bersama kepimpinan ulamak




Friday, February 19, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 10 JAMADIL AWWAL 2437 / 19 FEBRUARI 2016



PERANAN PENDIDIKAN ISLAM DI DALAM MEMPERBAIKI MASYARAKAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ، وَجَعَلَ الْعِلْمَ وَنُوْرًا يُضِئُ الْبَصَائِرَـ أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، جَعَلَ الْقُرْآنَ وَسِيْلَةً لِكَسْبِ الْعِلْمِ وَالْمعْرِفَةَ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، بَعَثَهُ اللهُ رَحْمَةً لِلْعَلَمِيْنَ يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِـ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُوْنَ الْقَوْل، فَيَتَّبِعُوْنَ أَحْسَنَهُ، أُوْلَئِكَ الَّذِيْنَ هَدَاهُمُ الله، وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوْا الْأَلْبَابِ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ، قَالَ اللهُ تَعَالَى: 
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٩﴾

Ayat yang dibacakan tadi dipetik dari Surah Az-Zumar Ayat 9 yang bermaksud: "Katakanlah; Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan apa yang menjadi kesamaran dan kekeliruan kepada kita, akan dapat diterangkan dengan ilmu pengetahuan. Kerana hanya dengan ilmu sahajalah kita dapat membezakan di antara yang baik dengan yang buruk, di antara yang berakhlak dengan yang jahat, di antara yang benar dengan yang batil. Semoga kita tergolong di kalangan orang-orang yang mendapat hidayah Allah di dunia ini serta mendapat keampunan dan dikurniakan oleh Allah dengan nikmat syurga-Nya di akhirat. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah; "Peranan Pendidikan Islam Di Dalam Memperbaiki Akhlak Masyarakat".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya ilmu pengetahuan adalah suatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Oleh sebab itu, Allah سبحانه وتعالى telah mewajibkan kita menuntut ilmu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمِيْنَ

Bermaksud: "Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap Muslim".

Islam telah menetapkan bahawa ilmu agama adalah ilmu yang paling utama untuk dipelajari. Menurut Syeikh Muhammad Al-Khidhir Hussain di dalam kitabnya As-Sa'adah al-'Uzma berkata: "Bahawa adalah suatu kebodohan dan dianggap sebagai tidak mempunyai perasaan bagi seorang bapa yang sanggup melihat anaknya meningkat dewasa tanpa ada bekal sedikitpun dari ilmu agama yang disuntikkan ke dalam pemikiran anaknya, bagi menempuh kehidupan di dunia ini. Sesungguhnya pendidikan agama itu akan mencorakkan diri seseorang anak menjadi manusia yang sebenarnya".

Kaum Muslimin yang berbahagia,

Islam telah mengingatkan umatnya, mengenai pentingnya ilmu agama atau ilmu pendidikan Islam itu sebagai satu-satunya cara di dalam memelihara akhlak dan peribadi mulia. Melalui pendidikan Islam, umat Islam tidak dibenarkan sama sekali melakukan sebarang bentuk kemungkaran, kemaksiatan, perkara keji dan seumpamanya kerana ia merupakan perbuatan-perbuatan yang merosakkan nilai akhlak manusia. Sesungguhnya para Nabi dan Rasul yang mulia telah diutuskan oleh Allah untuk mendidik umat manusia dengan manhaj pendidikan Islam agar umat mereka memiliki akhlak yang mulia dan sentiasa beramal dengannya. Sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Ibrahim Ayat 4:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ فَيُضِلُّ اللَّهُ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ﴿٤﴾

Bermaksud: "Dan Kami tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Sejak akhir-akhir ini sebahagian umat Islam di negara kita cenderung memilih pendidikan Islam sebagai pilihan utama dalam pendidikan anak-anak. Ini adalah kerana persepsi ibu bapa telah berubah. Pada hari ini ibu bapa mempunyai suatu kesedaran, bahawa hanya dengan pendidikan agama sahajalah anak-anak mereka selamat daripada terjerumus ke kancah maksiat dan kejahatan.

Kebanjiran anak-anak orang Islam di sekolah agama ini juga adalah berpunca daripada pemerhatian masyarakat kepada kejayaan anak-anak mereka yang belajar di sekolah agama di dalam peperiksaan. Begitu juga dengan kemenjadian anak-anak di dalam bidang masing-masing yang menjadikan mereka manusia berjaya di dalam hidup mereka.

Perubahan set minda di kalangan ibu bapa ini dapat kita ketahui melalui pemerhatian yang dibuat iaitu wujudnya peningkatan yang banyak terhadap permintaan ibu bapa untuk memasukkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama, baik yang bantuan kerajaan (SABK) mahupun yang berada di bawah kerajaan negeri seperti sekolah menengah agama negeri (SMAN) dan sekolah menengah tahfiz kerajaan negeri.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Permohonan ke sekolah aliran agama ini semakin bertambah setiap tahun, sehingga ianya telah menggalakkan pembinaan sekolah agama swasta ataupun sekolah tahfiz swasta bagi menampung permintaan ibu bapa yang mempunyai impian dan harapan agar anak mereka mendalami ilmu agama, menjadi orang agama, berjaya dengan disiplin agama.

Maka kita lihat timbulnya pelbagai institusi pengajian swasta bermula dari sekolah rendah Islam (SRAR) sepenuh masa sehinggalah ke sekolah menengah agama rakyat (SMAR) di peringkat menengah yang menawarkan kurikulum agama dan tahfiz. Perkembangan penubuhan sekolah dan pusat tahfiz ini semakin rancak, serancak permintaan ibu dan bapa yang inginkan anak-anak mereka berjaya di dalam bidang agama.

Namun perlu diingat, Kerajaan Negeri Perak telah menetapkan bahawa penubuhan sekolah-sekolah yang berkaitan pendidikan agama Islam dan mempunyai murid yang lebih daripada 20 orang hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan pendaftar sekolah-sekolah agama. Penubuhan dan pendaftaran sekolah-sekolah ini termaktub di dalam Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat Islam 1996 dan Kaedah-Kaedah Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1997.

Mana-mana pihak yang menubuhkan sekolah tanpa kelulusan pendaftar atau melaksanakan pendidikan di sekolah tanpa didaftarkan adalah melakukan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah enakmen tersebut. Peraturan ini bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak yang berniat baik bagi memajukan pendidikan Islam di negeri Perak ini tetapi hanya merupakan bentuk kawalan bagi menjaga kebajikan pelajar dan juga ibu bapa. Ia juga bertujuan membantu pihak pentadbir sekolah di dalam mengemaskinikan segala hal berkaitan dengan perjalanan sekolah.

Peraturan enakmen ini juga adalah bertujuan sebagai kawalan daripada berlakunya perkara-perkara seperti berikut:

1. Kurikulum yang tidak selari dan sesuai dalam pembinaan insan untuk kepentingan agama dan negara.
2. Pengurusan kewangan yang tidak telus yang mengakibatkan berlakunya penyelewengan.
3. Pengaruh ajaran yang ekstremis dan ajaran sesat.
4. Keselamatan dan kesesuaian bangunan yang akan dijadikan sekolah atau penempatan.
5. Mengambil kesempatan bagi tujuan komersial atas minat ibu bapa dan anak-anak terhadap pendidikan agama.

Mimbar ingin juga mengingatkan para jamaah dan pihak pengurusan masjid agar berhati-hati ketika memberikan sumbangan ataupun memberi ruang kepada pengutip-pengutip derma yang bertujuan untuk membina sekolah agama atau pusat tahfiz hendaklah memastikan mereka telah mendapat kebenaran mengutip derma daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Ini adalah kerana mimbar merasa bimbang terhadap kewujudan golongan tertentu yang mengambil kesempatan daripada kemurahan sikap menderma umat Islam sehingga derma atau sumbangan itu digunakan bagi kepentingan peribadi yang menyimpang dari tujuan pendidikan.

Mereka ini juga tidak segan silu menggunakan tenaga anak-anak yang sepatutnya dilindungi dan diberikan pendidikan bukannya menjadi peminta derma. Mereka menggunakan kanak-kanak dengan alasan latihan berniaga dan sebagainya. Wajarkah latihan bermula dari pagi hingga ke larut malam dengan kanak-kanak terbabit berdiri dan meminta-minta dari orang ramai tanpa ada jaminan keselamatan diri mereka dari dirompak dan dianiaya? Bilakah waktu mereka belajar? Bilakah waktu menghafaz Al-Quran? Alangkah sedihnya apabila mereka dibiarkan berkeliaran di stesyen-stesyen minyak, gerai-gerai makan, di hadapan bank dan sebagainya. 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَـ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Ayat yang dibacakan tadi dipetik daripada Surah Ali-Imran Ayat 104 yang bermaksud: "Hendaklah ada suatu golongan dari kalangan kamu yang menyeru manusia kepada kebaikan dan mereka menyuruh manusia yang lain untuk melakukan yang ma'aruf dan mencegah kemungkaran. Maka mereka itulah orang-orang yang berjaya".

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Islam amat menggalakkan umatnya untuk melakukan sesuatu perkara itu dengan cara yang terbaik. Kerana itulah di dalam suatu riwayat ada dinyatakan:

عَنْ أُمُ الْمُؤْمِنِيْنَ، عَنْ عَائِشَةَ بِنْتُ أَبِي بَكْرَ الصِّدِّقَ رضي الله عنها، عَنْ أَبِيهَا أَنَّهَا قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ "

Bermaksud: "Daripada Ummul Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar As-Shiddiq رضي الله عنها daripada bapanya berkata: Sesungguhnya Allah itu amat menyintai seseorang yang apabila dia melakukan sesuatu pekerjaan itu dia akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh". (Hadith riwayat Imam Al-Baihaqi)

Maka sesungguhnya kerja atau usaha yang bersungguh-sungguh di dalam memelihara kemashlahatan umat yang melibatkan masa depan anak-anak orang Islam yang belajar di sekolah-sekolah agama adalah penting dan tidak boleh dipandang ringan. Ini adalah kerana tujuan membina dan menjalankan sekolah agama mahupun tahfiz Al-Quran mestilah bersifat murni dan telus tanpa ada apa-apa agenda keuntungan peribadi di sebalik penubuhannya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Adalah diharapkan semoga perjalanan sekolah agama dan institusi tahfiz yang wujud di negeri Perak ini akan berjalan dengan baik sehingga pendidikan agama Islam dapat membentuk nilai-nilai akhlak yang mulia bagi anak-anak umat Islam kita di negeri Perak ini, sehingga akhlak yang mulia itu akan menjadi panduan dalam hidup mereka di kemudian hari.

Sidang Jumaat sekalian,

Pada tahun ini, negeri Perak telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-37 tahun 2016 M / 1437 H.Majlis ini telah berlangsung pada 20 Februari 2016 (Sabtu) bermula jam 8.00 malam yang akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazri Mu'izzuddin Shah. Justeru muslimin dan ,uslimat dijemput bersama-sama menjayakan majlis tersebut bertempat di Pusat Konvensyen Amanjaya, Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

No comments:

Post a Comment

KULIAH SETIAP AHAD MINGGU KEDUA




Kempen Tiga B