberi perkhidmatan semasa bencana.

Saudara kaum muslimin yang dihormati sekalian,

Apabila berbicara tentang bencana, ingatlah! Bahawa yang paling dahsyat apabila tibanya kiamat. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Zalzalah Ayat 1 hingga 8:

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا ﴿١﴾ وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا ﴿٢﴾ وَقَالَ الْإِنسَانُ مَا لَهَا ﴿٣﴾ يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا ﴿٤﴾ بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَىٰ لَهَا ﴿٥﴾ يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ ﴿٦﴾ فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ﴿٨﴾ 

Bermaksud: "Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); Apa yang sudah terjadi kepada bumi? Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya. Bahawa Tuhanmu telah memerintahkannya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab: Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru marilah sama-sama kita menunaikan solat-solat fardhu secara berjamaah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu adalah lebih baik daripada solat solat secara bersendirian sepertimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً.

Bermaksud: "Daripada 'Abdullah bin 'Umar رضي الله عنهما, telah menceritakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: Solat berjamaah lebih utama dua puluh tujuh bahagian daripada solat bersendirian". (Muttafaqun 'alaih)

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا

Bermaksud: "Seandainya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam Solatul 'Atamah (yakni solat Isyak) dan Subuh, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak". (Hadith riwayat Al-Bukhari)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ. اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment