Thursday, January 1, 2015

KHUTBAH JUMAAT - 02 JANUARI 2015M/ 11 RABIUL AWAL 1436H



MUHASABAH DI AWAL TAHUN

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ  لِلَّهِ الْقَائِلِ،
أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍ مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّن لَّكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِم مِّدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُم بِذُنُوبِهِمْ وَأَنشَأْنَا مِن بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ ﴿٦﴾

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain - Al-An’am : 6.

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
فيا عِبَادَ الله اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah sekelian!

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke Hadrat Allah kerana memberi kesempatan kepada kita menyedut udara 2015 M yang baru beberapa hari kita kecapi. Kita juga bersyukur dengan berbagai kurnian Allah sama ada untuk orang yang beriman ataupun mereka yang kufur. Namun hakikatnya tidak ada satu jaminan pun yang diberikan oleh Allah untuk kita kekal mendapat nikmat tersebut kecuali dengan cara mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menyebabkan Allah menarik kembali segala nikmat tersebut. Pelbagai amaran yang diberikan oleh Allah dalam bentuk ujian, musibah dan seumpamanya yang direncanakanNya bagi menguji keimanan manusia. Bagi mereka yang beriman dan bertaqwa, ujian ini semakin menguatkan dan meneguhkan keimanan mereka terhadap Allah. Firman Allah SWT surah Al-Ankabut:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka akan dibiarkan begitu saja mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi?"

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi mereka yang memilih jalan hidup yang bercanggah dengan kehendak Allah maka dijanjikan dengan kesempitan hidup di dunia dan di akhirat. Allah menjelaskan dalam Surah Taha ayat 124:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى ﴿١٢٤﴾

Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanku maka sesungguhnya layaklah bagi mereka kehidupan yang sempit dan Kami himpunkan mereka di Hari Kiamat kelak dalam keadaan buta.

Muslimin yang berbahagia,

Kita amat merasa sedih dengan bencana yang baru sahaja melanda negara. Walaupun banjir bukanlah perkara yang begitu asing dengan rakyat di negara ini, namun apa yang berlaku baru-baru ini adalah fenomena yang begitu luar biasa. Ini menunjukkan kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Walaupun manusia mampu menyediakan sistem perparitan dan pengairan yang canggih, namun jika Allah sudah menetapkan, mana mungkin kita mampu menahan daripada banjir berlaku. Walaupun kita mampu menempatkan mangsa di pusat-pusat pemindahan, walaupun begitu ramai rakyat yang begitu budiman menghulurkan bantuan, namun untuk memastikan segala bantuan tersebut sampai kepada sasaran adalah tertakluk kepada kudrat dan iradat Allah. Maka tidakkah wajar kita bersyukur dan menundukkan kegoan kita selama ini, dengan tunduk dan pasrah kepada ketentuan Allah. Tidakkah wajar bagi kita sebagai hambaNya yang serba kekurangan ini, menyerahkan segala ketaatan dan pengharapan kita kepada Pencipta, tuhan Rabbul Jalil.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi mereka yang ikhlas membantu mangsa-mangsa banjir dengan berbagai kaedah masing-masing, kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan. Mungkin hari ini hari mereka, entah bila pula hari kita menerima nasib yang serupa. Semoga segala jasa baik yang kita sumbangkan menjadi bekalan kepada kita di hari Kemudian.

Bagi mangsa-mangsa yang terlibat, kita mengucapkan takziah dan memanjatkan doa agar mereka sentiasa diberikan kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi segala kesulitan. Di sebalik segala bencana yang menimpa tersembunyi hikmah dan rahsia yang hanya Allah mengetahui segalanya. Kesabaran dan keredhaan kita dalam menerima ujian Allah akan diberikan ganjaran sewajarnya dan digantikan oleh Allah dengan yang lebih baik di akhirat kelak.

Muslimin yang berbahagia,

Bencana yang mendatang ini adalah ujian yang mengandungi hikmah yang besar di dalam hidup kita di antaranya:

1. Membentuk hati supaya lebih kuat dan tabah, sebab kesulitan akan meneguhkan hati.

2. Sedar dengan segala kekurangan dan kesalahan sehingga kita bertaubat dan dosa kita diampuni.

3. Kesulitan dan musibah adalah teguran langsung dari Allah SWT untuk mematangkan jiwa.

4. Supaya kita tidak lalai dan sentiasa ingat kepada Allah SWT.

5. Ujian adalah latihan dari Allah SWT untuk kita memahami hakikat kehambaan yang sebenar.

Sidang Jemaah Sekelian,

Walau bagaimanapun mimbar ingin menarik perhatian sidang Jemaah sekelian, janganlah dijadikan bencana ini sebagai sumber melemparkan dan menyebarkan fitnah dan maklumat yang tidak benar melalui sms, whatsapp, dan media sosial yang lain kerana ini bukanlah waktunya kita menunding jari dan memburukkan mana-mana pihak tetapi sebaliknya hendaklah kita bersatu-padu dan tolong-menolong membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Sidang Jumaat Sekelian,

2014 telah meninggalkan kita dengan seribu satu kisah suka dan duka. Tidak ada siapa di antara kita yang menyangka akan berlakunya mala petaka yang begitu hebat yang melanda negara. Bermula dengan kehilangan pesawat yang masih belum ditemui sehingga kini, pesawat ditembak oleh pihak yang tidak diketahui, kemarau panjang pada awal tahun, banjir besar yang melumpuhkan sebahagian negeri dan di akhiri dengan pesawat Air Asia yang ditemui terhempas. Segala kejadian ini adalah musibah yang boleh menimpa sesiapa sahaja dan tiada siapa yang mampu mengelaknya. Tidak ada mana-mana manusia yang mampu menafikan bahawa hanya Allah sahaja yang mampu menyelamatkan kita. Marilah kita bersama memanjatkan doa kepada Allah agar tahun-tahun yang mendatang, kita tidak lagi diuji sebegini berat. Jadikanlah tahun ini sebagai titik tolak untuk kita mendekatkan diri kepada tuhan.

Sidang Jumaat Sekelian,

Manusia terlalu banyak bersandiwara dengan Allah seolah-olahnya mereka menyangka Allah terlupa janji dan azam mereka untuk mentaatiNya. Manusia mungkin boleh memperdayakan sesama mereka kerana kita sering cuai dan alpa. Tidak perlulah kita menanti datangnya musibah sebelum kembali mengingati Allah. Sebaliknya, buatlah persiapan sebelum musibah didatangkan oleh Allah.

Tinggalkanlah segala dosa dan maksiat di samping berusaha memartabatkan Hukum Hakam Allah. Bersyukurlah kerana Allah hanya memberikan amaran kecilnya dengan musibah-musibah yang melanda agar kita kembali kepada ketentuanNya. Kita masih belum lagi dibinasakan sepenuhnya walaupun berbagai bentuk kemungkaran yang kita lakukan selama ini. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat ke 4 dan 5:

وَكَمْ مِنْ قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا فَجَاءَهَا بَأْسُنَا بَيَاتًا أَوْ هُمْ قَائِلُونَ ﴿٤﴾ فَمَا كَانَ دَعْوَاهُمْ إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا إِلاَّ أَنْ قَالُوا إِنَّا كُنَّا ظَالِمِينَ ﴿٥﴾

Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari atau ketika mereka berehat pada tengah hari. Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ  الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita jadikan tahun ini sebagai tahun untuk kita mencari keredhaan Allah. Seluruh rakyat jelata menjunjung kasih atas keperihatinan DYMM Tuanku Sultan yang menitahkan agar sebarang konsert atau acara berunsur hiburan sempena sambutan tahun baru dibatalkan. Semoga titah perintah ini dapat menginsafkan seluruh rakyat jelata dan tidak hanya terhenti sekadar tahun ini semata-mata. Mudah-mudahan pengajarannya dapat diingati buat selamanya dan tidak hanya kerana menghormati mangsa-mangsa banjir dan bencana alam semata-mata, tetapi diteruskan bagi menghindari bala bencana yang dijanjikan oleh Allah bagi mereka yang mengingkariNya.

Muslimin Yang Dikasihi Allah,

Sekali lagi mimbar ingin memaklumkan kepada sidang jemaah sekelian marilah sama-sama kita mengadakan solat sunat hajat selepas solat jumaat sebentar lagi kita memohon kepada Allah supaya meringankan beban sahabat-sahabat kita yang ditimpa musibah banjir. Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir berupa wang ringgit, pakaian, makanan dan sebagainya bolehlah diserahkan sumbangan tersebut kepada agensi-agensi bukan kerajaan yang boleh dipercayai atau ke masjid daerah masing-masing atau masjid-masjid utama.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ . اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ.
 اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.

Ya Allah kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur lah.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ ، وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment